Momentum jualan Proton Oktober meningkat 20% | DagangNews Skip to main content

Momentum jualan Proton Oktober meningkat 20%

Proton X50


Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. -  Syarikat automotif nasional, Proton berjaya meningkatkan momentum jualannya sebanyak 20% pada Oktober sekali gus memulakan suku terakhir tahun ini dengan cemerlang.

Proton dalam satu kenyataan berkata, dengan peningkatan jualan untuk bulan kelima berturut-turut, Proton berjaya mencapai 11,392 unit jualan pada Oktober 2020 untuk pasaran tempatan dan eksport berbanding bulan sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, jumlah tersebut menurun sebanyak 4.6% berbanding bulan September.

"Sebanyak 84,999 unit telah dijual secara keseluruhan bagi tahun 2020, penambahan sebanyak 6.2% berbanding tahun lepas, pegangan pasaran dianggarkan mencapai 21.3%," jelas Proton.

Meskipun menghadapi penurunan jualan pada Oktober berbanding September, tiga model Proton masih mendahului segmen jenama berkenaan iaitu Persona, Proton X70 dan Proton Exora.

Ketiga-tiga model berkenaan mendahului pasaran segmen-B dengan 2,360 unit, manakala Proton X70 masih kekal sebagai SUV terlaris selain Exora pula kekal dalam pasaran MPV segmen-C.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata, penambahan kadar pelancaran model baru dan jumlah jualan bulan Oktober adalah antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia.

 

Roslan Abdullah
Roslan Abdullah 

 

"Kami menganggarkan Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) bulan ini akan melebihi 57,000 unit, jumlah kedua tertinggi bagi tahun 2020 dan ini bukti ketara pemulihan industri.

"PROTON amat bersyukur kerana jualan bulanan bertambah berbanding dengan tahun lepas dan penambahan
pula amat stabil, tetapi kami yakin boleh mencapai pretasi yang lebih tinggi.” 

“Kajian terhadap prestasi jualan secara terperinci menunjukkan jualan telah menurun secara mendadak di
Malaysia Timur manakala di Wilayah Tengah pula tiada penambahan berbanding dengan bulan September," jelasnya.

Ujarnya lagi, perkara tersebut adalah disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah mengurangkan pergerakan penduduk dan memberi kesan kepada jualan selain penantian pelanggan terhadap model Proton X50.

 

Berikut merupakan prestasi jualan model kenderaan Proton secara individu pada Oktober 2020;

prestasi jualan model kenderaan Proton secara individu pada Oktober 2020


Dalam kenyataan yang sama, beliau memaklumkan model Proton X50 yang telah dilancarkan pada 27 Oktober lalu berjaya menerima sambutan yang amat memberangsangkan dari pembeli di Malaysia. 

Sebanyak 27,400 tempahan telah diterima setakat akhir bulan lepas dan sebanyak 447 unit telah selamat dihantar ke pembeli. - DagangNews.com