Pentingnya Memahami Realiti Bidang Perniagaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 28 March 2022

Pentingnya Memahami Realiti Bidang Perniagaan

Oleh Siti Sarina Sulaiman

 

 

 

BERJALAN-JALAN di pasar malam berhampiran kediaman, dari jauh saya terpandang sebuah gerai makanan yang sedang dikendalikan pasangan suami isteri yang saya kenali.

 

Setahu saya, kedua-dua pasangan ini mempunyai pekerjaan tetap yang dikira stabil jadi melihat mereka tangkas bekerja menyediakan tempahan makanan pelanggan di sini adalah sedikit di luar jangkaan.

 

Hakikatnya, memiliki dua pekerjaan bukanlah lagi sesuatu di luar norma dalam kalangan rakyat Malaysia. Tekanan ekonomi global dan kehendak taraf hidup yang semakin meningkat merupakan pencetus utama budaya ini.

 

Kemunculan tanpa dijangka COVID-19 pada hujung 2019 turut menjejaskan sumber pendapatan utama ramai pihak, memaksa mereka mencari alternatif untuk mencari jalan memastikan kelangsungan sumber pendapatan masing-masing.

 

Antara mereka mengambil langkah untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan mencari ilham dan mengikuti trend pasaran yang muncul terutamanya di media sosial seperti Tiktok, Facebook dan Instagram.

 

Rasanya terma seperti Dalgona Coffee adalah tidak asing lagi di Malaysia. Trend minuman ini mula menjadi kegilaan rakyat Malaysia pada Mac 2020 di kala dibelenggu ketandusan aktiviti ketika tempoh ‘lockdown’ pada waktu itu.

 

Populariti pantas minuman ini menyebabkan ramai mula mengambil kesempatan untuk memulakan perniagaan berteraskan minuman ini. Walaubagaimanapun, trend seperti ini jarang sekali kekal lama dan seringkali dilupakan apabila munculnya trend baru di media sosial.
 

 

viral
Satu masa banyak gerai menjual kopi bagai cendawan tumbuh selepas hujan

      

 

Ramai antara peniaga baru ini tidak mempunyai sebarang latar belakang  sebagai seorang peniaga. Keinginan untuk berniaga selalunya muncul apabila melihat kejayaan yang dipamerkan ‘influencer’ di media sosial ataupun memiliki persepsi yang beranggapan memulakan perniagaan adalah suatu perkara yang mudah. 

 

Lihat sahaja di platform media sosial, di tepi jalan raya, ataupun di kawasan perumahan, kemunculan dan lambakan peniaga kecil yang menawarkan perkhidmatan atau produk ‘viral’ terutamanya adalah ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.

 

Namun hanya sebilangan kecil dari perniagaan ini akan kekal lebih lama berbanding yang lain.

 

Sambutan hangat yang diterima di awal perniagaan turut menyebabkan mereka ghairah dan tergesa-gesa mengambil risiko untuk melabur lebih banyak modal daripada simpanan masing-masing untuk membesarkan lagi perniagaan mereka demi mengaut lebih banyak keuntungan.

 

Namun ia tidak mengambil masa yang lama untuk mereka sedar mengenai realiti bidang perniagaan adalah tidak semudah yang dijangkakan.

 

                             

mula
Kisah-kisah kejayaan seumpamanya mempengaruhi orang ramai menceburi perniagaan tetapi tidak mempelajari ilmu perniagaan terlebih dulu.

 


Ramai yang tidak sedar terdapatnya jurang perbezaan diantara perniagaan bersifat sementara dan perniagaan kekal. Kenaifan ini berisiko menyebabkan keadaan ekonomi golongan peniaga kecil ini akan terjejas dengan lebih teruk.

 

Mereka bukan sahaja kehilangan modal yang dilaburkan tetapi turut mengalami kerugian yang membebankan. Keadaan ini turut menyumbang kepada statistik kadar kebankrapan yang dilaporkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI). 

 

Memulakan sesebuah perniagaan memerlukan disiplin,  keazaman, dan kemampuan untuk belajar yang tinggi. Juga penting bagi bakal peniaga untuk memiliki pengetahuan sedia ada mengenai bidang perniagaan yang ingin diceburi.

 

Sekadar pengalaman melihat kejayaan perniagaan orang lain adalah tidak cukup untuk memastikan kelangsungan perniagaan sendiri. Jika semangat yang ada adalah sekadar suntikan dari gembar-gembur sesebuah trend di media sosial, perniagaan yang dijalankan adalah ditakdirkan untuk terkubur ditengah jalan.

 

Contoh yang mudah dilihat di media sosial adalah akaun-akaun perniagaan yang kini terbengkalai dan tidak lagi aktif dalam usaha mempromosikan produk atau menjalankan perniagaan itu sendiri.

 

Kajian pasaran juga amatlah penting sebelum untuk memulakan sesuatu perniagaan. Tetapi hakikatnya, konsep ini merupakan sesuatu yang asing, remeh dan rumit bagi mereka.

 

Akibatnya, muncullah bergerai-gerai burger jalanan di satu kawasan perumahan yang sama, memaksa setiap peniaga untuk bersaing sesama sendiri di dalam komuniti yang kecil.

 

Ini merupakan kesan yang paling ketara apabila nisbah diantara sesebuah perniagaan dan keluasan komuniti tidak diambil kira.

 

Kepadatan perniagaan yang sama ini turut berpotensi untuk menyebabkan ketidakseimbangan hasil pendapatan diantara peniaga terlibat.

 

Pelanggan di komuniti tersebut juga turut terkesan dengan lambakan konsep perniagaan yang sama, menyebabkan mereka terpaksa keluar mencari pilihan yang lebih unik.

 

Adalah penting bagi seseorang peniaga untuk memastikan kehendak dan kemampuan golongan pelanggan yang menjadi sasaran perniagaan mereka.

 

Bagi mereka yang lebih terdedah kepada ilmu perniagaan atau mempunyai pengalaman selaku peniaga, tindakan untuk mendaftarkan produk perniagaan mereka di bawah harta intelek adalah satu langkah yang pasti akan diambil untuk memastikan hak milik cipta adalah kepunyaan mereka.

 

Walaubagaimanapun, adalah penting untuk memastikan produk tersebut adalah unik kepada mereka dan tidak akan menimbulkan sebarang isu kepentingan kepada mana-mana pihak.  

 

Pada Januari 2021, media sosial Malaysia dibanjiri kongsian ketidakpuasaan hati masyarakat apabila ibu kepada usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, cuba mendaftar hak milik nama Daging Harimau Menangis. Nama daging harimau menangis ini hakikatnya telah diguna pakai sejak sekian lama oleh kalangan masyarakat Malaysia.

 

Pengetahuan asas dan realiti sesebuah perniagaan perlu dijadikan sebuah konsep yang didedahkan kepada setiap peringkat masyarakat bukan sahaja kepada sesetengah golongan sahaja.

 

Pengetahuan ini akan membantu mereka untuk  berhadapan dengan kemungkinan kegagalan dalam perniagaan yang diceburi dan mengenal pasti langkah seterusnya yang wajar diambil untuk membina semula perniagaan mereka.

 

Perlu diingati bahawa sesebuah idea yang bernas tidak akan mampu terbang tinggi jika tiada tujahan yang diberikan.

 

 

Siti Sarina Sulaiman adalah Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MULANYA DI SINI

Portfolio Tags