MPOB tumpu 5 bidang penyelidikan utama sejajar teras DAKN 2030 | DagangNews Skip to main content

MPOB tumpu 5 bidang penyelidikan utama sejajar teras DAKN 2030

KUALA LUMPUR 13 Mei – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memberi tumpuan kepada 5 bidang penyelidikan dan pembangunan utama bagi menangani keperluan semasa industri sawit termasuk isu dan cabaran.

 

Perkara tersebut dibincangkan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2022 selama 3 hari yang berakhir semalam.

 

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tuan Jugah Anak Muyang @ Tambat berkata, bidang tersebut merangkumi Prestasi Hasil; Pembangunan Mampan; Mekanisasi dan Automasi, Keselamatan Makanan dan Pemakanan dan Nilai Tambah.

 

"Tumpuan ini adalah selaras dengan 5 teras Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) dari segi kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman, bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor minyak sawit," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mesyuarat PAC merupakan platform untuk memupuk idea, inovasi dan penyelesaian bagi meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB dan memenuhi keperluan industri sawit. 

 

PAC, yang terdiri daripada saintis dan pakar terkemuka dalam industri sawit dari dalam dan luar Malaysia mengutamakan dan menambah baik pencapaian penyelidikan kelapa sawit.

 

 

Sawit

 

 

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Mesyuarat PAC 2022 telah membincangkan berkaitan bahan tanaman berkualiti dengan pengurusan ladang yang baik sebagai langkah untuk memastikan hasil yang lebih tinggi pada masa hadapan.

 

Katanya, industri memerlukan pokok kelapa sawit kerdil dan bahan tanaman tahan Ganoderma untuk menangani purata hasil negara yang masih tidak berubah. 

 

"Teknologi bioteknologi, pembiakan dan pengklonan termaju akan membolehkan pembangunan bahan tanaman unggul untuk meningkatkan ketahanan penyakit, ciri kualiti minyak yang lebih tinggi, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan yang paling penting, meningkatkan hasil.

 

"Terdapat keperluan untuk menerima pakai amalan agronomik terbaik untuk meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti,” katanya.

 

MPOB

 

 

Mengenai mekanisasi dan automasi, beliau berkata, MPOB akan meneruskan R&D dalam projek berkaitan penambahbaikan alat penuaian seperti Cantas kerana ia merupakan operasi lapangan paling kritikal untuk dimekanisasikan.

 

"Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) akan menumpukan usaha mencari teknologi penting bagi mekanisasi sawit sama ada daripada firma tempatan atau antarabangsa," tambahnya.

 

MARCOP, yang dilancarkan pada November 2021 memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam rangka kerja IR 4.0 yang menggunakan teknologi seperti dron, robot dan penderia untuk operasi bersepadu dan sistematik. 

 

Ia meneroka, mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti industri perladangan sawit Malaysia dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh.

 

Menurut Ahmad Parveez, ahli PAC, dengan kepakaran dan pengetahuan luas mengenai minyak dan lelemak melihat secara terperinci projek penyelidikan strategik dan isu pembangunan mampan dan mencadangkan penyelesaian praktikal kepada isu tersebut.

 

Jelasnya, pelbagai isu telah dibangkitkan mengenai kemampanan dan perubahan iklim seperti pelepasan gas rumah hijau di ladang sawit, biodiversiti dan usaha pemuliharaan, penebangan hutan serta pencemaran air, udara dan tanah.

 

"Kami memerlukan pendekatan yang seimbang untuk memenuhi keperluan kemampanan bagi industri sawit. Keseimbangan antara planet, keuntungan dan manusia akan menghasilkan industri sawit yang seimbang,” katanya.

 

 

MPOB

 

 

Mengenai keselamatan makanan dan pemakanan, beliau berkata, antara isu yang dibincangkan ialah penyelesaian R&D dan cadangan untuk mengurangkan isu 3-monochloro-propanediol ester (3-MCPDE) dan glycidyl esters (GE). 

 

Katanya, MPOB telah menjalankan banyak kajian dan ujian serta bekerjasama dengan penyedia teknologi untuk menangani bahan cemar yang diproses berkaitan 3-MCPDE dan GE dalam minyak sawit.

 

Isu mengenai nilai tambah turut dibincangkan semasa Mesyuarat PAC 2022, antaranya mengenai biojisim sawit yang berlebihan, minyak sawit dan derivatifnya yang menyediakan pelbagai bahan mentah untuk mempergiatkan aktiviti penciptaan nilai.

 

“Ahli PAC juga berpendapat bahawa Lembah Klang perlu dipromosikan sebagai ‘Lembah Silikon’ untuk mencipta dan mengeluarkan produk bernilai tambah tinggi berasaskan sawit untuk memenuhi keperluan pelanggan domestik dan antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com