Noor Kamarul letak jawatan Pengarah Urusan/CEO Telekom Malaysia, Imri Mokhtar ambil alih | DagangNews Skip to main content

Noor Kamarul letak jawatan Pengarah Urusan/CEO Telekom Malaysia, Imri Mokhtar ambil alih

 

SHAH ALAM 30 Julai -  Telekom Malaysia Berhad (TM) telah mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan (MD) / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkuat kuasa semalam, dan Imri Mokhtar diumumkan sebagai pengganti beliau, berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Pengerusi TM, Tan Sri Mohd Bakke Salleh menzahirkan penghargaan kepada Noor Kamarul atas sumbangan kepada syarikat sepanjang 13 bulan berkhidmat.

Noor Kamarul meninggalkan TM dalam kedudukan yang kukuh biarpun munculnya cabaran-cabaran masa kini semasa pandemik COVID-19.

Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin
                     Noor Kamarul Anuar Nuruddin

 

Menurut TM, di bawah kepimpinan beliau, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TM sebagai perkhidmatan penting terus membawakan kesinambungan penyelesaian sambungan dan digital buat rakyat Malaysia di seluruh negara; sambil memastikan keselamatan para anggota TM di barisan hadapan dan prestasi kewangan yang stabil.

Noor Kamarul menyertai TM sebagai MD / GCEO pada 13 Jun 2019.

Mengenai pelantikan Imri Mokhtar pula, Mohd Bakke berkata, Imri merupakan bakat dalaman TM dengan latar belakang mantap dalam strategi dan operasi perniagaan, dan jawatan terakhir beliau di TM adalah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) serta sebelum itu sebagai Pemangku GCEO, meletakkan beliau pada kedudukan terbaik untuk membawa TM maju ke hadapan dalam fasa pertumbuhan kami yang seterusnya.

``Bersama-sama barisan kepimpinan sedia ada, Imri akan menerajui TM mendepani cabaran-cabaran masa kini dan meletakkan kami pada kedudukan yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan lestari. TM bersedia untuk menerajui Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0); sebagai Penyedia Infrastruktur Sambungan dan Digital Negara dan dalam memenuhi aspirasi ekonomi digital Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Imri, 47, membawa bersama beliau pengalaman dalam bidang telekomunikasi dan strategi selama lebih 24 tahun. Jawatan terakhir beliau adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) di Celcom Axiata Berhad sejak 1 Mei 2020, di mana beliau bertanggungjawab memacu kecemerlangan operasi merentas organisasi dan memimpin fungsi teknologi serta fungsi-fungsi lain yang telah dikenal pasti.

Jawatan Imri terakhir di TM juga merupakan COO di mana beliau bertanggungjawab terhadap operasi perniagaan unifi, TM ONE dan TM Global. Imri merupakan Pemangku GCEO dari November 2018 sehingga Jun 2019.

Sebelum pelantikan Imri sebagai COO, beliau merupakan Naib Presiden Eksekutif (EVP) unifi. Beliau memulakan kerjaya beliau di TM pada tahun 1996 dan menyertai semula TM pada tahun 2005 dan memegang pelbagai jawatan di TM termasuklah Naib Presiden, Pejabat Pengurusan Program dan Prestasi serta EVP, Konsumer.

Sebelum menyertai semula TM pada 2005, Imri berkhidmat di sebuah pengendali TV berbayar di Malaysia dan sebelum itu, beliau merupakan seorang perundingcara dengan sebuah firma perundingan global.

Imri menamatkan pengajian dari University College London dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian Kelas Pertama) serta melengkapkan program-program perniagaan dan kepimpinan oleh Cambridge Judge Business School dan Harvard Business School. - DagangNews.com