Peneraju TERENGGANUfm manfaatkan populariti untuk turun padang, santuni masyarakat sampaikan dasar kerajaan | DagangNews Skip to main content

Peneraju TERENGGANUfm manfaatkan populariti untuk turun padang, santuni masyarakat sampaikan dasar kerajaan

Peneraju Terengganu FM turun padang menyantuni golongan yang kurang bernasib baik agar mereka tidak tersisih dari manfaat kerajaan.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 1 Sept - Peranan radio ketika ini tidak sekadar menyampaikan sumber maklumat dan hiburan kepada orang ramai, sebaliknya peneraju radio telah tampil lebih kreatif dengan inovasi baharu selaras kecanggihan teknologi digital dunia tanpa sempadan.

 

TERENGGANUfm merupakan salah satu stesen radio negeri di Malaysia dengan slogannya Mesra Ceria, dikendali oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) Negeri Terengganu.

 

Ketua Bahagian Rancangan TERENGGANUfm, Rizallimi Mohamed berkata, pihaknya juga giat turun padang bersemuka dengan masyarakat melalui pelbagai program yang diatur sebagai inisiatif merapatkan lagi hubungan peneraju radio dengan rakyat di seluruh negeri.

Rizallimi Mohamed
                        Rizallimi Mohamed

 

Katanya, kesemua 15 peneraju TERENGGANUfm adalah individu popular yang dikenali ramai dan mempunyai bilangan pengikut tinggi di media sosial masing-masing.

 

"Setiap kali mereka turun padang, masyarakat mudah menerima saranan dan idea mereka terutama dalam kalangan warga emas dan penduduk di kawasan luar bandar....jadi ini kesempatan terbaik untuk kita menyampaikan dasar-dasar yang telah kerajaan laksanakan untuk menjaga kebajikan rakyat.

 

"Contohnya ketika program vaksinasi COVID-19 dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara, semua petugas perlu memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kepentingannya agar tiada yang keliru dengan maklumat negatif disebarkan pihak anti vaksin.


 

TERENGGANUfm
Barisan peneraju TERENGGANUfm

 


"Setiap hari, kami membuat hebahan apa kebaikan vaksin untuk mendapatkan perlindungan imuniti, di manakala letaknya lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada di Terengganu dan PPV bergerak yang diwujudkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk penduduk di kawasan pedalaman.

 

"Kita cuba sedara upaya untuk ubah persepsi negatif sesetengah mereka terhadap vaksin, gunakan bahasa yang mudah difahami mengikut loghat daerah dan hasilnya program vaksinasi di Terengganu telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Ledakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang semakin canggih sejak akhir-akhir ini juga mendorong TERENGGANUfm sebagai agensi utama di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk semakin aktif dengan menampilkan kandungan lebih berkesan untuk halwa telinga pendengar.

 

"Dulu, hanya suara yang kedengaran di corong radio namun sekarang orang ramai boleh melihat sendiri semua peneraju Terengganu FM bersiaran secara langsung di Facebook dan pendekatan ini terbukti merapatkan lagi hubungan bersama pendengar.


 

TERENGGANUfm
Hebahan TERENGGANUfm tidak lagi terhad dalam konti sahaja, sebaliknya turut berpanas berhujan ke lokasi untuk bersemuka dengan pendengar setia.

 


"Peneraju TERENGGANUfm juga bersiaran di televisyen mengikut giliran negeri di TV1 untuk segmen seleksi pagi dan seleksi radio bervisual.

 

"Mungkin berbeza dengan kota metropolitan yang lain, di Terengganu ini, sosok tubuh peneraju radio sangat terkenal umpama selebriti bagi masyarakat yang meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap berita yang mereka bawakan kerana ia adalah maklumat tepat dan berfakta.

 

"Sebab itu, saya memberi penekanan agar peneraju TERENGGANUfm terus komited bekerja dan menyampaikan maklumat yang sahih sahaja, pada masa sama nasihati dan didik masyarakat agar tidak menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

"Contohnya, isu penipuan scammer pun sering kita sampaikan agar mereka tidak mudah percaya dengan helah sindiket itu.


 

TERENGGANUfm
Pelbagai pesanan turut disampaikan kepada orang ramai di Terengganu sempena program agihan bubur asyura baru-baru ini.

 


"Kami di TERENGGANUfm umpama kaunter pertanyaan rakyat dalam 1001 persoalan dan akan memberi  jawapan mengikut ruang lingkup yang ada...kami juga setia komited memberi ilmu dalam pelbagai bidang menerusi program dan segmen menarik yang dilancarkan," katanya.

 

Antara yang mendapat pilihan tertinggi pendengar ketika ini ialah segmen Tonggak Ceria Pagi dan Guaner Gamok Orang Kita. - DagangNews.com