Paras air empangan kendalian TNB dikurangkan bagi hadapi hujan lebat | DagangNews Skip to main content

Paras air empangan kendalian TNB dikurangkan bagi hadapi hujan lebat

Skim Hidroeletrik Sungai Perak, Perak milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat naik sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

 

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Ketiga-tiga empangan skim hidroeletrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Tasik Kenyir, Terengganu; Cameron Highlands, Pahang; dan Sungai Perak, Perak bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat naik sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

 

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Dato’ Nor Azman Mufti berkata, seperti lazimnya, TNB telah membuat persiapan awal dengan mengurangkan paras empangan sebagai persediaan menghadapi hujan lebat pada hujung tahun.

 

Beliau berkata, empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

 

“Kapasiti empangan menakung air di huluan ini dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh.

 

''Air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai, seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

TNB
                   Dato’ Nor Azman Mufti

 


Nor Azman menjelaskan proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

 

Menurutnya, seperti tahun-tahun lalu, TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik bagi meningkatkan kecekapan semua pihak yang berkenaan bertindak pada musim banjir.

 

“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air. Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” tambahnya lagi.

 
 

TNB

 

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline. - DagangNews.com