Pengekalan OPR 'berita baik' buat sektor perbankan | DagangNews Skip to main content

Pengekalan OPR 'berita baik' buat sektor perbankan

Pengekalan OPR

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% merupakan khabar gembira untuk sektor perbankan tempatan.

CGS-CIMB Research berkata, perkara itu dinilai berdasarkan ramalan awal pihaknya yang menjangkakan pemotongan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) pada 20 November lalu.

"Bagi kami, pengekalan OPR ini adalah kejutan positif kerana pakar ekonomi kami menjangkakan pemotongan   sebanyak 25bps pada mesyuarat MPC kali ini.

"Kami menganggarkan jumlah pemotongan OPR adalah sebanyak 150bps termasuk 25bps pada 20 November dalam ramalan kami untuk kebanyakan bank.

"Memandangkan pemotongan OPR pada 20 November tidak berlaku, maka ini mengubah ramalan yang dibuat ke atas peningkatan keuntungan bersih bank sebanyak 1% hingga 2% bagi tahun kewangan 2021," jelas CGS-CIMB Research.

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research berkata, pengekalan dan tiada potongan margin OPR merupakan satu perkembangan positif bagi sektor berkenaan.

Langkah untuk mengekalkan OPR memberi potensi lonjakan keuntungan bersih tinggi sehingga 8% kepada Alliance Bank dan Bank Islam, memandangkan kedua-dua bank tersebut sensitif terhadap pemotongan OPR.

Sebaliknya, jika OPR dikurangkan 25bps, maka keuntungan bersih Affin Bank dijangka hanya menurun sebanyak 2.8% kerana Affin Bank adalah satu-satunya bank yang menerima manfaat daripada pemotongan kadar asas tersebut.

Dalam nota kajian yang sama, penganalisis ekonomi CGS-CIMB Research turut menjangkakan OPR yang diumumkan BNM itu akan terus dikekalkan hingga penghujung tahun 2021.

Jangkaan itu bermaksud, tiada sebarang pemotongan OPR sepanjang tahun kewangan 2021. - DagangNews.com