Pembeli perlu tunggu sehingga Mac 2023 dapatkan kereta baharu | DagangNews Skip to main content

Pembeli perlu tunggu sehingga Mac 2023 dapatkan kereta baharu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Sept - Pembeli dijangka tidak perlu tunggu begitu lama untuk mendapatkan kenderaan baharu memandangkan syarikat pengeluar kini berusaha untuk mempercepatkan tempahan yang tertunggak. 

 

Berdasarkan anggaran AmInvestment Bank Research, tempahan membabitkan sesetengah model kenderaan mengambil masa kira-kira 5 hingga 6 bulan. 

 

Penganalisisnya, Muhammad Afif Zulkaplly berkata, ketidaktentuan penghantaran kereta juga dijangka berkurangan apabila masalah cip dan gangguan rantaian bekalan semakin berkurangan. 

 

Katanya, momentum jualan dijangka berterusan pada suku ketiga memandangkan kadar tempahan harian semakin baik meskipun pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tamat pada 30 Jun lalu.

 

"Kami percaya ini didorong oleh permintaan asas yang kukuh untuk kereta apabila ekonomi kembali pulih sejak terkesan dengan pandemik COVID-19. 

 

"Memandangkan senarai menunggu yang panjang dan kadar tempahan yang kukuh, penghantaran kereta berkemungkinan melebihi sehingga Mac 2023 dan ini boleh mengurangkan kejatuhan dalam jualan industri," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif berdasarkan kepada permintaan yang mampan, disokong pertumbuhan ekonomi dan keperluan berterusan untuk kenderaan persendirian, sebagai mod pengangkutan utama rakyat Malaysia.

 

Ini mendorongnya untuk menyemak semula unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 625,000 berbanding unjuran sebelum ini, 610,000 unit.

 

Muhammad Afif berkata, semakan itu mencerminkan 23% pertumbuhan tahun ke tahun, selepas mengambil kira unjuran jualan UMW Holdings Bhd. dan Bermaz Auto Bhd. yang lebih tinggi. 

 

"Kami juga menganggarkan TIV akan meningkat kepada 635,000 pada 2023, yang mencerminkan 2% pertumbuhan tahun ke tahun berikutan permintaan yang kukuh," jelasnya.

 

Selain itu, katanya, jumlah jualan juga disokong oleh pengenalan model baharu, antaranya Toyota Vios serba baharu, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B Perodua dan model berasaskan Geely Proton.

 

"Oleh itu, kami meramalkan hasil sektor akan meningkat 4% tahun ke tahun dan pendapatan meningkat 7% tahun ke tahun, akan terus berkembang pada 2023 walaupun pada kadar yang lebih sederhana," tambahnya.

 

Bagaimanapun, menurut beliau, risiko kepada penarafan semula sektor automotif bergantung kepada kenaikan kos sara hidup yang akan menyebabkan pengguna lebih berhemat dalam berbelanja.

 

"Meskipun kemungkinan ini rendah, tetapi pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (GST) di tengah-tengah persekitaran inflasi akan meningkatkan lagi kebimbangan terhadap sektor ini, dan mengekang sentimen pengguna," katanya. - DagangNews.com