Pengantarabangsaan Kandungan Kreatif - Bukan hanya untuk syarikat gergasi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 25 February 2022

PENGANTARABANGSAAN KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA – BUKAN HANYA UNTUK SYARIKAT GERGASI

 

 

 

KITA sering mendengar pelbagai pihak memperkatakan tentang usaha pengantarabangsaan kandungan kreatif Malaysia ke pasaran antarabangsa.

 

Di kala industri penyiaran dan kandungan kreatif global berkembang pesat dengan kemunculan pelbagai teknologi dan platform terkini, sememangnya adalah sesuatu yang tidak mustahil malah mungkin tidak sukar untuk kandungan Malaysia mengembara ke pelbagai benua dan negara.

 

Apa yang perlu adalah mempunyai perancangan yang spesifik dan berfokus, terutamanya ketika jenama kandungan Malaysia yang tidak begitu dikenali di luar negara ketika ini – melainkan karya animasi yang sudah membuktikan kredibiliti dan kemampuannya di arena antarabangsa.

 

Sebagai penerbit dan pembikin kandungan, terutamanya yang bergerak dalam skala kecil dan sederhana, apa yang perlu adalah mengenal pasti dan memilih segmen pasaran yang sesuai untuk kandungan yang dihasilkan.

 

Dalam konteks pasaran yang cukup luas di peringkat global, adalah dilihat sangat wajar dan praktikal untuk penerbit kita meneroka segmen pasaran niche di benua-benua tertentu.

 

Ia bukan sahaja dilihat sebagai pendekatan dan laluan yang praktikal, namun sebenarnya pasaran niche ini boleh dilihat sebagai cukup besar mengikut skala Malaysia.

 

Sebagai contoh, pada tahun 2018, negara China membelanjakan sejumlah AS$11 bilion setahun (sekitar RM46 bilion) bagi penerbitan kandungan untuk televisyen.

 

Saluran televisyen di negara tersebur pula mencecah 3000 saluran. Ia sangat besar dan sememangnya sangat sukar untuk syarikat kecil dan sederhana dari Malaysia untuk menembusi pasaran arus perdananya.

 

Namun, saya pasti terdapat beberapa saluran televisyen berskala kecil yang bersiaran di sesetengah wilayah (malah stesen televisyen daerah) contohnya, yang boleh diteroka.

 

Malah, mungkin juga kita boleh meneroka selain saluran televisyen terrestrial (free-to-air TV), seperti juga saluran TV yang bersiaran secara strim.

 

Pengalaman rakan penerbit dari Malaysia yang pernah menghasilkan kandungan untuk platform OTT berskala kecil di negara tersebut, namun jika dibandingkan nilai produksinya sudah mencapai skala penerbitan filem cereka di Malaysia. Itulah yang memperlihatkan betapa luasnya potensi yang boleh dteroka.

 

Jika China terlalu besar untuk diteroka, banyak lagi negara lain yang mungkin sesuai.

 

Negara-negara di Eropah Timur contohnya mempunyai minat yang tinggi terhadap kebudayaan di Asia Tenggara termasuk di Borneo, yang menurut pandangan mereka begitu unik dan asli.


 

kreatif

 


Malah, melihat landskap hutan hujan tropika sahaja sudah cukup mengujakan sebahagian khalayak penonton mereka, yang secara tidak langsung membuka ruang untuk kita mencuba bagi mengisi keperluan penontonan di sana.

 

Maka, ia harus dilihat sebagai satu peluang yang bukan sekadar dalam konteks perniagaan industri kreatif, tetapi juga mempunyai signifikan yang tersendiri dalam usaha mempromosi kebudayaan tempatan, pelancongan malah usaha membina kefahaman budaya sejagat.

 

Pemerhatian saya di beberapa pasar kandungan sebelum telah ini memperlihatkan potensi yang besar untuk kandungan bagi pasaran yang khusus ini di banyak wilayah, khususnya di Eropah yang mempunyai minat yang tinggi ciri dan nilai yang dibawa Asia.

 

Jika mahu keluar dari kerangka konvensional, selain mengisi keperluan dalam industri penyiaran, saya merasakan tidak keterlaluan untuk kita turut meneroka potensi bagi membangunkan platform serta mekanisme monetization yang tersendiri  tanpa bergantung kepada platform konvensional.

 

Dalam dunia digital tanpa sempadan kini, boleh sahaja kita membangunkan saluran di Youtube contohnya, yang beroperasi di Malaysia, tetapi mengkhususkan khalayak tontonan di benua lain.

 

Kemahiran pengaturcaraan komputer dalam memahami algoritma, sekaligus menyusun strategi kepada khalayak sasaran tertentu membuatkan ia tidak mustahil.

 

Malah kandungan kita boleh sahaja dihasilkan dalam bahasa tertentu yang sesuai dengan sasaran tersebut.


 

kreatif

 


Ini dibuktikan oleh seorang kenalan saya yang berasal daripada Uzbekistan yang menetap di Malaysia. Beliau menjalankan saluran Youtube berita dunia hiburan Uzbekistan, dalam bahasa Uzbek.

 

Beliau menjana ribuan ringgit setiap bulan daripada pendapatan diberikan Youtube meskipun mengendalikan sepenuhnya saluran Youtube tersebut di Malaysia.

 

Ia meyakinkan saya bahawa pendekatan yang sama bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan oleh penerbit Malaysia untuk khalayak luar negara.

 

Contohnya saluran mengenai Borneo, namun dalam bahasa Perancis contohnya. Apa yang penting adalah kemampuan kita untuk menguasai penceritaan dari sudut pandang penonton universal.

 

Satu lagi pendekatan praktikal yang boleh diusahakan ketika memasuki dan bersaing dalam pasaran sebuah negara adalah tidak tertumpu kepada pasaran dalam industri penyiaran semata-mata, tetapi juga meneroka ruang dan peluang keperluan kandungan kreatif dalam sektor-sektor lain.

 

Ini termasuklah merangkumi sektor pendidikan, pelancongan, kebudayaan malah perubatan.


 

kreatif

 


Kemampuan untuk kita mengenal pasti segmen pasaran yang kurang diteroka ini membolehkan kita mengelak daripada bersaing dengan pemain besar penyiaran di negara terbabit.

 

Ini semua adalah idea-idea alternatif yang cuba fikirkan, untuk keluar dari kepompong bergelut dalam pasaran konvensional sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tempatan.

 

Saya melihat pasaran antarabangsa bukan lagi gelanggang yang hanya terhad untuk syarikat gergasi.

 

Teknologi hari ini memungkinkan sebuah syarikat kecil di bandar kecil di Malaysia contohnya, mampu menjana pendapatan daripada penghasilan kandungan untuk pasaran sebuah negara di Eropah.

 

Dalam dunia hari ini, tiada yang mustahil, malah segalanya mungkin!       - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
Portfolio Tags