Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Dari Hikayat Kita - 19 February 2022

Pengajaran dari Kitab, Lontar dan Prasasti lama 

 

 

 

BAYANGKAN perasaan ekspedisi dari Barat ketika sampai ke Dunia Alam Melayu pada kurun ke-16. Mereka bangga melayari Lautan Hindi ke dunia Asia. Dari Portugal, Belanda, Sepanyol, mereka berlumba antara satu sama lain untuk menguasai dunia timur yang mereka anggap tidak bertamadun dan kuno.

 

Bagi mereka, tidak menjadi dengkel untuk belayar beribu batu, menakluk kerajaan dunia lain, merampas harta dan tawanan perang. Yang penting mereka menguasai perdagangan rempah ratus, menghentikan penguasaan Islam dalam rantaian perdagangan dan mengaut harta karun. 

 

Namun apabila sampai ke Dunia Melayu, beberapa kejutan menanti mereka:

  1. Dunia Alam Melayu sebegitu luas, lebih 20,000 kepulauan, disatukan di bawah satu bahasa - pemerintah tertinggi semua memahami Bahasa Melayu dari Kerajaan Maynila ke Acheh, Campa ke Mataram. Melaka ke Brunei. Tandang Sari ke Patani. Sungguh berlainan dari dunia Barat pula, di mana semua negara beraja mempunyai bahasa sendiri yang diagungkan bersaing bermati-matian untuk keberadaan. 

     

  2. Kerajaan Dunia Melayu telah terdiri seawal kurun ke-6 hingga ke-15 dan mempunyai struktur pemerintahan yang jelas. Contohnya kerajaan Sriwijaya, Majapahit, Kedah, Langkasuka, Pasai, Melaka, Johor Riau Lingga, Patani dan Campa.

     

  3. Berlainan agama tidak menjadi masalah di Dunia Alam Melayu. Hindu. Buddha. Islam. Agama itu biasanya satu pemilihan ketua. Di Barat, berlainan ideologi mazhab gereja juga sanggup berbunuhan.

     

  4. Emas dan perak berleluasa menjadi pengantara perdagangan dan diplomasi antara kerajaan Dunia Melayu. Di mana ada Melayu, di situlah ada emas. Kekayaan dunia Melayu terlihat dari perhiasan busana, peralatan diraja, sajian santapan, kenaikan diraja, manuskrip berhias. Ukiran kayu, pertukangan tangan berseni tunggak kebolehan zaman berzaman.

     

  5. Kemahiran ilmu lautnya begitu tinggi, dari perahu yang pantas ke jong membelah lautan. Ilmu besi dimiliki tukang pandai besi. Ada Kitab Tib untuk rawatan pelbagai keadaan. Budayanya halus dan berketerampilan mulia. 

     

  6. Penaklukan kuasa Mongol berleluasa hingga ke sanubari dunia Barat. Namun Mongol dikalahkan oleh kelicikan strategi Raden Wijaya pengasas Majapahit. 

 

 

melaka

 

 

Apa yang harus dilakukan untuk menundukkan Dunia Alam Melayu ini?

Ternyata, lenyapkan sejarah Agungnya. Perlekehkan bahasanya. Tanamkan budayanya diganti budaya Barat. Hasut Raja-Raja Dunia Melayu supaya berkelahi antara satu sama lain.

 

Gunakan cara diplomatik bukannya kekerasan apabila memperdayakan orang Melayu. Gunakan mereka yang boleh dibeli dengan harta benda dan tiada kesetiaan pada Dunia Melayu. 

 

Inilah proses yang digunakan ratusan tahun lamanya ke atas bumi tercinta. Ada persamaan dengan apa yang kita lihat di persada dunia hari ini. Kuasa besar ingin menguasai ekonomi dunia dengan pelbagai cara. Teknologi. Farmasiutikal. Hartanah. Perbankan. Dunia membangun dan ketiga menjadi mangsa percaturan. 

 

Penjajahan Minda

Pada kurun ke-16, Dunia Barat melihat ribuan manuskrip menggunakan penulisan tempatan berbentuk pallavi, rencong dan jawi. Mereka membawa pergi manuskrip seperti Lontar Negarakertagama ke Belanda dan Hukum Kanun Melaka ke Vatican City untuk mendalami isi kandungannya. Misi utama adalah untuk melekehkan sejarah lama Dunia Melayu.

 

R O Widstedt
R O Widstedt

 

 

Contohnya, R O Widstedt dalam mendekati Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Bernard H M Vlekke menganggap Parataton sebagai rekod lebih mirip dongengan dan tidak boleh diguna sebagai rujukan sejarah sehingga Vlekke menulis versi sejarahnya NUSANTARA. 

 

Yang pasti penjajah membaca manuskrip in dengan kaca-mata penjajah di luar konteks adat dan adab. Mereka tidak faham bagi orang Melayu kita memahami yang mana bayangan, yang mana kenyataan.

 

Yang mana peribahasa, bunga bahasa dan yang mana fakta. Kita dapat lihat dengan jelas mana dia naratif yang kerap diulangi seluruh Dunia Melayu sebagai kod atau mesej dalam penceritaan, bunga-bungaan dan yang mana sejarah untuk peninggalan anak cucu masa hadapan.

 

Inilah kepincangan pengkaji Dunia Melayu terdahulu dari barat. Mereka lebih gemarkan hikayat dari ilmu yang masih tersirat. 

 

Tujuan penjajah jelas untuk menundukkan bangsa di Dunia Alam Melayu dengan tipu helah atau ‘wit and deceit’ dan ‘diplomatic protocol’. Objektif utama mereka: 

  1. Menakluk bangsa lain dan mengaut kekayaan dunia baru
  2. Melenyapkan sejarah keagungan supaya mudah memanipulasi dunia baru
  3. Menidakkan konteks budaya dan sejarah dunia baru (yang sebenarnya dunia jauh lebih lama)
  4. Menghasut dan melaga-lagakan Raja-Raja Dunia Melayu Nusantara
  5. Memperluaskan penganutan agama

 

Sebelum memanipulasi bangsa, penjajah mengenal pasti kelemahan yang ada. Ini dilakukan dengan mendekati masyarakat, seperti yang dilakukan Lopez de Sequeira sebelum ditangkap. Dia dapat mencari kelemahan dalam sistem Kesultanan Melaka dan menggunakan ini untuk mencari jalan meruntuhkan institusi kerajaan sedia ada. 

 

Penjajah juga mendalami ribuan kitab-kitab Dunia Melayu yang menerangkan dengan jelas kekuatan dan kelemahan mereka. Ini sangat merbahaya. Malangnya kita sendiri membelakangkan kitab apabila jawi semakin hilang peranannya di bidang ilmu pengetahuan. Segala kearifan lokal ratusan tahun lenyap dalam masa sedekad. 

 

 

hukum kanun melaka
Hukum Kanun Melaka dibawa penjajah ke Vatican City untuk mendalami isi kandungannya.

 

 

Hari ini, kita mesti lebih peka dengan  cara halus atau subversif pihak asing ingin menguasai dunia. Kelemahan seperti rasuah dan liberalisme yang melampaui batas adab membuka jalan pada pihak asing memasuki ruang penguasaan minda di negara. Cara yang sama beratus tahun dahulu. Jangan kita diperdaya lagi.

 

Ada media sosial, media asing yang mesti dipantau naluri dan hajat mereka. Janganlah kita asyik leka tidak sedar fikiran dijajah. 

 

Kajilah sejarah. Ilmu lama. Budaya tinggi. 

 

Melenyapkan sejarah keagungan

Inilah cara mudah melemahkan jati diri bangsa Melayu. Perkecilkan sumber sejarah yang ada. Pilih beberapa tokoh, perkenalkan budaya  barat. Lenyapkan budaya asal dan banjirkan kota-kota dengan cara hidup yang membelakangkan adat dan tradisi. Timbulkan persengketaan. 

 

Fitnah para pejuang dan wira bangsa sebagai pemberontak dan penderhaka. 

 

Dato Maharaja Lela. Tok Bongkok. Tok Janggut. Dol Said. 

 

Hang Tuah. 

 

hang tuah
Arca Hang Tuah di Muzium Negara

 

 

Sejarah bukan ditulis semata-mata untuk hiburan 

Ia dilestarikan supaya menjadi pengajaran masa hadapan. Kita tidak boleh membenarkan penjajah dunia moden, mahupun pemimpin lupa daratan menggelapkan minda kita. Prasasti Talang Tuwo, Hikayat Merong Mahawangsa, Sulalatus Salatin, Lontar Negarakertagama dan Pararaton menunjukkan dunia yang penuh sejarah kegemilangan dan keruntuhan bangsa. Belajarlah dari kisah lama.

 

Budaya bangsa memberi kekuatan dan hala tuju. Pemimpin yang membelakangi budaya, sudah pasti tidak serasi dengan hala tuju negara seiring dengan budaya.  

 

Lihat Indonesia yang mendirikan Pusat Manuskrip terbesar Asia Tenggara yang mengkaji segala warisan lama. Singapura bekerjasama dengan British Library untuk mempunyai akses pendigitalan manuskrip.

 

Di Malaysia, Perpustakaan Negara menjadi tuan rumah beribu manuskrip Melayu tetapi mungkin ada baiknya fasiliti lebih besar disediakan.

 

 

sat

 

 

Bahasa bangsa memberi jati diri. Pemimpin yang membelakangi bahasa ibunda, sudah pasti tidak serasi dengan sistem pengetahuan atau pendidikan dalam Bahasa Melayu. Sistem yang membentuk anak bangsa fasih dan penuh keyakinan berbicara dalam Bahasa Melayu. 

 

Negara kita satu destinasi Asia Tenggara begitu indah. Pemimpin yang gagal menonjolkan keunikan negara berpaksikan Dunia Alam Melayu - penuh adab dan adat pasti tidak serasi memperkenalkan destinasi berlatarbelakang rumah kampung Melayu, kehidupan di tepi sungai, makyung, tarian zapin dan makanan tradisi serta permainan tradisional.

 

Kekuatan kita terletak dalam Bahasa. Budaya. Bangsa. Berbanggalah dengan segala kekayaan negara yang asli mencelikkan seluruh dunia tentang warisan sejarah kita. 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags