NREA 2022 catat penerima anugerah teramai dalam sejarah | DagangNews Skip to main content

NREA 2022 catat penerima anugerah teramai dalam sejarah

Barisan pemenang anugerah MIEA Million Dollars Achievement yang merupakan anugerah yang diberikan kepada ejen hartanah yang mampu mengaut lebih RM1 juta komisyen tahun lepas.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 22 Ogos Edisi ke-14 Anugerah Hartanah Kebangsaan (NREA) anjuran Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) telah mengiktiraf 60 individu dan organisasi dalam industri hartanah di sebuah jamuan yang dihadiri 1,000 ejen di sebuah hotel di Petaling Jaya.

 

Program anjuran MIEA ini telah merekodkan sambutan yang baik iaitu sebanyak 107 penyertaan seluruh negara untuk 23 kategori.

 

Ini merupakan sesuatu yang memberangsangkan walaupun industri hartanah telah mengalami cabaran seperti penyusutan transaksi dan wabak COVID-19 tahun lepas.

 

Seramai 16 ejen telah mendapat anugerah MIEA Million Dollar Achievers (MMDA), anugerah yang diberikan kepada ejen hartanah yang mampu mengaut lebih RM1 juta komisen tahun lepas dengan komisen terkumpul antara pemenang berjumlah RM24.5 juta.

 

Presiden MIEA, Chan Ai Cheng berkata “MIEA menitikberatkan kualiti yang tinggi dalam pengesahan fakta, nilai jualan yang termeterai dan kutipan komisen melalui panel hakim bebas MIEA.

 

“Secara tidak langsung, kami telah membina kepercayaan dalam jenama NREA melalui piawaian kehakiman kami. Akibatnya, lebih ramai ejen dan syarikat hartanah yang ingin diiktiraf oleh anugerah NREA.

 

“Orang awam perlu diingatkan bahawa ejen dan perunding hartanah bukanlah hanya sekadar broker mengambil komisen, malah mereka yang berdaftar mendapat pensijilan dari LLPEH dan diiktiraf kerajaan. Orang awam dinasihatkan untuk menggunakan khidmat ejen berlesen agar dilindungi di bawah undang-undang negara.”


 

Pengerusi Majlis Aldrin Tan berkata “NREA merupakan cara kami memberi penghargaan kepada kerjaya yang semakin berkembang dan tahap kualiti servis dan komitmen yang diberi kepada pelanggan mereka. Kami berharap pihak dari luar industri juga boleh mempertimbangkan khidmat mereka pada masa akan datang.”

 

Majlis jamuan ini dihadiri oleh Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) merangkap Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Sr Abdul Razak Yusak.


 

 Abdul Razak Yusak
Abdul Razak Yusak

 


“Ini membuktikan bahawa kerjaya di dalam bidang hartanah merupakan suatu kerjaya yang lumayan dan memberangsangkan,” kata Norfaizah Abdul Aziz, seorang daripada pemenang anugerah MMDA dan juga ibu kepada enam anak bila ditanya tentang kejayaan beliau.

 

Anugerah NREA bermula pada tahun 2009 dan telah dinobatkan sebagai anugerah berprestij negara di dalam sektor hartanah. Anugerah ini mengiktiraf agen hartanah, perunding hartanah dan agensi hartanah yang telah menunjukkan prestasi dan sumbangan cemerlang di dalam negara.

 

Tahun ini, terdapat 3 kategori baru yang telah diperkenalkan iaitu Jualan Perumahan Terbaik yang dimenangi oleh Brandon Lim Kuo Sheng; Jualan Komersial Terbaik (Timothy Toh Wei Min) dan Jualan Perindustrian Terbaik (Jimmy Hon Kum Yoong).

 

Antara agensi hartanah yang meraih anugerah ialah Kozin Real Estate Sdn Bhd di bawah kategori Agensi Hartanah Kecil 2022, Esprit Estate Agent Sdn. Bhd (Agensi Hartanah Sederhana 2022) dan IQI Sdn Bhd (Agensi Hartanah Besar 2022).


 

ERIC LIM
Penerima MIEA Lifetime Achievement Awards 2022, Eric Lim Chin Heng menerima anugerah beliau daripada Abdul Razak Yusak.

 


Selain itu, dua anugerah yang dinanti-nantikan ialah ‘MIEA Lifetime Achievement Award’ yang dimenangi Eric Lim Chin Heng, Pengarah Urusan Kumpulan ‘Hartamas Group of Companies’ manakala anugerah ‘Real Estate Agent of the Year’ telah diraih Munirah Mohammad, pengasas Homefield Real Estate Sdn Bhd atas kepakarannya mengurus organisasi beliau dan sumbangan beliau kepada komuniti hartanah Bumiputera.

 

Sebagai penganjur NREA, MIEA adalah badan akreditasi yang mewakili semua ejen, perunding dan agensi hartanah di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 1977, objektif MIEA adalah untuk menggalakkan dan mempertingkatkan mutu profesionalisme dalam kalangan ahli industri. MIEA memainkan peranan penting dalam memberi didikan, latihan dan membantu ahli untuk bekerja secara berintegriti. – DagangNews.com