Penutupan ekonomi jejas prestasi suku tahunan Hektar REIT, perolehan susut 26.4% | DagangNews Skip to main content

Penutupan ekonomi jejas prestasi suku tahunan Hektar REIT, perolehan susut 26.4%

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) mencatat perolehan sebanyak RM19.1 juta, iaitu penurunan sebanyak 26.4% bagi suku tahunan ketiga berakhir 30 September 2021 (3Q2021),berbanding RM26.0 juta yang dicatat bagi tempoh sama pada tahun lalu.

 

Hektar Asset Management Sdn. Bhd., pengurus Hektar REIT berkata, pendapatan hartanah bersih sebanyak RM10.3 juta bagi suku tahunan yang dikaji, turun sebanyak 20.1% berbanding RM12.9 juta dicatat pada 3Q 2020, manakala pendapatan direalisasikan bagi 3Q 2021 juga merosot 69.0% iaitu RM1.4 juta berbanding RM4.5 juta yang diraih pada 3Q 2020. 

 

"Penyusutan dalam Hasil Kasar dan NPI berbanding tahun lalu adalah disebabkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan pada awal 3Q 2021 menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menetapkan negeri-negeri di bawah Fasa 1 terus kekal di situ sehingga mereka memenuhi kriteria tertentu sebelum boleh beralih ke fasa lain.

 

"Peningkatan kes pandemik COVID-19 yang berlarutan telah mengakibatkan pihak berkuasa mengenakan lebih banyak sekatan pergerakan dari Mei hingga pertengahan Ogos 2021 telah menyebabkan impak teruk terhadap perniagaan di bawah suku tahunan yang dikaji," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Namun, menurut kenyataan itu lagi, Hektar REIT kini menyaksikan lebih ramai pengunjung datang ke pusat beli-belah berikutan kelonggaran PKP seiring dengan pembukaan semula ekonomi. 

 

"Kami menjangkakan perniagaan akan perlahan-lahan pulih dengan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan dibuka semula dengan kebenaran untuk `dine-in’ dan pergerakan merentas negeri adalah bermanfaat kepada REIT dan pengendali pusat beli-belah yang lain.

 

"Seiring dengan usaha kerajaan untuk negara beralih ke fasa endemik, kami akan terus mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard bagi memastikan keselamatan berterusan pengunjung, penyewa, vendor dan kakitangan," katanya.

 

Mengulas lanjut, Hektar Asset Management berkata, landskap operasi terus mencabar di sebalik pembukaan semula aktiviti ekonomi, tetapi pihaknya berharap momentum lebih teguh pada suku tahunan seterusnya, memandangkan sentimen pengguna telah mula pulih.

 

Dalam pada itu ia berkata, Hektar REIT kekal komited untuk memenuhi tanggungjawabnya bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dilaksanakan selaras dengan standard tinggi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

 

"Pelbagai penggunaan tenaga dan inisiatif telah telah dilaksanakan untuk semua pusat membeli-belahn kami, menghasilkan pengurangan besar dalam pelepasan gas rumah hijau dan penggunaan tenaga sejak lima tahun lalu," katanya. -DagangNews.com