Pasca COVID-19: Ke mana hala tuju ekonomi Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 27 November 2021

PASCA COVID-19:  KE MANA HALA TUJU EKONOMI MALAYSIA?

Nanyang Siang Pao, 24 Nov 2021 

 

 

KEBANYAKAN negeri di Malaysia telah memasuki fasa keempat pelan pemulihan negara. Hampir ke semua sektor telah kembali pengoperasian sepenuhnya.

 

Tetapi adakah ekonomi Malaysia akan pulih dan melantun semula? Selepas hampir dua tahun memerangi COVID-19, adakah Malaysia mengambil peluang peralihan fasa ini untuk mengubah krisis menjadi satu peluang yang lebih baik?

 

Penyelidik dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Saizi Xiao berpendapat dalam setahun dua ini adalah sukar bagi ekonomi serantau untuk kembali ke tahap sebelum penularan wabak dan mungkin akan mengambil masa 3 hingga 5 tahun.


 

dr saizi ciao
                                         Dr. Saizi Xiao

 

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi ASEAN kini sedang mengalami pemulihan Berbentuk-K (K-Recovery). Singapura berada di puncak K, peringkat kedua pula ialah Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Filipina.

 

Peringkat ketiga pula adalah negara Brunei, Kemboja, Laos dan Thailand. Sementara Myanmar di kedudukan paling bawah kerana keadaan politik negara itu yang tidak stabil dan ada gangguan rantaian perindustrian.

 

Lantunan ekonomi antara negara ASEAN adalah berbeza dan boleh diringkaskan kepada 4 faktor utama iaitu:

1. Kadar pemberian suntikan vaksin dan keberkesanan kawalan wabak.

2. Daya tahan kewangan negara, pakej bantuan kepada rakyat dan perusahaan berkaitan adalah mencukupi untuk merangsang ekonomi.

3. Kestabilan rantaian bekalan dalam dan luar negara.

4.  Kestabilan politik di rantau ASEAN dapat memberi keyakinan penuh kepada pelabur dalam dan luar negara. 

 

Dr. Saizi Xiao juga berpendapat ekonomi Malaysia akan bertambah baik dan stabil dalam tahun ini dan tahun depan, tetapi masih terdapat 4 risiko besar iaitu:-

1. Pemulihan permintaan domestik, memandangkan kuasa membeli rakyat Malaysia sangat lemah.

2. Pasaran buruh “tidak tinggi dan tidak rendah”, kekal dalam jerat pendapatan sederhana.

3. Aliran keluar pelabur asing semasa tempoh wabak, dan pengenalan Cukai Makmur juga boleh menghalang pelaburan asing.

4. Kebergantungan pembangunan ekonomi kepada sumber petroleum dan gas asli. Jika gagal menyokong ekonomi untuk pergi lebih jauh  dalam jangka masa akan datang, tahap pendapatan rakyat yang tidak sekata akan menjadi dilema ekonomi Malaysia. 

 

 

apa

 


Beliau turut menyenaraikan 4 penyelesaian utama untuk menangani 4 risiko utama di atas: -

1. Menerusi transformasi digital untuk meningkatkan nilai tambah produk pembuatan yang akan  membantu meningkatkan pendapatan, kuasa membeli rakyat dan permintaan domestik.

2. Memperkukuhkan pendidikan dan tahap kemahiran serta terus menggalakkan perkembangan ekonomi gig.

3. Cukai Makmur mungkin akan menyebabkan minat pelabur asing terbantut, maka kerajaan perlu menggalakkan pelaburan domestik khususnya dalam sektor swasta.

4. Meningkatkan kemahiran golongan kurang berkemampuan seperti kumpulan berpendapatan rendah agar dapat mencapai pendapatan kekal. Bukannya  menanam pemikiran untuk terus bergantung kepada bantuan kerajaan.

 

Adakah Malaysia cukup syarat untuk menjadi hab digital serantau?

Mengulas perkara tersebut, Dr. Saizi Xiao berpendapat Malaysia masih berpontensi besar kerana menurut tinjauan antarabangsa, pembangunan teknologi digital Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura, lebih baik daripada negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

 

Kerajaan dan rakyat Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang dalam penggunaan teknologi digital tetapi syarikat dan peniaga agak ketinggalan.

 

Masalah ini perlu dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam usaha pemulihan selepas pandemik, begitu juga kekurangan dana yang akan menjadi masalah besar.

 

Malaysia sebenarnya masih kekurangan jurutera perisian, pakar dalam bidang blockchain, kecerdasan buatan (AI), pakar dalam Analisis Data Besar dan perbankan digital.

 

Ini adalah satu daripada sebab mengapa kebanyakan institusi kewangan domestik semasa bidaan 5 lesen perbankan digital telah memilih untuk membentuk konsortium dengan Singapura atau syarikat teknologi China.

 

Oleh kerana melahirkan tenaga mahir dalam bidang digital memerlukan masa yang panjang, negara masih perlu menarik profesional asing untuk mengisi kekosongan.

 

Oleh yang demikian, Malaysia perlu segera menggalakkan peningkatan struktur perindustrian domestik.

 

Berubah daripada kebergantungan kepada teknologi rendah dan intensif buruh, menjadi sebuah negara berteraskan teknologi tinggi.


 

apa

 


Dari segi tarikan pelaburan asing pula, tumpuan harus dialihkan daripada pembinaan infrastruktur mega kepada pelaburan dalam sains dan teknologi serta ekonomi digital.

 

Kerajaan juga harus memperkenalkan dasar yang lebih baik untuk menarik pelaburan asing bersama-sama dengan pelaburan domestik untuk menyelaraskan ekonomi negara.

 

Secara tidak langsung, ini dapat membantu pasaran buruh negara menyediakan pakar dalam industri teknologi tinggi untuk jangka masa panjang.

 

 

 

Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao, 24 November 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

Portfolio Tags