Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 10 November 2021

Pengurusan Pengagihan Bajet 2022 Perlu Lebih Telus

 

BAJET 2022 yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Oktober lalu telah dibahaskan di Dewan Rakyat sudah memasuki hari kesepuluh semalam (10 November 2021).

 

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, blok pembangkang meminta kerajaan menyemak kembali peruntukan Bajet 2022 dengan lebih teliti bagi mengatasi krisis yang dihadapi oleh negara.

 

Kerajaan juga digesa supaya lebih berhati-hati supaya perbelanjaan dan beban hutang negara dapat dikurangkan.

 

Semak Sistem Penyampaian Elak Ketirisan

Dalam mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan negara, pengagihan peruntukan Bajet 2022 perlu lebih telus.

 

Bagi memastikan pengagihan Bajet 2022 ini sampai ke golongan sasar, sistem penyampaian oleh agensi kerajaan wajar disemak semula bagi mengelak ketirisan dalam menyalurkan Bajet 2022.

 

Kerajaan perlu memastikan pengurusan setiap agensi yang diamanahkan untuk mengendalikan peruntukan bersih daripada amalan rasuah dan campur tangan politik.

 

Prestasi penyampaian peruntukan perlu sasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya keberkesanan Bajet 2022 yang disalurkan mencapai matlamat yang disasarkan.

 

Apa yang dirisaukan, ada segelintir yang mendapat jalan mudah melalui hubungan politik untuk menikmati manfaat yang diperuntukkan melalui bajet. Perkara ini perlu dielakkan bagi mengelakkan ketirisan bajet.

 

Selain itu, cara penyampaian peruntukan yang dipenuhi dengan prosedur yang menyukarkan golongan sasar mendapatkan peruntukan bajet perlu disemak semula.

 

Ada juga yang mengatakan golongan yang mempunyai hubungan politik mendapat peruntukan dengan cara yang mudah. Betul atau tidak, tidak dapat dipastikan.

 

 

zafrul
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

 

Pembentukan Jawatankuasa Khas Pemantau

 Bajet 2022 yang ingin membantu rakyat yang terjejas terutamanya usahawan PMKS perlu benar-benar sampai ke golongan sasar.

 

Kementerian Pembangunan Usahawan (MEDAC) perlu bertanggungjawab mengagihkan peruntukan secara telus kepada golongan sasar ini melalui peruntukan yang disalurkan ke kementerian ini melalui Bajet 2022.

 

Pembentukan Jawatankuasa Khas Pemantau boleh ditubuhkan bagi memastikan semua peruntukan yang diumumkan sampai kepada rakyat serta kumpulan yang telah ditetapkan.

 

Kita tidak mahu peruntukan Bajet 2022 ini hanya cantik di atas kertas sahaja dan kita juga tidak mahu mendengar keluh resah rakyat yang tidak mendapat bantuan yang telah disediakan ini kelak.

 

Jika pengurusan pengagihan Bajet 2022 ini kepada golongan usahawan dapat dilaksanakan dengan baik, ianya akan membantu memulihkan kembali ekonomi negara dengan unjuran berkembang sehingga 4% pada tahun hadapan.

 

 

volatiliti

 

Semak semula prosedur skim bantuan bumiputera

Bajet 2022 juga memperuntukkan RM6.6 bilion untuk disalurkan bagi kemudahan pendidikan anak bumiputera bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Peneraju (Peneraju).

 

Dalam masa yang sama kerajaan juga harus mengambil kira keluhan golongan bumiputera yang berskala kecil dalam menyalurkan peruntukan Bajet 2022 itu dengan melibatkan semua golongan usahawan, petani, pekebun, penternak dan peniaga kecil yang tidak beroleh manfaat daripada peruntukan diumumkan.

 

Jika Bajet 2022 adalah untuk memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus diberikan keutamaan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini, maka kerajaan perlu menyemak secara teliti prosedur skim bantuan bumiputera untuk membolehkan agenda pemerkasaan bumiputera dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Penyaluran bantuan atau pinjaman melalui pelbagai skim dan agensi untuk bumiputera perlu telus dan efisien.

 

Bajet 2022 juga memperuntukkan sejumlah RM4.8 bilion bagi melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun) dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

 

Walaupun peruntukan pembiayaan ini diberikan kepada bumiputera, kerajaan perlu menyemak semua prosedur skim bantuan dan pinjaman yang kadangkala membebankan usahawan bumiputera berskala sederhana dan kecil ini.

 

 

volatiliti

 

 

Agenda Bumiputera Masih Belum Tercapai Sejak 64 tahun Merdeka

Selama lima dekad kerajaan telah menyalurkan berbilion ringgit sejak 64 tahun negara merdeka, namun agenda bumiputera masih tidak capai matlamat.

 

Setiap tahun peruntukan bajet tahunan dan sehingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMke-11) belum berhasil mengangkat martabat bumiputera khasnya dalam ekonomi.

 

Aset bumiputera Melayu semakin mengecil sama ada milik perseorangan mahupun agensi rasmi Melayu. Bukan sedikit agensi bumiputera Melayu diwujudkan di peringkat pusat dan negeri, namun status sosioekonomi mereka masih jauh terbelakang

 

Sehingga hari ini, agenda bumiputera masih tidak capai matlamat, di manakah silapnya?

Bajet juga perlu untuk menghuraikan kedudukan ekonomi Bumiputera dalam setiap sektor dan apakah program afirmatif yang boleh dilakukan melalui Bajet 2022 untuk mengangkat ekonomi kaum bumiputera untuk masa hadapan.

 

 

volatiliti

 

Mengembalikan Semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA)

Selain itu, Bajet 2022 juga dilihat mampu diuruskan dengan lebih telus jika mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

 

Dengan mengembalikan semula akta ini dilihatkan membawa paradigma baru yang lebih telus dan berautonomi dalam pengurusan parlimen secara bebas.

 

Apa kesan parlimen yang bebas ini?

 

Dengan mengembalikan PSA ini yang akan memberi kuasa kepada parlimen untuk bergerak secara bebas tanpa campur tangan pihak eksekutif.

 

Parlimen akan mempunyai hak untuk menentukan perbelanjaan kewangan dan tadbir urusnya sendiri yang berbeza kini yang mana parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

volatiliti

Peruntukan Bajet: “Kais Pagi Makan Pagi”

Tuntasnya, semoga Bajet 2022 ini mampu mencapai temanya Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera. Janganlah ia sekadar bajet yang sedap didengar dengan ucapan dasar-dasar dan inisiatif yang membuatkan rakyat teruja.

 

Kerajaan perlu pastikan dengan pemberian peruntukan untuk membantu rakyat dalam masa yang sama kos sara hidup dapat dikawal.  

 

Jika peruntukan bajet diberikan, dalam masa yang sama kos sara hidup meningkat, kehidupan rakyat ibarat 'kais pagi makan pagi'.

 

Untuk memastikan keberjayaan Bajet 2022 ini, kerajaan pusat, negeri, badan berkanun, yayasan, dewan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memastikan tiada ringgit tercicir dan tidak sampai kepada kumpulan selayaknya.

 

Namun persoalannya, adakah Bajet 2022 ini akan sampai ke akar umbi? Tepuk dada tanya selera!      - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

Portfolio Tags