MoU Kerajaan & PH: Jangan Hidung Dicium, Pipi Digigit | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 15 September 2021

MoU Kerajaan & PH: Jangan Hidung Dicium, Pipi Digigit

 

 

MALAYSIA mencipta sejarah “luar biasa” apabila buat pertama kalinya kerajaan dan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kelestarian Politik.

 

Menyantuni gesaan Yang di-Pertuan Agong,(YPA) Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kerajaan dan pembangkang meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai keutamaan membawa kerajaan pimpinan Datuk Ismail Sabri dan blok pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk satu kerjasama dwi-partisan”.

 

Persoalannya adalah MoU ini betul-betul kerjasama? Atau hanya “terpaksa”?

Dari sudut pandang berbeza, “kerajaan pintu belakang” pimpinan Ismail Sabri yang diwarisi dari Muhyiddin Yassin bukanlah satu kerajaan yang kuat.

 

Pun begitu, blok pembangkang pimpinan Anwar Ibrahim juga bagai sudah “hilang taringnya” apabila gagal dalam beberapa percubaan merampas kerajaan. Adakah Anwar dan pembangkang betul-betul mahu membantu “menyelamatkan” negara?  atau mungkin Anwar bersetuju dengan kerjasama ini kerana akan diberi saraan dan kemudahan setara seorang Menteri?

 

Ataupun semua ini sekadar strategi “Sheraton Move” bagi mereka.

 

Namun apa jua alasannya, diharapkan kerajaan dan pembangkang boleh meletakkan ke tepi perbezaan ideologi dan kepentingan politik mereka bagi memberi fokus kepada tadbir urus yang lebih baik dalam memerangi COVID-19, pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, kestabilan iklim pelaburan kondusif, kelestarian dan kemampanan perniagaan dan kelangsungan hidup rakyat yang menjadi agenda utama.

 

WARISAN dan PEJUANG enggan sertai

Walaupun kerajaan dan pembangkang telah bersetuju dengan kerjasama ini, masih ada komponen pembangkang yang enggan menyertainya. Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyatakan partinya hanya diundang di peringkat akhir selepas pembangkang (PH) dan kerajaan sudah berunding.

 

PH menafikan perkara ini dan menyatakan wakil WARISAN telah diberi jemputan khas bagi taklimat kandungan MoU namun wakil WARISAN tidak hadir.

 

 Apa-apa pun, WARISAN tidak mahu dijadikan “pak turut” dalam kerjasama ini. Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pula memang tidak mahu terlibat dalam MoU ini dan mahu mempertahankan hak sebagai blok ketiga dan bebas untuk menyokong atau menolak sebarang keputusan kerajaan kelak.

 

 

PM

 

 

Intipati MoU transformasi dan kestabilan politik

Mou yang telah ditandatangani dalam inisiatif satukan suara kerajaan dan pembangkang ini menggariskan 6 perkara asas iaitu:

  1. Pemerkasaan Pelan COVID-19
  2. Transformasi Pentadbiran
  3. Pembaharuan Parlimen
  4. Kebebasan Institusi Kehakiman
  5. Perjanjian Malaysia 1963 (MAF63)
  6. Pembentukan Jawatankuasa Pemandu

 

 

Pembangkang perlu kekal sebagai “His Majesty Loyal Opposition”

Walaupun bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan, pembangkang perlu memainkan peranan dalam semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen negara terutamanya hal berkaitan integriti.

 

Pembangkang perlu kekal sebagai “His Majesty Loyal Opposition” dan bebas untuk “menegur dan mengkritik” kerajaan.

 

Hentikan sikap “bermuka-muka”

Dengan menandatangani MoU ini diharapkan agar tekad bekerjasama pembangkang dengan kerajaan dan hentikan sikap “bermuka-muka” dalam sokongan kepada Perdana Menteri.

 

Sikap bermuka-muka ini buanglah jauh-jauh kerana apa jua tindakan pembangkang untuk menggugat kestabilan politik pada masa dan ketika ini adalah bukanlah waktu yang tepat kerana kepentingan negara dan rakyat sewajarnya didahulukan.

 

Demokrasi bermusyawarah

Melalui kerjasama ini semua pemimpin kerajaan atau pembangkang perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat “Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan”

 

Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan bukannya sekadar slogan sahaja namun perlu dihayati dan diamalkan oleh semua pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang.

 

 

covid
PANDEMIK menyulitkan semua orang di seluruh dunia. - Gambar Huyen Pham 

 

 

Sudah terlalu lama rakyat terkesan

Rakyat rata-rata menyambut baik kerjasama kerajaan dan pembangkang ini.  Rakyat sudah terlalu lama berdepan dengan “tekanan” yang dihadapi dek kerana COVID-19 ini dengan isu kesihatan dan kelangsungan hidup kesan kemurungan ekonomi.

 

Walaupun angka pengangguran di Malaysia sudah mula menurun namun jumlah yang masih mencecah ratusan ribu ini menjadi bukti ramai rakyat yang hilang sumber pendapatan akibat diberhentikan kerja atau terjejas sumber rezeki.

 

Tidak cukup dengan itu, kes bunuh diri di Malaysia pada Januari hingga Julai 2021 meningkat sebanyak 143%   berbanding tempoh sama tahun lalu menunjukkan rakyat Malaysia berada dalam tekanan yang agak “serius”.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih 703,000 kes kematian membunuh diri dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

 

Kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani bunuh diri ini. Antara yang boleh dilakukan dengan mengukuhkan Talian Bantuan Sokongan Psikososial dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang menghadapi tekanan dan yang memerlukan sokongan semasa COVID-19 ini.

 

Tambah baik ekosistem dan persekitaran perniagaan

Dengan kerjasama ini, kerajaan bakal kembalikan kestabilan dan merancakkan pemulihan ekonomi di Malaysia. Dengan perancangan yang jelas daripada kerjasama ini akan memberi impak jangka masa pendek dan panjang kepada proses pemulihan ekonomi negara.

 

Kerajaan perlu memfokuskan kepada usaha dalam menambah baik ekosistem dan persekitaran perniagaan serta menambah nilai kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi peningkatan daya saing negara.

 

Kerajaan juga bertanggungjawab membantu kelangsungan hidup rakyat dan sasarannya bukannya kepada bantuan sekali bayar (one-off) tetapi perlulah kepada peluang perniagaan, bantuan peralatan perniagaan atau pertanian ataupun pengecualian cukai sebagai landskap ekonomi yang bersifat berdikari kepada rakyat.

 

Pengukuhan pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar

Dengan kerjasama kerajaan dan pembangkang ini juga diharapkan dapat mengukuhkan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang meliputi infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian, boleh dilaksanakan dengan baik meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

 

Pengukuhan inisiatif pelan ini juga dijangkakan mampu untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik COVID-19 juga bagi meringankan bebanan mereka.

 

 

volatiliti
Jalan-jalan di bandar yang sunyi semasa PKP pandemik. Gambar imaad whd 

 

 

Isyarat Positif Kepada Pelabur

Situasi ini juga dijangka memberi isyarat positif kepada pelabur untuk mengukuhkan pelaburan mereka di Malaysia. Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dengan persekitaran politik yang stabil, pelabur asing baharu yang mengintai peluang akan mempertimbangkan secara serius peluang mereka untuk melabur di Malaysia.

 

Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed pula menyatakan pelabur kembali memasuki semula ke pasaran Malaysia, didorong kestabilan politik dan komitmen kerajaan untuk meletakkan ekonomi di landasan pertumbuhan.

 

Janganlah Hidung Dicium, Pipi Digigit

Harapannya moga MoU kerjasama ini dapat meredakan krisis politik di mana kerajaan dan pembangkang boleh menzahirkan komitmen dengan mengetepikan segala perbezaan politik antara pemimpin bagi memastikan pemulihan negara dilakukan secara holistik dan inklusif.

 

Namun begitu, janganlah MoU kerjasama ini hanya di “atas kertas” sahaja ibarat hidung dicium, pipi digigit!

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

Portfolio Tags