MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor pembinaan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor pembinaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor pembinaan terutama selepas kerajaan memberikan kelonggaran kepada pemain industri untuk mendapatkan pekerja asing dari negara sumber lain.

 

Firma itu berkata, keputusan kerajaan untuk membenarkan syarikat pembinaan mengambil pekerja daripada negara lain seperti Thailand, Kemboja, Nepal Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan juga memberikan kelegaan kepada pemain industri.

 

Katanya, langkah itu merupakan tindakan tepat apabila Indonesia membekukan pengambilan pekerja yang berpunca daripada salah faham terhadap sistem dalam talian yang digunakan untuk mengambil pembantu rumah dari Indonesia.

 

Difahamkan, pekerja pembinaan dari Indonesia lebih diberi keutamaan kerana mereka merupakan pekerja yang lebih berkemahiran berbanding pekerja dari negara lain.

 

"Memandangkan Indonesia membekukan pengambilan pekerja secara sementara, kami percaya bahawa keutamaan akan diberikan kepada pekerja dari Bangladesh selain negar alain yang berada dalam senarai syarikat pembinaan.

 

"Kami optimis bahawa isu pembekuan pengambilan pekerja dari Indonesia boleh diselesaikan secara baik antara kedua-dua kerajaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, industri pembinaan ketika ini memerlukan sekitar 600,000 pekerja asing dalam usaha meningkatkan operasi mereka selaras dengan pembukaan ekonomi.

 

Katanya, kebanyakan syarikat juga bersiap sedia untuk pelancaran kontrak infrastruktur akan datang bermula dengan MRT3 pada 4QCY22. 

 

"Antara faktor lain ialah masalah kos yang boleh diurus dan potensi pelaksanaan projek infrastruktur di Malaysia dengan perkembangan positif dipacu oleh anugerah tender MRT3 yang akan datang pada 4QCY22," katanya.

 

Firma itu juga menggemari syarikat yang memiliki kunci kira-kira yang stabil kerana dapat memberikan ruang kepada pembiayaan pendahuluan seperti di MRT3 dan untuk projek lebuh raya dengan kerajaan tidak lagi akan menyediakan bantuan kewangan.

 

Antara syarikat pilihan utama firma berkenaan adalah Gamuda (beli, TP: RM4.02), IJM Corp (beli, TP:RM2.18) dan Sunway Construction (beli, TP: RM2.18). - DagangNews.com