Pelabur asing beli bersih ekuiti Malaysia setiap hari, minggu lalu  | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli bersih ekuiti Malaysia setiap hari, minggu lalu 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia pada minggu lalu yang berakhir 3 September 2021, di mana menyaksikan aliran masuk berjumlah RM786.42 juta. 

 

Menurut MIDF Research, ini merupakan minggu keempat berturut-turut pasaran ekuiti Malaysia menyaksikan aliran masuk daripada pelabur asing. 

 

Jelas firma itu, sebaik pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur asing membeli bersih RM513.62 juta nilai ekuiti Malaysia, sementara pelabur institusi dan runcit pula menjual bersih, masing-masing bernilai -RM485.65 juta dan -RM27.97 juta.

 

“Pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu. Aliran asing terbesar dicatatkan pada Isnin dengan terendah pada Khamis, masing-masing bernilai RM513.62 juta dan RM6.78 juta. 

 

“Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu kecuali Isnin. Pembelian bersih oleh pelabur runcit dicatatkan pada Khamis dan terendah pada Rabu, masing-masing bernilai RM84.92 juta dan RM4.68 juta. 

 

“Secara terkumpul, pada minggu lalu, pelabur runcit telah membeli bersih RM85.98 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia,” kata MIDF dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Bagi pelabur institusi tempatan pula, mereka mencatatkan penjualan bersih setiap hari dengan aliran keluar terbesar pada Isnin, berjumlah -RM485.65 juta. 

 

Sejak awal tahun 2021, hanya pelabur runcit yang menjadi pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan berjumlah RM9.55 bilion. 

 

Sementara, pelabur institusi tempatan dan asing pula menjual bersih, masing-masing bernilai -RM5.33 bilion dan -RM4.22 bilion.

 

Pada tempoh sama, saham Public Bank Berhad mencatatkan aliran masuk tertinggi bernilai RM4.61 juta diikuti oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) dan CIMB Group Holdings Berhad, masing-masing berjumlah RM2.71 juta dan RM1.84 juta.

 

Saham Sime Darby Plantation Berhad pula menyaksikan aliran keluar terbesar pada minggu lalu mencecah -RM3.48 juta, diikuti oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai -RM2.72 juta dan Malayan Banking Berhad (Maybank) berjumlah -RM2.13 juta. - DagangNews.com