Ocean Vantage yakin raih projek baharu berkaitan perkhidmatan sokongan dalam industri minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

Ocean Vantage yakin raih projek baharu berkaitan perkhidmatan sokongan dalam industri minyak dan gas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Ocean Vantage Holdings Berhad berkeyakinan bahawa mereka berpeluang untuk meraih beberapa projek berkaitan perkhidmatan sokongan daripada pemain industri utama dalam sektor minyak dan gas.

 

Pengarah Utusannya, Kenny Ronald Ngalin berkata, pihaknya melihat behitu banyak peluang di dalam sektor itu terutamanya melibatkan segmen hiliran terutamanya di Bintulu, Sarawak.

 

Katanya, terdapat beberapa pembangunan berskala besar sedang dilaksanakan termasuk Loji Methanol Petronas Chemical Bintulu, Medan Gas Konvensional Marjoram/Rosmari yang dikendalikan Shell Sarawak dan projek pembangunan gas Timi.

 

"Kejayaan kami meraih kontrak bernilai RM71.3 juta daripada Petrofac Malaysia pada April 2022 membuktikan keupayaan kami dalam mengendalikan projek hiliran berskala besar, membuka pintu untuk mendapatkan lebih banyak projek dengan skala yang sama.

 

"Kami banyak terlibat dengan aktiviti pertanyaan kontrak dan tender, kami berharap ia akan diterjemahkan kepada penganugerahan projek pada separuh kedua tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, buat masa sekarang, kumpulan itu sedang meluaskan perkhidmatan hilirannya untuk menyokong projek berkaitan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian dalam dan luar pesisir.

 

Projek hiliran kebiasaanya mempunyai nilai kontrak yang lebih besar secara amnya dan menghasilkan margin keuntungan yang lebih baik.

 

"Kumpulan ini akan terus memanfaatkan momentum positif pelbagai pelaburan daalam sektor minyak dan gas berdasarkan kepada kenaikan harga minyak mentah semasa.

 

"Berdasarkan kepada kerja-kerja yang berjaya diperolehi dan peluang yang ada, kami akan berusaha untuk merekokdan pertumbuhan prestasi kewangan yang baik pada tahun ini," katanya. - DagangNews.com