Pengembara ke Tanah Melayu dari Arab dan China | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 25 September 2021

PENGEMBARA KE TANAH MELAYU DARI ARAB DAN CHINA

 

 

 

KEDAH telah menerima kunjungan para pedagang Arab dan para ugamawan dari China sejak sekian lama. Dari Hikayat Merong Mahawangsa, kita melihat perhubungan Kedah dengan pelbagai bangsa sepeti Rom, Arab, China dan serantau Nusantara begitu rapat.

 

Kedah Tua merupakan sebahagian dari Langkasuka diberikan nama Kedah Zamin Turan apabila Merong Mahawangsa pulang ke Rom. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk ugama Islam yang dibawakan Oleh Syeikh Abdullah dan bergelar Sultan Mudzalfar Shah.

 

Tetapi adakah kesemua ini berlaku seperti yang diriwayatkan?

 

Salasilah Kesultanan Kedah merakamkan Sultan Mudzaffar Syah I sebagai Sultan pertama Kedah pada tahun 1136 dan ini membuktikan bahawa Kedah antara kesultanan terlama di dunia yang masih kekal hingga hari ini. Kedah dikatakan telah menerima kunjungan para pedagang dan pendakwah Arab sejak sekian lama.

 

Bahkan, ramai ilmuan dan pakar geografi, pengembara dan pelayar Arab menamakan Kedah sebagai ‘Kalah’ atau ‘Kilah’ dalam catatan mereka seawal kurun ke-9. 

 

Kedah dikenali sebagai sebuah kerajaan lama di bawah naungan Raja Zabaj atau Sribuza (Seriwijaya) dan mendapat perhatian dalam ‘Kitab Akhbar al-Sin wa al-Hind’ oleh Abu Zaid as-Sirafi. Peta tersohor Al-Idrisi juga memetakan Semenanjung Tanah Melayu.

 

Dalam kalangan orang Arab, Kedah disebut sebagai ‘as-Sayf al-Hind’ kerana kemasyhuran pedang buatan Kedah yang digunakan bangsa Arab untuk berperang. Ini bertepatan dengan penemuan terbaru di Sg Batu yang meletakkan Kedah sebagai pusat pembuatan besi terbaik yang dipandang tinggi pada zaman silam.
 

 

as-Sayf al-Hind
Pedang (qala'i) Al-sayf al-Qadaram atau as-Sayf al-Hind bermaksud Pedang Kedah atau Hindi

 

 

Sumber dari China pula memanggil Langkasuka yang dikenali sebagai Lang-ya-shiu, Lang-chia-shu (China) seawal abad ke-2 Masihi.  Mengikut satu rekod sejarah Dinanti Liang seawal 500 M merujuk kerajaan ini diasaskan pada kurun pertama Masihi.

 

Menurut catatan Liang Shu (梁書), “Kerajaan Lang-ya-shu terletak di Laut SelatanSempadannya sejauh 30 hari dari Timur ke Barat dan 20 hari dari Utara ke selatan. Ianya terletak 24,000  li () dari Canton… Gaharu dan kapur barus begitu banyak didapati.”

 

Berdasarkan sumber China, Chih tu guo ji, sebuah dokumentari yang dihasilkan selepas kunjungan Kerajaan Sui yang menghantar utusan pada tahun 607 CE hingga 610 Masihi ke kerajaan Chihtu yang dipercayai terletak di Tanah Merah, Kelantan.

 

Pengembara paling tersohor pada tahun 671 Masihi, rahib agama Buddha iaitu I-Ching, pernah singgah ke Kedah dan kemudiannya terus ke Nalanda India melalui Teluk Benggala dengan menaiki kapal Melayu. I Ching menyatakan bahawa dia menerima layanan begitu baik dari Raja dan orang Melayu.

 

Namun segala ini selalu diperbahaskan kerana kurang pendedahan zaman silam penemuan arkeologi. Antara tapak-tapak arkeologi di Semenanjung Tanah Melayu sebenarnya yang menemukan banyak peninggalan seramik China ialah di Lembah Bujang, Kedah, Pulau Kelumpang, Perak, Pulau Tioman, Pahang, Takuapa, Pattani, Chaiya, Ligor di Thailand dan Singapura.

 

Pencari harta karun, Sten Sjostrand dan Samsol Sahar juga telah menemukan banvak khazanah dari kapal yang karam di perairan  Semenanjung Tanah Melayu pada zaman 1300an ke 1600an.

 

Ini membuktikan keujudan  pelabuhan ataupun pusat kerajaan-kerajaan Melayu awal yang mempunyai hubungan yang amat baik dengan pedagang antarabangsa sama ada dari Tanah Arab, China dan Nusantara.

 

Pada tahun 1403, Emperor Zhu Di telah memerintahkan pembinaan armada ‘Treasure Ships’ termasuk bather perdagangan dan juga kapal perang.

 

Laksamana Zheng He, yang juga teman rapat Maharaja Zhu Di sejak remaja, dikatakan mengetuai ekspedisi 317 kapal dan telah membuat 7 pelayaran hebat keseluruh dunia terutamanya di Nusantara, Timur Tengah dan Afrika.

 

 

Zheng He
Laksamana Zheng He mengetuai armada 317 kapal ke seluruh dunia.

 

 

Pelayaran tersebut bertujuan memperluaskan pengaruh China, menguatkan perdagangan dan lagi Fujian mengumpulkan ilmu dari seluruh dunia.

 

Antara kerajaan paling rapat dengan Zheng He adalah Kesultanan Melaka, Kerajaan Champa yang telah melawat China beberapa kali dalam awal kurun ke-15 semasa dasar China terbuka.

 

Oleh kerana Laksamana Zheng He seorang Muslim, ini membuka perdagangan yang baik dengan Kesultanan Melaka dan komuniti di Melaka. Pelayaran  1409–1411 merupakan pelayaran ketiga Laksamana Zheng He yang khusus untuk memperkuatkan hubungan diplomatik China Melaka diikuti dengan pelayaran 1414 dan 1424.

 

Kita mesti memperluaskan kajian dan sumber tentang keujudan Tanah Melayu melalui sumber luar seperti Arab, China, Okinawa (Ryukyu), Nusantara dan lain lain dan tidak hanya merujuk kepada sumber Barat untuk mendapat gambaran sebenar kerajaan Melayu lama.

 

Dari dunia Hikayat, saya terpanggil untuk mengkaji sejarah lama sebagai rujukan. Dengan itu, saya tidak mudah tergugat apabila ada yang cuba mengatakan hikayat lama ini hanyalah dongeng semata-mata.

 

The Hikayat, legends and folklores are the intrinsic memories of our ancient civilisation.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

Portfolio Tags