Skip to main content

MVA: Jadikan sains sebagai panduan gubal undang-undang vape

Peraturan kesihatan cenderung untuk menggabungkan vape dengan rokok walaupun pada hakikatnya risiko vape adalah jauh lebih rendah berbanding merokok, kata MVA

Persatuan pengguna vape tempatan menggesa Kerajaan untuk membangunkan peraturan vape yang berasaskan bukti dan sains yang dijangka akan dibentangkan pada sidang parlimen akan datang.

 

Malaysian Vapers Alliance (MVA), yang memperjuangkan penggunaan produk yang kurang memudaratkan seperti vape untuk membantu perokok berhenti merokok, menekankan kepentingan penggubalan peraturan yang melindungi keselamatan pengguna vape dengan menawarkan alternatif yang berkualiti, berkesan dan kurang memudaratkan kepada merokok.

 

Presiden Malaysian Vapers Alliance, Khairil Azizi Khairuddin berkata, walaupun kerajaan telah menyatakan kesediaan untuk mengawal selia industri vape dengan mewajibkan peranti diperakui SIRIM dan cukai ke atas cecair vape, peraturan secara keseluruhannya masih kurang.

 

Difahamkan kata beliau, peraturan kesihatan cenderung untuk menggabungkan vape dengan rokok walaupun pada hakikatnya risiko vape adalah jauh lebih rendah berbanding merokok.

 

Menurutnya, itulah sebabnya MVA mengesyorkan pengenalan kepada rangka kerja kawal selia khusus untuk vape yang dibezakan daripada tembakau tradisional dan berasaskan bukti sains.

 

“Peraturan mesti seimbang untuk memastikan produk vape tersedia kepada pengguna dan boleh diakses oleh perokok yang ingin beralih kepada alternatif yang kurang memudaratkan dan memastikan produk ini tidak dipasarkan atau dijual kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Dalam menerangkan bagaimana peraturan harus dibezakan, Khairil berkata, selain memastikan produk vape mudah diakses untuk menggalakkan perokok beralih daripada rokok tradisional, peraturan juga mesti membenarkan industri terlibat dalam aktiviti promosi yang disasarkan kepada perokok, dengan tujuan mendidik mereka mengenai konsep pengurangan kemudaratan.

 

Khairil Azizi Khairuddin
                Khairil Azizi Khairuddin

 

 

Selain membangunkan rangka kerja kawal selia khusus untuk vape, MVA juga menggesa Kerajaan untuk memastikan harga produk vape kekal mampu milik.

 

Di bawah Bajet 2022, kerajaan mencadangkan cukai sebanyak RM1.20 setiap mililiter cecair vape (nikotin dan tanpa nikotin), yang sehingga kini masih belum dilaksanakan.

 

MVA berpandangan bahawa duti eksais yang dicadangkan adalah terlalu tinggi dan akan mengakibatkan harga cecair vape menjadi sangat tinggi.

 

“Langkah ini akan menghalang pengguna vape daripada menggunakan alternatif yang kurang memudaratkan dan sebaliknya akan mendorong mereka ke arah produk pasaran gelap. Dalam senario terburuk, mereka mungkin kembali menggunakan rokok tradisional.”

 

“MVA mengesyorkan agar kerajaan mengekalkan duti eksais sedia ada sebanyak 40 sen setiap mililiter bagi cecair vape tanpa nikotin dan mengembangkan rangka kerja percukaian ini untuk cecair nikotin.

 

“Dengan cara ini, produk vape akan kekal mampu milik kepada perokok yang ingin bertukar, di samping menyediakan pendapatan tambahan kepada kerajaan,” kata beliau.

 

The Malaysian Vapers Alliance (MVA) adalah kumpulan advokasi bukan berorientasi keuntungan yang memperjuangkan penggunaan produk vape untuk membantu perokok berhenti merokok.

 

Usaha MVA didedikasikan untuk memperkasakan pengguna dan mewakili kepentingan mereka dalam pelbagai arena perundangan, penggubalan dasar dan penggubalan peraturan. – DagangNews.com