Pemain industri mohon kerajaan kaji semula kadar cukai Vape | DagangNews Skip to main content

Pemain industri mohon kerajaan kaji semula kadar cukai Vape

 

KUALA LUMPUR 9 Dis – Pemain industri vape tempatan memohon kerajaan untuk mengkaji semula kadar baharu cukai cecair vape yang akan berkuatkuasa bermula Januari tahun hadapan dan juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu undang-undang khas yang berbeza daripada rokok tembakau bagi mengawal selia industri ini.

 

Presiden Advokasi Industri Vape Malaysia (MVIA), Rizani Zakaria berkata, pihaknya yang mewakili suara industri terutamanya pengilang-pengilang tempatan amat menyokong usaha kerajaan mengawal selia industri vape termasuk langkah mengenakan cukai terhadap cecair vape bernikotin dan ia adalah perkara yang diperjuangkan industri sejak beberapa tahun ini.

 

Katanya, pihak industri sudah lama memperjuangkan satu undang-undang kawal selia serta sistem pencukaian yang konklusif bagi produk vape bernikotin.

 

Bagaimanapun ujar beliau, kadar RM1.20 yang ditetapkan untuk setiap millimeter (ml) cecair vape adalah terlalu tinggi dan akan membebankan pengilang terutamanya serta memberikan kesan yang negatif kepada industri.

 

Di kebanyakan negara kata beliau, cukai ke atas cecair vape adalah rendah, misalnya, Eropah kadar cukai yang dikenakan hanya antara 0.10 – 0.20 Euro setiap ml.

 

Malah sesetengah negara seperti United Kingdom (UK) dan New Zealand tidak mengenakan cukai ke atas produk ini kerana ia diiktiraf sebagai produk yang boleh membantu perokok berhenti merokok.

 

‘’Kerana itu, kami memohon agar kerajaan mengkaji semula kadar tersebut supaya perniagaan pengilang-pengilang tempatan tidak menerima impak negatif yang ketara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

     Rizani Zakaria
                        Rizani Zakaria


 

Dengan kadar cukai baharu itu, setiap 30 ml botol cecair akan dikenakan cukai sebanyak RM36. Kadar ini adalah bersamaan dengan harga runcit semasa setiap 30 ml botol cecair vape.

 

Rizani berkata, sudah tentu pengguna akan terbeban dengan harga baharu yang akan naik dan akan mencari alternatif yang lebih murah. Ini akan membuka peluang kepada aktiviti jualan produk yang tidak berbayar cukai.

 

Selain cukai, beliau berkata, undang-undang kawal selia juga adalah satu daripada komponen utama bagi memastikan industri ini berdaya saing.

 

“Undang-undang yang bakal dilaksanakan tidak boleh sama seperti undang-undang untuk mengawal rokok tembakau dan haruslah dibuat dengan mengambil kira kesan negatif kepada industri tempatan yang terdiri daripada 3,300 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan 15,000 pekerja,” ujarnya.

 

Rizani berkata, produk ini bukannya produk rokok atau produk tembakau dan ia telah terbukti membantu perokok berhenti merokok sebagai produk yang kurang mudarat.

 

‘’Sekiranya peraturan tidak membezakan produk vape dan rokok tembakau, ia membantutkan usaha pemberhentian merokok dan hanya akan menguntungkan syarikat tembakau,” ujarnya.

 

vape

 


Rizani turut memberikan gambaran di negara maju seperti di UK dan New Zealand, di mana peraturan mengawal produk rokok tembakau dan vape adalah berbeza dengan pendekatan peraturan produk rokok tembakau adalah ketat manakala peraturan untuk produk vape adalah tidak sama supaya ia diberi peluang untuk dipromosikan sebagai produk yang membantu perokok berhenti merokok.

 

“Sehubungan itu, satu petisyen dalam talian juga telah dilancarkan di dalam laman web  www.mvia.com.my bagi mengutip sebanyak mungkin tanda tangan sebagai sokongan orang ramai terhadap usaha kami.

 

“Petisyen ini adalah bertujuan untuk kerajaan mengkaji semula kadar cukai yang ditetapkan dan gubal segera undang-undang kawal selia khusus untuk vape yang berbeza dan berlainan daripada rokok tembakau. Kami harap akan mendapat sokongan daripada semua pihak melalui laman web MVIA dan menandatangani petisyen in,” katanya.

 

MVIA ialah sebuah kumpulan kepentingan khusus yang tidak berlandaskan keuntungan dalam menyokong usahawan dan perniagaan vape Malaysia. Matlamatnya ialah untuk mewakili industri vape dengan menyampaikan suara industri kepada badan kerajaan, pihak berkuasa kawal selia, agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan yang lain.  – DagangNews.com