MIDF Research kekal positif terhadap sektor teknologi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal positif terhadap sektor teknologi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - MIDF research kekal positif terhadap sektor teknologi selepas mengambil kira permintaan daripada produk dan perkhidmatan berkaitan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan perkara berkaitan kenderaan elektrik (EV) yang kekal kukuh.

 

Firma itu berkata, sektor itu sentiasa berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada kenaikan kadar dan isu makroekonomi lain namun ia kekal stabil dan tidak terjejas.

 

"Kemunculan teknologi baharu sangat bergantung kepada industri semikonduktor untuk menyediakan kuasa pengkomputeran yang diperlukan.

 

"Pendirian positif kami terhadap sektor ini kekal disebabkan prospek masa hadapan mereka kekal stabil dengan peningkatan penggunaan dan integrasi teknologi pintar yang merangkumi pelbagai sektor dan aplikasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, ketika ramai pelabur bimbang dengan permintaan perlahan dalam setor itu akibat kadar inflasi yang tinggi dan konflik di Ukraine, Foxconn merekodkan pertambahan jualan sebanyak 31% pada Jun 2022 kesan daripada rantaian bekalan yang cekap serta perkembangan jualan untuk barangan elektronik pengguna seperti telefon pintar.

 

"Perkembangan itu dilihat sangat positif kepada pemain industri tempatan iaitu Inari yang terlibat dengan dengan rantaian bekalan bagi pembuatan telefon pintar Apple sama seperti Foxconn," katanya.

 

Firma itu berkata, pada Mei 2022, jualan global untuk EV meningkat sebanyak 55% dan mencapai 12% pegangan pasaran global; 31% di China, 19% di Eropah dan 6.1% pasaran Amerika Syarikat (AS).

 

Katanya, perkara itu didorong oleh polisi EV nasional di lebih 45 negara yang menetapkan sasaran peningkatan pembiayaan serta pelaburan oleh pemain pasaran utama untuk menyokong kempen sifar karbon.

 

"EV menjadi faktor dalam meningkatkan permintaan untuk LED pintar dalam segmen automotif dan kami melihat ia akan menjadi pemacu kepada pemain tempatan," katanya.

 

Firma itu memilih Inari (beli, harga sasaran (TP): RM3.65) dan DOGT (beli, TP RM4.48) kerana melihat mereka memiliki kelebihan dalam sektor itu. - DagangNews.com