Pemberian subsidi adalah langkah betul bagi ringankan beban rakyat - pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pemberian subsidi adalah langkah betul bagi ringankan beban rakyat - pakar ekonomi

Kerajaan akan meneruskan subsidi kepenggunaan yang meliputi petrol, minyak masak, tarif elektrik bagi tempoh jangka pendek. - Gambar Alex Hudson
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 5 Julai - Pemberian subsidi kepenggunaan merupakan langkah yang betul dalam meringankan beban rakyat, walau bagaimanapun kerajaan perlu segera mengemukakan penyelesaian jangka panjang  termasuklah mempunyai pembaharuan pasaran yang lebih cepat, lebih mendalam dan lebih luas, kata pakar ekonomi.

 

Pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi berkata pengumuman tersebut adalah munasabah, tetapi pada masa yang sama ia akan memberi kesan kepada keadaan kewangan kerajaan, oleh itu, langkah untuk mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan hasil perlu segera difikirkan.

 

"Langkah yang diambil sekarang merupakan langkah jangka masa pendek yang boleh difahami oleh semua pihak, namun ia mesti disertakan dengan beberapa petunjuk jelas mengenai rancangan jangka panjang yang koheren untuk menangani masalah kewangan kerajaan.

 

"Jika tidak ia akan menjejaskan keyakinan pelabur yang penting untuk membawa ekonomi ke arah model pendapatan yang lebih tinggi," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Dr Nungsari Radhi
                Dr Nungsari Radhi

 


Terdahulu menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan meneruskan subsidi kepenggunaan yang meliputi petrol, minyak masak, tarif elektrik bagi tempoh jangka pendek.

 

Langkah kerajaan itu adalah bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

 

Berkongsi sentimen yang sama, Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams turut berkata pemberian subsidi merupakan perkara yang betul dalam jangka pendek untuk mengawal harga dengan subsidi dan kawalan harga walaupun ia melibatkan kos yang mahal memandangkan harga minyak mentah yang tinggi.

 

"Selain dari pemberian subsidi, Malaysia memerlukan sistem kredit pendapatan yang betul melalui sistem cukai dan ini adalah satu bentuk konsep jaminan pendapatan dasar sejagat (Universal Basic Income) dan perlu diperkenalkan segera.

 

"Ini terutamanya apabila Bantuan Keluarga Malaysia dilihat sebagai tidak mencukupi untuk mengurangkan beban rakyat.

 

"Bukan ini sahaja, saya bersetuju dengan penubuhan pasukan khas jihad tangani inflasi dan pasukan ini akan melihat kepada aspek kartel dan monopoli dan ini bagus kerana kartel dan monopoli mesti dipecahkan untuk mewujudkan lebih banyak persaingan di pasaran," ujar beliau.

 

 

Geoffrey Williams
                                              Geoffrey Williams

 

 

Rabu lepas, Mesyuarat Jemaah Menteri dilaporkan bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

 

Williams menegaskan bahawa kerajaan mesti melihat kepada reformasi menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada mekanisme subsidi bersasar memandangkan kerajaan masih tidak mempunyai mekanisme untuk melakukannya (subsidi bersasar). – DagangNews.com