MyCC denda RM1.5 juta terhadap 8 syarikat terlibat kartel tipuan bida | DagangNews Skip to main content

MyCC denda RM1.5 juta terhadap 8 syarikat terlibat kartel tipuan bida

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Julai – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti kewangan berjumlah RM1.55 juta terhadap 8 syarikat susulan penglibatan mereka dalam aktiviti tipuan bida melibatkan 4 projek berasingan berkaitan IT bernilai RM1.93 juta yang diperoleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

 

Ini adalah kali pertama MyCC menghukum syarikat yang didapati bersubahat dalam penipuan bidaan sejak penubuhan suruhanjaya itu pada 2011.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, individu atau perusahaan yang didapati terlibat dalam perlakuan tipu bida dalam perolehan awam boleh digantung pendaftaran untuk tempoh maksimum sehingga 5 tahun, disenaraihitamkan dan dilarang daripada menyertai atau menerima sebarang tawaran perolehan yang dikeluarkan oleh agensi Kerajaan semasa tempoh penggantungan itu berkuat kuasa.

 

Ia adalah susulan pelaksanaan pekeliling Integriti dalam Perolehan Awam (PK 1.6) yang baru dikeluarkan untuk dibaca bersama dengan pekeliling Ketidakpatuhan dalam Perolehan Awam (PK 8) oleh Kementerian Kewangan.

 

“Keputusan ini mencerminkan komitmen MyCC untuk terus membanteras perusahaan yang bersekongkol untuk menguras dana awam melalui aktiviti tipuan bida. 

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ASWARA di atas kerjasama yang diberikan sepanjang penyiasatan kes ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

myCC
SUMBER : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)

 

 

 

Pada awal 2017, selepas menerima maklumat mengenai dakwaan perlakuan tipuan bida yang melibatkan projek ASWARA, MyCC memulakan siasatan di bawah seksyen 15 Akta Persaingan 2010 untuk memastikan sama ada terdapat pelanggaran seksyen 4 di bawah Akta yang sama. 

 

Semasa penyiasatan dijalankan, MyCC mendapati 3 lagi projek lain mengandungi unsur tipuan bida yang serupa.

 

Selepas semakan menyeluruh terhadap bukti dan pertimbangan teliti terhadap representasi bertulis dan/atau lisan oleh kelapan-lapan syarikat tersebut, MyCC memutuskan bahawa, berdasarkan bukti yang kuat dan kukuh, perlakuan syarikat-syarikat tersebut merupakan pelanggaran di bawah seksyen 4(1) yang dibaca bersama seksyen 4(2) Akta Persaingan 2010.

 

Oleh itu, kelapan-lapan syarikat ini telah didapati melanggar Akta Persaingan 2010 dengan penglibatan mereka dalam siri perjanjian antipersaingan tipuan bida dan/atau amalan bersepadu yang melibatkan projek perolehan ASWARA.

 

Dalam pada itu, Iskandar juga memberitahu, MyCC kini sedang menyiasat 500 syarikat yang disyaki terlibat dalam penipuan proses tipuan bida dengan kontrak bernilai RM2 bilion dalam pelbagai industri. 

 

"Kami tidak akan berputus asa dan bertekad dalam tindakan tegas ini. Nantikan lebih banyak keputusan yang akan menyusul,” tegasnya. - DagangNews.com