Mengasah bakat berniaga pelajar melalui Program Keusahawanan Belia Nescafe | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 14 March 2022

Mengasah bakat berniaga pelajar melalui Program Keusahawanan Belia Nescafe

Oleh Hajar Asmidar Samat

 

 

 

BELIA pada masa kini semakin menunjukkan minat dalam bidang keusahawanan dan menceburkan diri dalam perniagaan.

 

Namun, kepentingan ilmu keusahawanan adalah penting untuk para belia memahami selok-belok dan asam garam dalam bidang ini.

 

Mengambil inisiatif ini, Nestle Sdn Bhd telah melancarkan program Nescafe Youth Entrepreneurship (NYEP) di mana program berbentuk keusahawanan ini memberikan tumpuan kepada pelajar universiti.

 

Matlamatnya adalah supaya pelajar merasai pengalaman perniagaan dalam dunia sebenar dengan menjalankan perniagaan kiosk Nescafe yang serba lengkap di universiti dengan semua peralatan dan latihan yang disediakan oleh Nestle.

 

Oleh yang demikian, untuk menyemarakkan lagi pembudayaan keusahawanan di UiTM, pihak Akademi PKS dan Pembangunan Keusahawanan (MASMED) telah memberikan mandat ini kepada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dengan penyertaan seramai 32 orang pelajar untuk menyahut cabaran untuk menguruskan kiosk Nescafe ini sepanjang program.

 

Program ini telah bermula pada 30 November 2021 yang lepas dan peserta-peserta daripada kalangan pelajar ini telah menjalani latihan pengendalian dan pengurusan kiosk supaya mereka bersedia untuk menjalankan operasi sepanjang program berjalan.


 

uitm
Sebahagian dari peserta program Keusahawanan Beliau Nescafe dari kalangan pelajar UiTM.

 

Pasukan ini menguruskan keseluruhan operasi perniagaan, termasuk perkhidmatan kiosk, pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, strategi pemasaran dan penjualan.

 

Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Prof. Mohad Anizu Mohd Nor berkata, program seumpama ini penting bagi mengasah kemahiran dan mempraktikkan ilmu keusahawanan dengan menjalankan perniagaan dalam dunia sebenar.

 

Jiwa keusahawanan juga dapat dipupuk pada jiwa pelajar dan berharap dapat melahirkan usahawan masa depan dari kalangan pelajar-pelajar FSR.


 

uitm
Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (tiga dari kiri) bersama wakil MASMED, Pengetua Kolej Delima, Koordinator MASMED FSR serta wakil peserta program NYEP pada majlis pelancaran Hab Nescafe di UiTM pada 30 November 2021.

 


Pihak Nestle juga berharap dengan program seumpama ini dapat terus memberikan inspirasi dan menggalakkan golongan belia untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi dan dapat menyumbang kepada masyarakat.

 

Hab Nescafe akan kembali beroperasi pada 26 Mac 2022 ini dengan promosi yang lebih hebat menanti para pelanggan. – DagangNews.com

 

 

Hajar Asmidar Samat adalah Koordinator Keusahawanan MASMED, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA

 

Portfolio Tags