Pentadbiran negara mula raih keyakinan pelabur, KLCI melonjak hampir 16 mata | DagangNews Skip to main content

Pentadbiran negara mula raih keyakinan pelabur, KLCI melonjak hampir 16 mata

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Aliran positif terus mempengaruhi dagangan bursa tempatan hari ini apabila berakhir dengan momentum yang kukuh. 

 

Indeks utama FBM KLCI ketika ditutup, melonjak 15.94 mata atau 1.02% kepada 1,585.74 mata daripada 1,569.80 mata pada penutupan semalam. Pagi ini, indeks utama dibuka 0.92 mata lebih tinggi pada 1,570.72 mata.

 

Bursa Malaysia meneruskan kenaikan buat hari kelima berturut-turut sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, mencerminkan kemelut politik semakin reda.

 

Mengulas mengenai prestasi bursa tempatan hari ini, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. berkata, barisan Kabinet baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi dilihat terus mengembalikan keyakinan dalam kalangan pelabur terhadap kepemimpinan negara. 

 

Pada masa sama, katanya, jangkaan Rizab Persekutuan AS untuk menurunkan petunjuk dalam mengurangkan pembelian aset semasa simposium Jackson Hole pada Jumaat merosot ekoran pandangan yang meruncing disebabkan varian Delta turut mempengaruhi pergerakan pasaran sepanjang hari ini.

 

"Ini menyaksikan bursa tempatan yang ditutup tinggi mengatasi kebanyakan pasaran serantau Asia lain seperti Hong Kong, China, Korea Selatan dan Indonesia yang mencatatkan kerugian," katanya.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime Darby Bhd. mendahului dagangan dengan melonjak 5.8% atau 13 sen kepada RM2.39 diikuti Malayan Banking Bhd. (Maybank) menokok 12 sen kepada RM8.45.

 

Sementara itu, indeks perladangan Bursa Malaysia mencatat prestasi terbaik dalam kalangan indeks sektor dengan berakhir 1.6% lebih tinggi.

 

Bagi kaunter aktif, ia menyaksikan saham AYS Ventures Bhd. paling rancak diniagakan dengan ditutup 15.5 sen atau 39.74% lebih tinggi kepada 54.5 sen. 

 

Turut aktif diniagakan termasuklah saham Hiap Teck Venture Bhd. naik 3 sen kepada 56 sen diikuti AT Systematization Bhd. meningkat 0.05 sen kepada 5.5 sen. 

 

Saham Genetec Technology Bhd. pula mendahului kaunter untung menokok RM2.20 untuk lebih tinggi kepada RM29.38. 

 

Ini diikuti dengan saham Petronas Dagangan Bhd. naik 78 sen kepada RM19.80 manakala Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd. menokok 40 sen kepada RM21.30. 

 

Sebaliknya, kaunter rugi menyaksikan saham berkaitan teknologi mendahului dagangan iaitu Sam Engineering & Equipment Bhd. ditutup RM2 lebih rendah kepada RM14.12 diikuti Malaysian Pacific Industries Bhd. susut 38 sen kepada RM44.

 

Sementara itu, bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup tinggi pada RM4.1930/1970 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan semalam, RM4.2010/2055. - DagangNews.com