Pelantikan Muhyiddin terajui MPN kerana pengalaman, pengetahuannya | DagangNews Skip to main content

Pelantikan Muhyiddin terajui MPN kerana pengalaman, pengetahuannya

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com



 

KUALA LUMPUR 6 Sept – Pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri, merupakan satu langkah yang baik oleh kerajaan kerana pengalaman dan pengetahuannya mengenai strategi pemulihan negara.

 

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata, kerajaan ingin melibatkan semua  melibatkan pihak yang membuat keputusan dan pembuat dasar untuk membantu negara maju ke hadapan dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan ekonomi dari segi landskap makro.

 

"Lantikan itu ini juga demi kebaikan bangsa dan negara, oleh itu sumbangan semua orang dialu-alukan agar negara terus stabil dari segi struktur sosial, ekonomi dan politik.

 

“Saya yakin dari segi pasaran juga akan memberi reaksi positif untuk melihat keharmonian politik di antara semua pihak di negara ini. Ia merupakan petanda baik bagi Malaysia, ” katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.

 

 

Shan Saeed
Shan Saeed

 

 

Sabtu lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga setiausaha Kabinet mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN.

 

Pada era Muhyiddin sebagai perdana menteri, beliau telah memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) – yang secara beransur-ansur membuka kembali sektor-sektor ketika keadaan COVID-19 bertambah baik berdasarkan tiga kriteria utama iaitu jumlah kes harian, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.

 

Ketika menzahirkan terima kasih atas pelantikan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Yang DiPertuan Agong, bekas ketua negara itu berikrar menjalankan tugas beliau secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

 

Shan berkata, pendirian Muhyiddin untuk bekerja tanpa ganjaran membuktikan komitmen dan sokongan tanpa syarat beliau terhadap kerajaan untuk mengatasi krisis ini dengan strategi yang bijak dan efektif.

 

Sementara itu, pemain industri yang ditemubual melahirkan pandangan positif tentang pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN.

 

Pengasas dan pengarah urusan Sedania Innovator Bhd, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, dari perspektif nasional, negara  sangat memerlukan pertolongan, dan mana-mana orang yang berkebolehan dan mempunyai pengalaman dan kredibiliti untuk membantu negara harus disambut baik.

 

Azrin Sedania
Datuk Azrin Mohd Noor

 

Menurut Azrin, jika sumbangan Muhyiddin itu diberi secara sukarela tanpa sebarang imbuhan harus dipuji.

 

“Jadi, ini penghormatan dan saya ucapkan selamat berjaya kepada negarawan dan mantan perdana menteri ini yang masih mahu berbakti tanpa sebarang ganjaran kewangan, “ ujar Azrin.

 

Pengerusi Tapio Management Advisory Sdn Bhd, Bernhard Schutte berkata: “Kita di Malaysia sangat pantas mengkritik (seseorang) tanpa memberikan penyelesaian yang munasabah dan membina. Ini biasanya tidak produktif.

 

Bernhard Schutte
Bernhard Schutte

 

“Sesiapa yang bersedia untuk membantu Malaysia sebagai sukarelawan untuk mencari jalan penyelesaian (terhadap sesuatu krisis) adalah  seorang pahlawan (hero).

 

“Setiap orang harus diberi peluang untuk membuktikan keupayaan mereka. Oleh itu, kita harus sentiasa menyokong ahli politik kita yang mahu menyumbang perkhidmatan mereka demi rakyat dan negara. Kita seharusnya melihat hasil dan bukan terus menolak dan menghakimi mereka sebelum mereka bermula, “ tegas Schutte.

 

Sementara itu,  penganalisis, Ismail Hashim, yang juga Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel) mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pelantikan Muhyiddin.

 

Beliau mempersoal kenapa mantan perdana Menteri itu dilantik sebagai pengerusi MPN.

 

“Apabila mendapat tidak cukup undi atau sokongan menjadi PM kenapa lantik pula menjadi pengerusi MPN? Beliau gagal menangani urusan COVID-19 dan ekonomi negara, apa yang dapat beliau selesaikan dengan (menjadi) pengerusi MPN dalam jangka masa ini?

 

“Adakah membalas budi kerana melantik (Datuk Seri) Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri?,’’ soalnya lagi.

 

 

Ismail Hashim
Ismail Hashim

 


Menyentuh tentang kenyataan Muhyiddin yang beliau akan bekerja secara sukarela tanpa imbuhan, Ismail berkata: “ini bukan isu imbuhan atau gaji..ini isu ialah sama ada beliau boleh menjalankan tugas dengan baik atau tidak. Jadi jika tidak bergaji baru nak kerja bagus, semua menteri kena kerja tanpa gaji sebab jika ada gaji menjadi penghalang prestasi,” tegas beliau. DagangNews.com