PEKEMA gesa kerajaan segera ratifikasi CPTPP | DagangNews Skip to main content

PEKEMA gesa kerajaan segera ratifikasi CPTPP

CYBERJAYA 13 Nov. Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menggesa Kerajaan mengambil tindakan pantas untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi merancakkan kembali industri automotif negara, pasca COVID-19.

 

Presiden PEKEMA, Dato Zainuddin Abdul Rahman berkata, melalui pelaksanaan Perjanjian ini, Malaysia bakal mendapat manfaat akses pasaran baharu di Kanada, Mexico dan Peru.

 

Menurutnya, PEKEMA berpandangan bahawa pembukaan pasaran baharu ini bukan sahaja memperkukuhkan kerjasama ekonomi sedia ada dengan kesemua negara tersebut.

 

Malah ujar beliau, ia juga memastikan eksport barangan automotif negara terutamanya produk komponen dan alat ganti menerima layanan akses pasaran yang lebih baik melalui inisiatif penghapusan cukai import ke atas barangan tersebut.

 

``PEKEMA berasa gusar dan khuatir dengan kelewatan Malaysia dalam meratifikasi Perjanjian CPTPP.

 

``PEKEMA berpandangan Malaysia telah ketinggalan agak jauh berbanding dengan Vietnam dalam perkara ini.  Justeru, Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang berwawasan dan menguatkuasakan Perjanjian ini secepat mungkin.

 

''Langkah ini akan membolehkan pengeluar serta vendor PKS dalam sektor automotif, khususnya usahawan Bumiputera, kekal berdaya saing dan mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif di bawah CPTPP seperti yang sedang dinikmati oleh Vietnam,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

pekema
          Dato Zainuddin Abdul Rahman

 

 

Zainuddin berkata, PEKEMA juga menyanjung keputusan tegas pihak Kerajaan dalam memelihara hak-hak Bumiputera, di samping memastikan ekslusiviti pengimportan kenderaan di Malaysia terus dipertahan, setelah Perjanjian ini dikuatkuasakan kelak. 

 

''Ratifikasi CPTPP adalah langkah terbaik dalam proses pemulihan ekonomi negara, pasca pandemik,'' tegas beliau lagi.

 

Justeru, PEKEMA berharap Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi meratifikasi CPTPP dan memastikan Perjanjian ini boleh dikuatkuasakan oleh Malaysia selewat-lewatnya tahun hadapan, bagi  membolehkan industri automotif negara meraih manfaat sepenuhnya daripada Perjanjian ini. - DagangNews.com