Optimis dengan pengambilalihan Perstop, AmInvestment naikkan FV Petronas Chemicals kepada RM11.10 | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan pengambilalihan Perstop, AmInvestment naikkan FV Petronas Chemicals kepada RM11.10

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mei - AmInvestment Bank Bhd. mengulangi saranan 'beli' terhadap Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) dengan nilai wajar lebih tinggi pada RM11.10 daripada RM10.90 sebelum ini.

 

Firma itu juga menaikkan unjuran hasil sebanyak 8 hingga 9% bagi tahun kewangan 2023 (FY23) hingga FY24 setelah mengambil kira sumbangan pertambahan nilai susulan cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam syarikat bahan kimia khusus global berpangkalan di Sweden, Perstorp Holding AB.

 

Semalam, PCG memeterai perjanjian pembelian sekuriti bagi memperoleh 100% kepentingan dalam Perstorp membabitkan 1.54 bilion euro (RM7.02 bilion) daripada Financière Forêt S.à.r.l, syarikat di bawah PAI Partners yang juga firma ekuiti swasta Eropah.

 

Cadangan pengambilalihan itu yang dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua 2022, meletakkan Perstorp Group pada nilai perusahaan sebanyak 2.30 bilion euro atau RM10.5 bilion.

 

Menurut AmInvestment, pengambilalihan itu dijangka mengukuhkan portfolio asas petrokimia PCG dan mempercepatkan pengembangannya kepada derivatif margin yang lebih tinggi, bahan kimia khusus dan penyelesaian.

 

Katanya, ia melibatkan pasaran akhir seperti cat dan salutan, pembinaan, automotif, penjagaan diri dan makanan, pemakanan, serta akses kepada pasaran akhir biasa yang menawarkan peluang jualan silang yang ketara dan prospek pertumbuhan kepada seluruh operasi kumpulan.

 

"Kami tidak terkejut dengan cadangan ini, sebaliknya positif dengan pengambilalihan berkenaan. Ini memandangkan kumpulan sebelum ini menyatakan hasratnya untuk berkembang dalam bahan kimia khusus," katanya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : Petronas Chemicals ambil alih Perstorp bernilai RM10.5 bilion

 

Perstorp yang ditubuhkan sejak 140 tahun lalu, terbabit dalam pembangunan penyelesaian mampan yang menumpukan pasaran resin dan salutan, cecair kejuruteraan dan makanan berkhasiat untuk haiwan.

 

Ia terdapat di 26 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia Pasifik yang dibarisi oleh kira-kira 1,500 pekerja.

 

Beberapa produk Perstorp juga di kedudukan pertama global seperti trimethylolpropane (TMP) dan pentaerythritol (Penta).

 

Bagi tahun kewangan 2021, Perstorp mencatat perolehan hasil sebanyak 1.33 bilion euro (RM6.54 bilion) manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan sebanyak 248 juta euro (RM1.21 bilion)

 

Sehubungan itu, secara keseluruhan, AmInvestment kekal optimis dengan prospek hasil PCG memandangkan kaitan yang kukuh dengan harga sahamnya, kos naphtha yang lebih kukuh akan menyokong harga produk petrokimia.

 

"Kami juga menjangkakan, hasil jangka pendeknya kekal stabil berikutan harga minyak mentah Brent diniagakan pada atau melebihi paras AS$100 setong berbanding purata AS$79 setong pada suku keempat 2021," katanya.

 

Setakat 12.18 tengah hari ini, harga saham PCG menokok 6 sen atau 0.6% kepada RM10.08 dengan 1.45 juta saham diniagakan. - DagangNews.com