Skip to main content

Misi bantuan kemanusiaan Malaysia untuk rakyat Palestin

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

PADA tanggal 6 Ogos 2010 kami berkumpul di KLIA mulai pukul 6 petang. Sudah ramai yang menanti. Check-in pukul 7.45 malam.

 

Di atas dasar keprihatinan rakyat Malaysia tentang nasib saudara-saudara di Gaza, Palestin, MAPIM melalui kerjasama pelbagai NGO dan sokongan dari Kerajaan Negeri Selangor khususnya telah bangkit merealisasikan program Ramadan Di Gaza/ Ramadan March For Freedom.

 

Misi Ramadan di Gaza ini bertujuan untuk mengumpul maklumat dan membuat dokumentasi yang berkaitan untuk tujuan mengenal pasti bantuan dan keperluan umat Palestin khususnya di Gaza.

 

Selain itu kami juga akan menghulurkan bantuan makanan dan perubatan yang sewajarnya kepada penduduk Gaza yang memerlukan. Lebih menarik kami akan cuba berpuasa bersama penduduk Gaza pada peringkat awal Ramadan.

 

Apa yang menarik bagi misi ini ialah ia disertai oleh 45 orang delegasi termasuk kalangan bukan Islam, diketuai oleh tokoh pejuang Cikgu Azmi daripada Mapim. Turut menyertai misi ini ialah seorang ulama' Sahibul Fadhilah Ustadz Abdul Ghani Shamsuddin, bekas Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia dan rakan media termasuk Mohd. Nizal Mohamad, bekas wartawan TV3.

 

Pada saya, kalau ditakdirkan Allah apa-apa berlaku kepada kami, termasuk kemungkinan terkorban, kami berharap Allah akan mencatatkannya sebagai sebahagian daripada amal kami yang tidak seberapa.

 

Sukarelawan seramai 45 orang dari pelbagai latar belakang dan usia berkumpul di KLIA untuk menghantar bantuan berjumlah kira-kira RM3 juta dalam bentuk makanan, ubat-ubatan dan pelbagai keperluan kepada penduduk Gaza.

 

Kira-kira jam 8.30 malam, suasana di Balai Berlepas, KLIA meriah dengan sukarelawan, sekretariat, ahli keluarga dan pihak media bagi menunjukkan sokongan kepada program ini.

 

Semangat perjuangan turut dirasakan dalam kalangan ahli keluarga sukarelawan. Meskipun memahami risiko yang bakal ditanggung, riak wajah tenang oleh keluarga dan para sahabat yang mengiringi menenggelamkan suasana pilu yang wujud di hati masing-masing.

 

Penerangan akhir diberikan oleh Setiausaha Agung MAPIM, Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi serta Mustapha Mansor. Pesawat berlepas dari KLIA kira-kira jam 10 malam.

 

Misi tersebut dianjurkan susulan enam kapal awam Gaza Freedom Flotilla yang diserang pada 31 Mei 2010 di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean. Sembilan aktivis terbunuh di dalam satu kapal yang diserang tentera Israel.

 

gaza
DETIK-detik tentera Zionis menyerang kapal membawa bantuan kemanusiaan Palestin pada 2006.

 

Dalam kejadian yang dikecam seluruh dunia, tentera rejim Zionis turut mencatat kecederaan terhadap anggota yang menyerbu manakala satu parah. Seorang aktivis Turki yang lain meninggal dunia kemudian, ekorang kecederaan parah semasa serangan zionis itu.

 

Tiga dari enam kapal flotila, yang dianjurkan oleh Gerakan Gaza Bebas dan Yayasan Turki untuk Hak Asasi Manusia dan Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan (İHH), membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan, dengan tujuan untuk memecahkan sekatan Israel di Gaza.

 

Israel telah mengeluarkan peringatan supaya membatalkan misi mereka yang disifatkan oleh rejim zionis sebagai provokasi.

 

Dua wira Mavi Marmara Malaysia yang terlibat di dalam tragedi berdarah menggemparkan dunia pada 31 Mei ialah Mustapa Mansor, Setiausaha Inisiatif Malaysia untuk Pembebasan Palestin, MAPIM dan Ashwad Ismail, wartawan (kini Ketua Pengarang) Astro Awani.

 

hikayat

 

Misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla merupakan kesinambungan daripada gerakan Free Gaza Movement. Gerakan Free Gaza Movement merupakan satu gerakan yang ditubuhkan ekoran daripada sekatan yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza pada tahun 2006.

 

Dalam menjayakan misi ini, mereka telah menggariskan misi yang ingin dicapai. Misi gerakan ini adalah (Free Gaza Movement, 2009a, 2009b, 2009c, 2009d):

  1. Memecahkan tembok pengepungan Israel ke atas Gaza.
  2. Meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai sekatan Israel ke atas Gaza.
  3. Memberi tekanan kepada masyarakat antarabangsa untuk mengkaji semula dasar sekatan dan menamatkan sokongan terhadap pendudukan Israel.
  4. Memberikan hak Palestin untuk menyambut masyarakat antarabangsa ke Palestin seperti pelawat, pemerhati hak asasi kemanusiaan, pekerja bantuan kemanusiaan, wartawan dan sebagainya.
     

Walaupun seluruh dunia menyaksikan kekejaman Israel  merentas bangsa dan negara serta juga menjangkau wilayah perairan antarabangsa, solidariti menyertai Freedom Flotilla tersebut mampu memecah keangkuhan Israel.

 

Menyerang dan membunuh aktivis yang tidak bersenjata dengan gerombolan tentera yang lengkap dengan senjata canggih, bukan sahaja bukti Israel adalah penjenayah antarabangsa paling hina, malah juga menunjukkan ciri pengecut tentera Israel.

 

Sunggupun harga yang terpaksa dibayar oleh pelbagai pejuang pembebasan Palestin dan juga ratusan ribu yang terbunuh sepanjang lebih 70 tahun semenjak Israel didirikan  adalah nyawa dan harta benda.

 

Namun menunjukkan memperjuangkan hak dan prinsip keadilan dan rasa kemanusiaan adalah senjata yang paling ampuh untuk berhadapan dengan kuasa Israel yang paling kejam di dunia.

 

Menetapkan supaya wujudnya sebuah gabungan kerjasama seluruh NGO dan masyarakat sivil di Malaysia bersama dengan kerajaan negeri dan Pusat untuk secara konsisten melaksanakan ikhtiar berterusan sehingga rakyat Palestin kembali tegak sebagai negara yang berdaulat.

 

Konvoi kali ini adalah untuk sekali lagi memecah kepungan Israel dan menuntut pintu sempadan Rafah di Mesir di buka secara berkekalan menjelang bulan Ramadan.

 

Misi ini mengambil semangat Freedom Flotilla dan akan mengundang para aktivis Free Gaza Movement seluruh dunia untuk berkampung di Gaza bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada lebih 1.5 juta mangsa kekejaman Israel.

 

Misi Ramadan di Gaza  ini merupakan suatu mesej umat Islam khususnya dan kemanusiaan seluruh dunia amnya untuk menjadikan bulan penuh barakah itu sebagai titik tolak penyatuan dan kebersamaan seluruh dunia untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

 

fudzail
PENULIS (kiri) bersama rakan misi dan rakyat Palestin menjamu selera beramai-ramai.

 

Misi ini mengatur konvoi antarabangsa untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui pintu Rafah dan seterusnya bersama rakyat Gaza menjalani ibadat.

 

Antara projek-projek jangka panjang yang disepakati MAPIM dan Kerajaan Gaza ialah :

  1. Hospital Pediatrik di tengah-tengah bandar raya Gaza,
  2. Cadangan bandar berkembar dengan kota Khan Younis,
  3. Cadangan masjid berkembar dengan Masjid Al-Umri – masjid tertua bandaraya Gaza (1500 tahun),
  4. Pembinaan jalan utama sepanjang 7km di kota Khan Younis yang bakal dinamakan Jalan Persaudaraan Malaysia-Palestin.
  5. Taman Rehabilitasi Kanak-Kanak atas nama Malaysia di sebidang tanah 30 ekar di kota Khan Younis dan
  6. Cadangan kerjasama membangunkan kolej perubatan di Universiti Islam Gaza (Islamic University of Gaza)
  7. Cadangan pembinaan pejabat Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) di Gaza.

 

Maka pada 6 Ogos 2010, kami 45 orang delegasi Mapim berangkat ke Gaza dengan penuh semangat dan harapan untuk membela nasib rakyat Palestin!

 

(Bersambung) - DagangNews.com