Niaga hadapan MSM dijangka diniagakan rendah minggu depan | DagangNews Skip to main content

Niaga hadapan MSM dijangka diniagakan rendah minggu depan

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung.

 

Peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga MSM diunjurkan berada antara RM3,700 dan RM4,000 satu tan berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan global.

 

“Inflasi di Amerika Syarikat, ketegangan geopolitik di Ukraine dan sekatan pergerakan di China akan turut mempengaruhi harga MSM,” katanya kepada Bernama.

 

Peniaga minyak sawit David Ng turut mengunjurkan harga MSM akan diniagakan pada trend penurunan berdasarkan eksport yang kurang menggalakkan dan kebimbangan mengenai pengeluaran yang meningkat.

 

Beliau mengesan paras sokongan pada RM4,500 satu tan dan paras halangan pada RM5,100 satu tan.

 

Bagaimanapun, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Sathia Varqa berpendapat bahawa pasaran MSM akan menyaksikan pemulihan harga pada minggu depan dengan peningkatan pengeluaran tidak kukuh seperti yang dijangkakan.

 

Berdasarkan data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA), katanya pengeluaran pada Jun meningkat 3.89 peratus. 

 

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia kebanyakannya tinggi, dipengaruhi oleh kenaikan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago dan pengukuhan di Bursa Komoditi Dalian.

 

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak bulan semerta Julai 2022 meningkat RM88 kepada RM4,886 satu tan, Ogos 2022 naik RM74 kepada RM4,776 satu tan, penanda aras September 2022 menambah RM44 kepada RM4,708 satu tan, Oktober 2022 menokok RM23 kepada RM4,691 satu tan, November 2022 meningkat RM19 kepada RM4,701 satu tan dan Disember 2022 naik RM9 kepada RM4,720 satu tan.

 

Jumlah dagangan merosot kepada 318,743 lot daripada 438,658 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 207,785 kontrak daripada 215,808 kontrak sebelum ini. Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan naik RM10 kepada RM5,000 satu tan. - DagangNews.com