Skip to main content

MNO berminat dengan tawaran ekuiti DNB, sedia berbincang dengan kerajaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mac – Syarikat telekomunikasi bersedia berbincang lebih lanjut terhadap tawaran ekuiti yang ditawarkan dalam Digital Nasional Bhd. (DNB), seperti diumumkan Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) minggu lalu. 

 

Dalam kenyataan bersama membabitkan 4 pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd., mereka turut menyatakan minat terhadap cadangan yang dikemukakan setelah kerajaan memutuskan untuk mengekalkan model rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelancaran 5G.

 

Sehubungan itu, mereka mengesyorkan penubuhan pasukan projek untuk menyelaraskan proses seperti usaha wajar, garis masa transaksi dan hal pentadbiran lain.

 

"Dalam erti kata lain, kami ingin memahami dan mengetahui dengan lebih lanjut tawaran ekuiti DNB serta proses seterusnya. 

 

"Sebahagian dari minat ini, kami juga ingin berbincang dan mendapatkan pandangan kerajaan mengenai tawaran ekuiti yang dicadangkan. 

 

"Malah, kami bersedia bekerjasama dengan MoF dan KKMM, serta berharap agar kaedah konvensional dimanfaatkan dalam proses penggabungan dan pengambilalihan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Baca : 5G : Kerajaan kekal model SWN, tawar 70% ekuiti dalam DNB kepada syarikat telco

 

Minggu lalu, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.

 

Ia menyaksikan kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada MNO yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong manakala kerajaan memegang 30% ekuiti.

 

DNB akan dikawal selia oleh KKMM, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) manakala MoF akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.

 

Menurut kenyataan itu lagi, MNO kekal komited untuk memainkan peranan penting dalam pelaksanaan 5G dan mencapai cita-cita digital negara. 

 

"Ini kerana 5G bakal membawa faedah yang signifikan kepada perniagaan, pelanggan, dan juga kerajaan dalam memperkukuh daya saing Malaysia di rantau ini," katanya. - DagangNews.com