MERREPAK Edisi Khas Tahun Baharu Cina 2022: Chow Yun-Fat idola sepanjang zaman | DagangNews Skip to main content

MERREPAK Edisi Khas Tahun Baharu Cina 2022: Chow Yun-Fat idola sepanjang zaman

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM 周潤發

 

 

GENAP lima tahun lalu pada 29 Januari 2017, saya berkesempatan menzahirkan penghargaan kepada pelakon Hong Kong terkenal, Chow Yun-Fat dalam kolum Merrepak di Mingguan Malaysia 1938.

 

Ya bila ada kelapangan dan tidak mengayuh, filem trilogi A Better Tomorrow akan jadi tontonan, entah untuk kali ke berapa ratus. Tidak jemu jemu! Serupalah filem Shawshank Redemption, The Godfather, The Goodfellas.

 

Agak kasihan bila sebut nama superstar Hong Kong, Chow Yun-Fat, tidak ramai generasi Y mengenalinya. Bukan kasihankan mereka. Kasihan pada diri sendiri. Betapa mereka lebih mengenali bintang K-Pop hari ini.

 

Yun-Fat sekarang berusia 62 tahun dan telah melalui zaman kegemilangannya pada 1980-an dan 1990-an menerusi filem berbahasa Kantonis sebelum melangkah ke Hollywood sebagai watak pembantu dan penjahat (kebanyakannya!).

 

Generasi saya iaitu era Michael Jackson, mengenali Yun-Fat menerusi filem A Better Tomorrow yang begitu popular hingga disambung kepada dua lagi filem.

 

Dalam filem A Better Tomorrow, pasti anda yang pernah menonton akan teringat adegan Yun-Fat sebagai Mark Lee, melompat sambil melepaskan tembakan pistol di kedua-dua belah tangannya, dengan sebatang rokok diketap pada bibirnya.

 

Yang lawaknya, Hollywood kemudian meniru gaya filem arahan John Woo atau dia yang membawanya ke Hollywood menerusi filem Face Off lakonan John Travolta dan Nicholas Cage pada 1997. Malah hari ini, bila melihat aksi penembak terbang dengan pistol di kiri-kanan, hati akan pantas berkata: Dia tiru Chow Yun-Fat!’’

 

nicholas cage
Nicholas Cage mengacukan dua pistol, semua dipengaruhi John Woo

 

chow
Sebelum A Better Tomorrow, filem Hollywood hanya guna satu senjata api.

 

 

Setelah menjadi wartawan dan berkesempatan menemu bual anggota penembak tepat polis dan tentera, saya difahamkan bahawa kadar ketepatan kaedah menembak seperti filem Hong Kong itu sebenarnya adalah kosong!

 

Kalau jarak dekat pun, peluru mungkin kena bukan pada bahagian yang disasarkan. Kalau jauh, ia boleh tersasar menjadi peluru sesat dan mengena pada orang ramai. Maka itu sekadar aksi plastik dalam filem aksi.

 

Begitu tinggi minat ter­ha­dap filem-filem lako­nan Yun-Fat, saya ada ko­lek­si video, yang meliputi A Better Tomorrow, God of Gamblers, From Vegas to Macau dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (bersama Datuk Michelle Yeoh).


 

chow

 

 

Filem tersebut dilaporkan dibikin menggunakan ba­jet yang sangat terhad, hing­gakan dana publisitinya pun kurang terutama ke­pa­da penonton bukan ber­keturunan Cina.

 

'A Beta Tumolo' ini bukan saja memecah rekod box office di Hong Kong tetapi juga di beberapa negara Asia. Satu catatan melaporkan filem ini tersenarai di kedudukan kedua Filem China Terbaik sepanjang zaman.

 

Koleksi pita video itu terpaksa pula diperbaharui dengan cakera padat (VCD), setelah teknologi berubah. Lawaknya sekarang semua itu tidak lagi wujud kerana boleh dilayari terus menerusi internet.

 

chow

 

Dialek

Oleh sebab minat terhadap filem Hong Kong ini jugalah, ia membantu saya mempelajari beberapa ayat Kantonis dan Mandarin. Sebenarnya, saya lebih terdedah kepada dialek Hokkien berikutan 50% rakan sekelas di Sekolah Menengah Kerajaan Green Road di Kuching, bercakap dialek tersebut. Bila merantau ke ibu kota, dialek yang diguna ialah Mandarin. Memang tidak difahami pendengaran sama sekali!

 

Apakah menjadi sesuatu yang luar biasa bagi seorang Bumiputera menyukai filem Hong Kong? Tidak sama sekali. Filem melangkaui isu kaum. Ramai orang Melayu gemarkan filem Kung Fu Bruce Lee yang malar segar.

 

bruce
Bruce Lee dengan pakaian ikoniknya dalam filem Game of Death terbitan 1978.

 

Cuma, merrepak hari ini mengaitkan kesukaan terhadap filem Hong Kong ini dengan situasi semasa mengikut zaman.

 

Samalah seperti anda sekarang yang menggemari K-Pop.

 

Bezanya pada 1980-an dan 1990-an, K-Pop belum wujud. Yang menjadi kesukaan ketika itu jika tidak filem Hong Kong ialah drama Jepun. Masih ingat Rin Hanikoma? Penaklukan Korea mungkin bermula dengan Winter Sonata pada 2002.

 

 

sonata

 

 

Filem dan drama merupakan platform terbaik untuk menyalurkan maklumat mengenai sesuatu budaya, sebagaimana sekarang ramai mengetahui siapa dan apa itu Korea.

 

Proses ini telah dilalui generasi kami untuk mengenali lebih dekat Hong Kong secara umum, dan masyarakat Cina khasnya (walaupun filem cereka tersebut adalah fantasi pengkarya se­mata-mata).

 

Generasi ka­mi agak ber­nasib baik ke­rana dari­pada zaman per­sekolahan telah terdedah kepada rakan-rakan se­ke­las da­­ri­­pada kaum lain, dan perlahan-lahan dalam alam dewasa me­ngikuti pula filem-filem hebat Hong Kong.

 

Elemen-elemen ini se­cara tidak lang­sung berjaya menyemai suatu bentuk pemahaman dan toleransi dalam negara pelbagai kaum di Malaysia.

 

Sebenarnya, saya amat risau bila melihat perpaduan kaum sentiasa diuji dalam kancah politik semasa negara. Mungkin generasi kami mampu menepis dan menapis unsur negatif yang dikira tidak menepati makna perpaduan kaum.

 

Tetapi bagaimana generasi sekarang, yang belajar dalam sekolah satu kaum sahaja tanpa ada interaksi dengan kaum-kaum lain?

 

Jika merrepak saya ini sudah kelihatan seperti syarahan, haruslah saya berhenti sekarang. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada pembaca berketurunan Tionghua: Sin Niew Kwai Ler.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu (A Better Tomorrow) Soundtrack (當年情) oleh Leslie Cheung berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.