Pemilikan 30% Ekuiti Bumiputera: Jauh Panggang Dari Api | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 6 April 2022

Pemilikan 30% Ekuiti Bumiputera: Jauh Panggang Dari Api

 

 

 

WAWASAN Kemakmuran Bersama 20230 (WKB2030) yang menggariskan Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG perlu “diberi nafas baharu” dalam menempatkan semula ekonomi pasca pandemik dan krisis, memangkinkan pertumbuhan dan pembentukan semula masa depan negara.

 

RMKe-12 iaitu 2021-2025 adalah fasa pertama dalam WKB2030 bagi mencapai kemakmuran, kebersamaan dan kemapanan yang disasarkan. Pelaksanaannya akan turut memastikan manfaat pertumbuhan dinikmati oleh semua golongan dengan matlamatnya semua kumpulan masyarakat akan terus dilindungi bagi memastikan tiada siapa yang ketinggalan.

 

Tiada siapa yang ketinggalan?

Matlamat ini dilihat sebagai satu matlamat yang mahukan setiap rakyat sehingga ke akar umbi merasai pembangunan mampan ini. Kita tidak nafikan pelbagai pelan tindakan kerajaan telah disusun bagi menjayakan matlamat ini.

 

Agenda Pemerkasaan Bumiputera juga menjadi fokus utama WKB2030. Namun persoalan utama, mampukah kita mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang 2030 nanti?

 

Apabila berbincang isu Bumiputera ini, kita perlu mesti berpijak di bumi yang nyata. Sebagai contoh, isu pemilikan ekuiti Bumiputera masih lagi tidak mampu kita selesaikan sehingga hari ini.

 

Status terkini pemilikan ekuiti bumiputera

Sejak 51 tahun lalu, melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970 yang telah meletakkan sasaran pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30% masih gagal dicapai sehingga hari ini.

 

Mengikut data terdahulu pegangan ekuiti Bumiputera tidak pernah sekali pun melebihi pegangan ekuiti non-Bumiputera. Sejarah tertinggi pemilikan ekuiti Melayu-Bumiputera adalah pada tahun 2011 iaitu 23.4 peratus.

 

Kini, apa yang lebih membimbangkan ialah kadar peratus ini semakin menurun pada kadar di bawah 20 peratus.

 

Dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sehingga 2019 pegangan ekuiti Melayu-Bumiputera hanyalah sekitar 17.2%,  sahaja. Hal ini menimbulkan kerisauan pelbagai pihak. Dengan jumlah semasa 17.2%, untuk mencapai 30%, angka ini di anggap jauh panggang dari api.

 

british
Tauke getah British bergambar di ladang getahnya bersama dua pekerjam seorang memotong getah dan seorang lagi tukang angkut barang.

 


Kenapa ia gagal dicapai dan semakin menurun?

Kita tidak boleh meletakkan kegagalan untuk mencapai 30% ekuiti Bumiputera ini  terletak di tangan kerajaan semata-mata. Seperti yang kita tahu, kerajaan telah cuba sedaya upaya dengan pelbagai pelan tindakan untuk mencapai sasaran ini semenjak DEB lagi.

 

Namun peratusan ini semakin menurun juga berpunca daripada kegagalan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat awam berhad memainkan peranan membantu golongan bumiputera.

 

Liberalisasi ekonomi wujudkan “padang sama rata”

Selain itu liberalisasi ekonomi sedikit sebanyak menjelaskan hak Bumiputera.  Apa yang lebih membimbangkan jika kerajaan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dilihat sedikit sebanyak boleh menjelaskan hak istimewa Bumiputera.

 

Peruntukan untuk melindungi hak-hak bumiputera dalam Annex II ‘Non-Conforming Measures’ (NCM) di bawah perjanjian CPTPP tidak menyeluruh dan hanya terpakai untuk beberapa peruntukan substantif berkenaan pelaburan dan sektor perkhidmatan.

 

Bantuan untuk Bumiputera pula diberi melalui lesen atau permit berbeza dengan dasar yang ada. Oleh kerana Bahagian Pelaburan perjanjian CPTPP meliberalisasikan pasaran, syarat 30% ekuiti bumiputera hanya dibenarkan dalam sektor yang tersenarai dalam Annex I & II.

 

Kita takut kelak syarikat Bumiputera akan “ditindas” dengan lambakan barangan asing di pasaran Malaysia. Kita juga bimbang, jika syarikat asing ini mencabar di tribunal antarabangsa yang mahukan peluang serta keistimewaan yang sama dengan syarikat tempatan.


 

MIDA

 


Ekuiti Asing Meningkat

Walaupun tanpa CPTPP, ekuiti asing di Malaysia  telah meningkat dari tahun ke tahun. Data daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari daripada 37.9% pada tahun 2008 kepada 45.5% pada tahun 2019.

 

Sekiranya kerajaan memutuskan untuk meratifikasi CCTPP,  undang-undang sedia ada perlu ditambah peraturan, arahan, surat edaran, dasar dan lain-lain peruntukan perlu diselaraskan selain menilai implikasi serta langkah-langkah mitigasi ini.

 

Terdahulu 11 negara yang telah menandatangani CPTPP adalah Malaysia, Jepun, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei, Vietnam, Chile, Kanada, Mexico dan Peru. Daripada 11 negara ini,  3 negara termasuk Malaysia, Brunei dan Chile masih belum melakukan proses ratifikasi CPTPP.

 

Tarik Minat Pelabur Institusi “Jerung”

Untuk meningkatkan pelaburan ekuiti Bumiputera, pelabur institusi yang di anggap “jerung” ini perlu turut sama dalam agenda Pemerkasaan Bumiputera melalui WKB 2030. Pelabur seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Haji dan seumpamanya boleh membantu untuk mencapai agenda negara ini.

 

Kini, kita lihat tumpuan pelaburan pelabur institusi “jerung” ini kepada portfolio pelaburan yang lain. Jika melabur dalam ekuiti sekali pun, kebanyakan pelabur institusi ini memilih untuk melabur dalam pasaran ekuiti global.

 

Tidak dinafikan keadaan pasaran ekuiti tempatan yang “sukar diramal” menyebabkan pelabur institusi ini “mengubah selera”. Kita tidak boleh salahkan mereka yang tidak mahu menyokong agenda negara dalam meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera.


 

MITI

 


Mereka juga perlu memaksimumkan pulangan dan mengurangkan risiko bagi membolehkan pelabur institut ini membayar dividen yang tinggi kepada pemegang taruh.

 

Selain kerana krisis ekonomi dek COVID-19, pasaran ekuiti Malaysia “sukar diramal” kerana negara mengalami ketidaktentuan politik.

 

Dalam tempoh 4 tahun ini, Malaysia telah bertukar 3 kali pucuk pimpinan negara. Ini juga membuatkan pasaran ekuiti Malaysia mengalami ketidaktentuan dan membuatkan pelabur institusi cuba beralih ke pelaburan lain atau pasaran lain.

 

Pemilikan ekuiti korporat yang mampan

Kerajaan juga perlu memastikan pemilikan ekuiti korporat yang mampan bagi mencapai pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30% menjelang 2030.

 

Kerajaan perlu membangunkan syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi, intervensi bersasar seperti yang digariskan dalam bidang keutamaan  WKB2030 bagi  menangani masalah pembiayaan untuk peluasan, penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dan kemudahan kemasukan ke pasaran baharu. Ia berfungsi untuk melonjakkan daya saing syarikat Bumiputera.

 

Trajektori dan kemasukan pasaran baharu oleh syarikat Bumiputera perlu dimudahkan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat Bumiputera dan pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan mereka kepada Kerajaan.


 

grab

 


Sebagai contoh, kita boleh melihat bagaimana kejayaan penyenaraian awam di Amerika Syarikat (AS) oleh salah satu syarikat permulaan paling bernilai di Asia Tenggara, Grab Holdings boleh dijadikan panduan.

 

Ia adalah unikon teknologi pertama Asia Tenggara yang disenarai awam menerusi syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC), membolehkannya meluaskan capaian ke seluruh rantau  ini.

 

Koperasi boleh bantu tingkatkan ekuiti bumiputera

Selain syarikat-syarikat korporat yang boleh membantu meningkatkan ekuiti bumiputera menjelang 2030, koperasi juga dilihat antara pelabur institusi yang boleh sama-sama untuk menjadi “hero” kepada isu ini.

 

Hal ini selari dengan Surat Pekeliling Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bilangan 1/ 2020 di bawah Seksyen 86B Akta Koperasi  1993 (Akta) yang membenarkan koperasi melabur wang lebihnya dalam mana-mana sekuriti lain yang diluluskan oleh SKM selaras dengan peruntukan di bawah perenggan 54 (1)(a) Akta.

 

Melalui pekeliling ini juga, SKM menggalakkan koperasi di Malaysia untuk turut menyokong agenda Pemerkasaan Bumiputera menerusi WKB 2030 ini dengan koperasi dibenarkan melabur dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi tujuan meningkatkan ekuiti Bumiputera menjelang 2030.

 

Individu Berprofil Tinggi

Pastinya sasaran yang perlu dilakukan oleh kerajaan dengan  fokus kepada pelabur institusi, syarikat, koperasi, yayasan dan lain-lain.

 

Namun dalam masa yang sama, individu yang berprofil tinggi juga boleh “dipancing” untuk merealisasikan matlamat pemilikan 30% ekuiti bumiputera menjelang 2030.


 

entah

 


Siapa golongan berprofil tinggi ini?

Akta Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSA) 2007,  Jadual 6, Seksyen 229 menggariskan individu yang berprofil tinggi ini terdiri daripada individu atau bersama pasangan yang mempunyai nilai aset bersih melebihi RM3 juta atau individu atau pendapatan isi rumah  yang mempunyai pendapatan kasar melebihi RM300,000.

 

Golongan ini dilihat mampu untuk memegang sesuatu saham dalam tempoh yang lebih lama dan sekali gus membantu untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera.

 

Perkukuhkan Pelan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB 2030)

Melalui Jabatan Perdana Menteri, TERAJU telah menggunakan pendekatan rundingan untuk membangunkan TPB2030. TPB2030 adalah hala tuju 10 tahun yang menggariskan strategi melalui program pembangunan dan inisiatif terperinci yang boleh menghasilkan impak bermanfaat kepada Bumiputera daripada WKB2030 dan RMKe-12.

 

Apa yang kita harapkan agar pemilikan ekuiti bumiputera ini akan dicapai menjelang 2030.

 

Takkanlah sehingga tahun 2030 kita masih mahu berbengkel dan berseminar untuk mencari jalan mengatasi masalah penguasaan ekonomi dan merangka polisi untuk ekuiti Bumiputera? - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags