Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Industri Kreatif - 20 August 2021

PENERBITAN, PELABURAN FILEM DIJANGKA SUSUT LEBIH 50% AKIBAT LOCKDOWN

 

 

MENINGKATKAN eksport produk Malaysia ke pasaran serantau dan antarabangsa adalah antara usaha yang seringkali kita dengar sebagai salah satu fokus usaha pembangunan industri kandungan kreatif di negara ini.

 

Namun, industri adalah sebuah ekosistem yang mempunyai rantaian, bukan sekadar dalam konteks rantaian aktiviti perniagaan – tetapi juga penyebab dan akibat - yang akan membawakan kesan langsung dalam pembangunan industri.

 

Dalam usaha meningkatkan jumlah penerbitan yang berdaya saing untuk pasaran eksport, ia pastinya akan berkait usaha untuk menggalakkan jumlah pelaburan dalam industri ini. Peningkatan pelaburan akan  membolehkan industri untuk menggandakan usaha penerbitan dalam konteks kuantiti dan juga kualiti, sekaligus meningkatkan peluang potensi eksport terbabit.

 

Sepertimana pernah pernah dikupas dalam beberapa penulisan saya yang terdahulu, usaha untuk menarik pelaburan, tidak kira pelaburan tempatan mahupun pelaburan langsung asing (FDI) perlu dipelbagaikan dan tidak bergantung kepada sesuatu bentuk sumber semata-mata.

 

Ini termasuklah pelaburan ke dalam industri ini dari sumber syarikat senaraian awam, pelaburan modal teroka, pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya, dalam melengkapi pelaburan syarikat persendirian dan geran kerajaan yang dilihat menguasai pasaran Malaysia ketika ini.

 

Namun, tidak dinafikan, tempoh pandemik kini adalah fasa mencabar dalam usaha menarik pelaburan terutamanya dalam konteks Malaysia apabila industri kreatif khususnya sektor penerbitan dan pemameran dikategorikan sebagai sektor tidak perlu (non-essential sector) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), selaku pihak berkuasa prosedur operasi standard (SOP) memerangi COVID-19 di negara ini.

 

Situasi SOP tidak konsisten dan berubah-ubah sejak tahun lalu, ditambah dengan pelaksanaan lockdown bermula 1 Jun 2021 lalu menyebabkan industri kandungan kreatif terutama aktiviti penerbitan dan pempamer, dalam keadaan tidak menentu sepanjang tempoh tersebut.

 

Meskipun tidak  memiliki data atau statistik yang rasmi, namun secara umum saya dapat melihat penurunan mendadak tahun ini dalam konteks jumlah penerbitan serta pelaburan untuk penerbitan baharu yang dijangka menurun melebihi 50% dari paras kebiasaan.

 

Nilai industri termasuklah nilai pasaran juga akan menurun dan ini pastinya akan memberikan kesan besar terhadap keyakinan pelabur dari pelbagai sektor untuk memberikan kepercayaan bagi melabur dalam sektor ini, setidaknya untuk tempoh setahun mendatang.

 

Oleh itu, dalam situasi ketidakyakinan pelabur, perlu ada usaha  termasuklah oleh pihak kerajaan untuk memastikan aliran tunai dalam industri akan terus bergerak dan nilai industri tidak menjunam ke paras kritikal, meski dalam situasi aktiviti yang hampir lumpuh, terutama dalam aktiviti tertentu seperti penerbitan dan pemameran.

 

 

kreatif

 

 

 

Atas faktor tersebutlah, saya melihat justifikasi dan kewajaran pihak kerajaan yang mengumumkan sejumlah RM100 juta yang diperuntukkan kepada industri kreatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada penghujung bulan Jun 2021 yang lalu.

 

Ketika sebahagian penggiat perfileman mendesak agar peruntukan tersebut disalurkan sebagai bantuan kebajikan secara terus kepada penggiat dan pekerja industri, yang mana kita tahu dan sedar bahawa isu kebajikan penggiat dan pekerja industri merupakan isu kritikal dan sangat penting untuk diberikan perhatian kini - kita perlu melihat faktor yang mendorong kerajaan mengambil keputusan untuk menyalurkannya dalam bentuk geran industri/projek; seperti geran penerbitan, geran latihan dan sebagainya.

 

Aspek pertama adalah berhubung prosedur dan peraturan kewangan kerajaan; tentang perbezaan bajet dari sumber peruntukan mengurus dan juga peruntukan pembangunan. Sepanjang pengetahuan saya, peruntukan di bawah PEMULIH dan beberapa pakej bantuan industri kreatif sebelum ini diberikan adalah daripada sumber peruntukan pembangunan, termasuk sebahagiannya adalah dari peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

 

Jadi, pastinya terdapat halangan untuk membolehkan bajet yang diperuntukkan di bawah peruntukan pembangunan untuk digunakan bagi tujuan bantuan kebajikan, yang mana sepertimana kita ketahui kelazimannya  adalah dari peruntukan mengurus.

 

Tetapi itu hanyalah soal birokrasi.

 

Seperti mana yang telah saya nyatakan terdahulu dalam penulisan ini, terdapat justifikasi jauh lebih penting yang menyebabkan keputusan tersebut diambil  iaitu bagi memastikan kemampanan industri terus bertahan dan tidak benar-benar lumpuh secara keseluruhan.

 

Setiap usaha meneruskan daya tahan dan kemampanan industri – semua golongan dalam industri perlu diberikan perhatian – dari golongan pekerja hingga kepada organisasi perniagaan. Oleh yang demikian, dengan mekanisme dana berteraskan projek, aliran tunai kepada semua golongan ini akan dapat diteruskan.

 

Fokus utama peruntukan ini adalah daya tahan industri yang pastinya berbeza dengan bantuan kebajikan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada seluruh warganegara tanpa mengira sektor termasuklah industri kreatif  melalui pelbagai inisiatif seperti Bantuan Prihatin Nasional dan sebagainya.

 

Suntikan tambahan RM100 juta ke dalam industri kreatif ini penting dalam situasi industri kini yang boleh dikatakan hampir tidak bergerak. Setidaknya, peruntukan RM100 juta yang disuntik ke dalam industri ini akan diambil kira dan menjadi sebahagian daripada nilai industri untuk tahun semasa. Ini memastikan nilai industri pada tahun 2021 ini masih dilihat positif dan tidak menurun secara drastik.

 

 

kreatif

 

 

Menjaga nilai industri ini sangat penting dan akan diambil kira dalam pelbagai perkara termasuklah perancangan negara, khususnya dalam konteks kewangan pada masa mendatang. Contohnya, ia akan mempengaruhi tentang jumlah peruntukan kerajaan kepada industri ini dalam bajet tahunan 2022 akan datang serta menjadi indikator penting untuk pihak kerajaan menilai signifikan industri ini kepada negara.

 

Serta, sudah pasti nilai industri (serta komitmen yang ditunjukkan kerajaan melalui suntikan stimulus ekonomi) menjadi antara faktor yang dipertimbangkan oleh sesebuah pelabur dalam membuat keputusan pelaburan – sama ada untuk mula melabur bagi pelabur baharu atau terus kekal melabur bagi pelabur sedia ada.

 

Usaha menarik pelabur ini cukup penting bagi membolehkan industri terus progresif menuju pasca pandemik dan membolehkan seluruh penggiat dan pekerja industri dapat meneruskan kerjaya dalam industri ini nanti.

 

Saya bukanlah menjustifikasikan rasional tindakan ini sekadar untuk memuji atau menyokong tindakan pihak kerajaan termasuklah penjawat awam – tanpa sebab. Tidak juga saya menafikan bahawa kebajikan para penggiat dan pekerja industri merupakan isu yang paling penting untuk diberikan perhatian ketika ini. Namun penting untuk kita semua melihat dalam konteks yang lebih besar serta kepentingan jangka masa panjang industri ini.

 

Sebagai pentadbir sebuah industri, setiap tindakan yang dilakukan tidak boleh hanya bergantung kepada justifikasi dalam konteks tertentu  mahupun untuk jangka masa pendek semata-mata; tetapi perlu melihat dalam konteks kemampanan yang lebih holistik.

 

Meskipun begitu, dalam memastikan peruntukan ini dapat memberikan manfaat menyeluruh, pentadbir dan pihak kerajaan juga perlu bekerja keras dalam menunaikan tanggungjawab kritikal iaitu memikirkan bentuk projek dan aktiviti industri yang bagaimana sesuai untuk diberikan bantuan daripada peruntukan ini.

 

Dalam situasi mencabar kini, kepentingan semua golongan dalam aliran tunai ini perlu dijaga, disamping perlu untuk bentuk projek yang dibangunkan ini adalah berteraskan manfaat penggiat dan pekerja industri selaku pemegang taruh utama – yang merupakan antara golongan paling terkesan.

kreatif

Terdapat juga beberapa isu dan cabaran dalam implemantasi yang perlu difikirkan. Salah satunya adalah memikirkan pendekatan yang boleh memanfaatkan seberapa ramai mungkin para penggiat dan pekerja industri yang kita ketahui datang dari pelbagai latar.

 

Sepertimana yang kita sedia maklum, sebahagian penggiat dan pekerja industri adalah pakar yang berasaskan skil dan kemahiran, dan mungkin mempunyai sedikit kelemahan dalam aspek dokumentasi – yang mungkin membataskan peluang mereka untuk memohon ataupun mengambil peluang dalam usaha ini. Terdapat beberapa perkara berkaitan prosedur dan birokrasi harus dipermudahkan – khususnya bagi bantuan pembiayaan yang bersifat mikro.

 

Semoga seluruh industri kreatif dapat terus bertahan malah berusaha memanfaatkan pandemik ini sebagai salah satu fasa refleksi dalam usaha meningkatkan pencapaian di masa mendatang.

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

Portfolio Tags