Mengenal pasti hala tuju syarikat awam baharu menerusi maklumat IPO | DagangNews Skip to main content

Mengenal pasti hala tuju syarikat awam baharu menerusi maklumat IPO

Oleh SITI SARAH ALYASA GAN

 

 


PENYENARAIAN sesebuah syarikat ke pasaran saham membolehkan syarikat awam baru ini menerbitkan saham kepada pelabur awam buat pertama kalinya (IPO) dan mengumpulkan dana dari saham yang diterbitkan bagi kegunaan syarikat itu selepas proses penyenaraian.

 

Satu daripada syarat penyenaraian sesebuah syarikat ke pasaran saham adalah penyediaan dan pendedahan maklumat berkaitan penerbitan saham awam awal ini di dalam prospektus.

 

Di dalam konteks Malaysia, Garis Panduan Prospektus Bab II Pembahagian 1 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menyatakan bahawa sesebuah syarikat yang ingin disenaraikan di pasaran saham perlu mendedahkan maklumat jumlah anggaran dana yang akan dihasilkan dari terbitan saham awam awal serta menyatakan secara khusus rancangan penggunaan dana hasil penerbitan saham tersebut kepada umum.

 

Merujuk juga pada Garis Panduan Prospektus (Kemaskini ke-9) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, maklumat aktiviti–aktiviti yang akan menggunakan dana hasil penjualan saham awam awal ini diklasifikasikan sebagai maklumat wajib yang perlu dinyatakan oleh syarikat awam baru di dalam prospektus.

 

Kategori aktiviti yang diperuntukkan adalah seperti

(1) Perenggan 3.14(c) tiada rancangan khusus terhadap dana yang diperoleh,

(2) Perenggan 3.14(d) penggunaan dana hanya untuk pembelian aset selain dari urusan perniagaan harian,

(3) Perenggan 3.14(e) penggunaan dana adalah untuk pembelian aset atau pelaburan di dalam perniagaan lain dan

(4) Perenggan 3.14(f) pembayaran hutang, di samping melunaskan kadar faedah dan hutang matang yang berkaitan.

 

Secara lebih terperinci, maklumat mengenai penggunaan dana hasil dari terbitan saham awam awal ini terdiri dari dua bahagian. Pertama ialah maklumat berkaitan jumlah dana yang diperuntukkan bagi setiap kategori aktiviti dari jumlah keseluruhan dana yang akan diperoleh dari terbitan saham awam awal seperti yang dinyatakan di perenggan diatas.

 

Kedua ialah jangka masa yang dianggarkan oleh sesebuah syarikat untuk mengunakan keseluruhan dana hasil terbitan saham awam awalnya bagi setiap kategori yang dinyatakan.

 

Kedua-dua bahagian ini adalah sangat penting terutamanya kepada pelabur awam kerana ia menyatakan secara jelas hala tuju sesebuah syarikat awam baru setelah syarikat itu berjaya disenaraikan sebagai syarikat awam di pasaran saham.

 

Malah, maklumat di kedua-dua bahagian ini juga boleh diguna pakai sebagai rujukan asas oleh pelabur awam kerana ia akan diuluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, mengikut kesesuaian setiap syarikat semasa proses penyenaraian di Bursa Malaysia.

 

 

tuju

 

 

Seperti contoh, Tuju Setia Berhad (5297) yang disenaraikan di Pasaran Utama pada 19 Mei 2021 memperuntukkan sebanyak 57.14% dari dana hasil terbitan saham awalnya untuk pelaburan iaitu pembelian aset dan jentera bagi pengembangan syarikat di masa hadapan.

 

Hanya kurang dari 35% dari jumlah dana hasil terbitan saham awal diperuntukkan bagi kegunaan aktiviti harian syarikat atau modal kerja dan yuran penyenaraian. Dapat dilihat di dalam prospektus bahawa tujuan perbelanjaan dana bagi pengembangan syarikat ini dianggarkan mengambil jangka masa yang lebih panjang iaitu 36 bulan berbanding 12 bulan bagi perbelanjaan aktiviti harian syarikat.

cekd

Rancangan penggunaan dana hasil terbitan saham awam awal yang berbeza dapat dilihat oleh CEKD Berhad yang akan disenarai di Pasaran ACE pada 29 September 2021.

 

Secara khususnya, syarikat ini memperuntukkan hanya 17.8% dari dana hasil terbitan saham awam awal ke perbelanjaan pelaburan syarikat dan 36.2% ke aktiviti pembelian kilang dan perniagaan lain. Manakala, sebanyak 16.5% diperuntukkan untuk pembayaran hutang pinjaman dan hanya 11% ke modal kerja.

 

Bagi anggaran jangka masa penggunaan dana terbitan saham awam awal, syarikat ini dilihat mempunyai corak yang sama iaitu selama 24 bulan dari tarikh syarikat tersebut disenaraikan, kecuali pembayaran hutang pinjaman iaitu hanya selama 6 bulan.

 

Secara amnya, pelabur awam dapat melihat bahawa jangka masa bagi aktiviti pelaburan dan pertumbuhan syarikat dan modal kerja selalunya mengambil jangka masa yang lebih panjang dari pembayaran hutang pinjaman.

 

Umum mengetahui, isu yang selalu dihadapi oleh pelabur awam adalah kekurangan maklumat bagi mengenal pasti dan memahami hala tuju syarikat awam baru selepas ia disenaraikan di pasaran saham.

 

 

prospektus
Bakal pelabur harus memahami perkara yang tercatat di dalam prospektus. - Gambar hiasan

 

 

Oleh itu, maklumat berkaitan rancangan khusus penggunaan dana hasil terbitan saham awam awal yang dinyatakan di dalam prospektus dilihat mampu membantu pelabur awam.

 

Pelabur awam boleh menyelaraskan objektif pelaburan mereka dan hala tuju syarikat dalam merangka strategi pelaburan yang lebih strategik dan mengguntungkan dalam jangka masa panjang.

 

Ini selari dengan objektif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam menggalakkan ketelusan maklumat di dalam pasaran modal, bertujuan memberi perlindungan kepada pelabur awam dan memastikan pasaran modal yang lebih efisien dan kukuh melalui penyertaan aktif pelabur awam dalam jangka masa panjang.

 

Sebagai pengetahuan, prospektus syarikat awam baru boleh didapati di laman web Bursa Malaysia, di bahagian Pengumuman Syarikat beberapa minggu sebelum sesebuah syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia. - DagangNews.com

 

Siti Sarah Alyasa Gan adalah Pelajar Pascasiswazah/Pembantu Penyelidik,
Universiti Teknologi MARA (UiTM), 
Kampus Puncak Alam.