Nik Amlizan dilantik CEO KWAP | DagangNews Skip to main content

Nik Amlizan dilantik CEO KWAP

Nik Amlizan Mohamed

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelantikan Nik Amlizan Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa hari ini.

KWAP dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Nik Amlizan itu sekali gus menggantikan Syed Hamadah Syed Othman yang telah menamatkan kontrak perkhidmatan selama dua tahun berakhir 31 Oktober 2020.

"Nik Amlizan sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Bersenjata Malaysia (LTAT) sejak dua tahun lalu.

"Sebelum itu juga, beliau turut memegang jawatan sebagai sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) KWAP selain menjalankan tugas dengan pelbagai peranan sejak menyertai organisasi berkenaan pada 2007," jelas KWAP.

Mempunyai profolio kerjaya lebih dari 25 tahun dalam bidang perkhidmatan kewangan dan dana pencen, mengawasi fungsi pelaburan di semua kelas aset.

Dalam pada itu, pengalaman beliau turut terserlah dalam  industri pengurusan dana, perubahan transformasi dan pengurusan, serta tadbir urus korporat.

Dalam aspek pendidikan, Nik Amlizan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Kolej Claremont McKenna, Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 Oktober lalu, DagangNews.com melaporkan, Nik Amlizan melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Boustead Holdings. Bhd.

Baca: Nik Amlizan lepaskan jawatan di Boustead

Keputusan itu dibuat susulan perletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT pada 30 September lalu. - DagangNews.com