Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Industri Kreatif - 6 May 2022

Mencungkil potensi ekonomi budaya di bandar-bandar kecil

 

 

 

SEMBILAN tahun lalu, saya ada menulis sebuah artikel mengenai keterujaan saya apabila Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh pihak UNESCO.

 

Dalam artikel yang sama, saya menulis harapan tentang pendekatan pembangunan yang dilihat sesuai dan ideal untuk kawasan ini, dengan tidak tertumpu kepada pembangunan infrastruktur  kerana aset budaya serta cara hidup masyarakat di Lembah Lenggong sudah cukup unik tersendiri untuk dijadikan `komoditi ekonomi` bernilai tinggi.

 

Tidak cukup sejarah panjang yang dimiliki sebagai tempat awal penempatan manusia di rantau ini, serta kekayaan warisan geologinya - asimilasi budaya masyarakatnya yang turut menerima pengaruh dari pelbagai tempat termasuk selatan Thailand merupakan pelengkap.

 

Elemen ini menjadikan ia unik dan berbeza daripada masyarakat di tempat lain dalam pelbagai aspek – termasuk loghat, adat, sudut pandang dan pelbagai lagi.

 

Ia sudah cukup untuk menjadikan Lembah Lenggong ini adalah sebuah daerah yang berpotensi besar untuk dibangunkan melalui sektor ekonomi budaya.

 

Tidak sekadar Lenggong, Semenanjung Malaysia sebenarnya mempunyai banyak lagi bandar mahupun pekan yang mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri, namun tetap mempunyai potensi yang sama bagi dibangunkan ekonomi budayanya.

 

Sekadar menyebut beberapa nama seperti Muar, Kuala Kangsar, Pekan  serta banyak lagi. Bandar-bandar ini walau bukan ibu negeri mahupun bandar utama, tetapi mempunyai aset dan produk budaya bernilai tinggi.

 

Jika selama ini kita terlalu tertumpu kepada usaha untuk membangunkan ekonomi melalui kegiatan seperti perindustrian, ia mungkin dilihat sukar dilaksanakan di bandar-bandar ini memandangkan kemampuan atau mungkin kepercayaan yang terhad dari pelbagai pihak termasuk pelabur.

 

Jika berjaya pun, ia hanya memberikan kesan kepada satu aspek iaitu ekonomi, malah mungkin membawa kesan sampingan negatif dalam aspek lain seperti dalam aspek kelestarian alam dan sosial.

 

Namun, kini melalui ekonomi budaya atau mungkin juga ekonomi kreatif dilihat sebagai pendekatan yang sangat ideal dalam usaha pembangunan bandar-bandar ini.

 

 

lenggong
Tasik Raban di Lenggong, Perak yang juga telah dibangunkan chalet-chalet untuk pelancong dan penggemar memancing. - Gambar Aerial Sky Studio

 

 

Selain itu, usaha ekonomi budaya di bandar-bandar ini dilihat lebih praktikal memandangkan ia telah memiliki kekuatan sedia ada dalam sektor terbabit  seperti aset budaya serta cara hidup masyarakat yang unik  yang kini hanya perlu disusun, dirangka, diperkemas serta diangkat sebaiknya bagi menjadi teras kekuatan ekonomi setempat.

 

Malah dengan pendekatan ini, identiti dan citra budaya yang dimiliki oleh warga setempat tidak akan hilang – dapat dipertahankan – malah disuburkan bagi menjadi kebanggaan kita semua.

 

Situasi ini mungkin sukar untuk dilihat dari perspektif penduduk tempatan yang sudah lali dengan persekitaran tersebut.

 

Namun sekiranya kita dapat melihat dari perspektif yang lebih global, nilai serta kearifan tempatan yang dimiliki bandar-bandar ini mempunyai keunikan yang tersendiri; khususnya dari sudut pandang warga dari benua budaya yang berbeza.

 

Pelancong khususnya dari luar negara pastinya berminat, malah teruja untuk melalui pengalaman yang ditawarkan di bandar-bandar ini.

 

Sebagai contoh, saya yang membesar di Kuala Kangsar sememangnya menyedari ketika itu bahawa tempat tinggal saya ini adalah bandar diraja – malah disebut oleh Seniman Negara Datuk Syed Alwi sebagai bandar budaya – yang memiliki kekayaan aset kebudayaan.

 

Namun ketika itu, saya tidak dapat melihat dan memahaminya dengan jelas  kerana ia adalah persekitaran harian yang sudah lali di mata saya.

 

Namun, setelah lama berhijrah ke ibu kota hampir 20 tahun, saya berpeluang beberapa kali pulang ke Kuala Kangsar bagi tujuan menerbit dan mengarah program televisyen berkenaan Kuala Kangsar .

 

Ketika itu, saya cuba meletakkan sudut pandang saya pada lensa penonton dari luar  dan ketika itulah saya dapat melihat betapa kekayaan budaya yang dimiliki kampung halaman saya ini.

 

 

industri kreatif
Masjid Ubudiah, mercu tanda Kuala Kangsar.

 

 

Dari itu saya melihat dalam usaha membangunkan ekonomi budaya di bandar-bandar ini harus dimulakan dengan membuka kesedaran warga tempatan tentang kekayaan yang sebenarnya mereka miliki serta berada di depan mata mereka.

 

Dengan itu, kita akan mendapat `tenaga pakar` sebenar  yang memahami sebaiknya tentang bandar mereka sendiri  untuk sama menggembleng tenaga dalam mengusahakan potensi ini; dengan dibantu dan dibimbing oleh tenaga kerja profesional dalam kepakaran tertentu.

 

Kombinasi kepakaran pengurusan dari tenaga profesional dengan input warga tempatan dapat merangka potensi ini bagi mendapatkan impak yang sewajarnya.

 

Sehubungan itu, apabila pihak Think City, sebuah anak syarikat milik Khazanah Nasional memperkenalkan Program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara dengan fasa pertama memfokuskan bandar Taiping, Kuala Kangsar dan Lenggong, ia dilihat sebagai usaha permulaan yang penting dan selari dengan apa yang diperkatakan saya terdahulu.

 

Dengan bermatlamat untuk memanfaatkan aset budaya ketara dan tidak ketara yang dimiliki sebagai pemboleh kepada daya tahan ekonomi dan pertumbuhan sosio-ekonomi di bandar-bandar terbabit; ia juga sekaligus berhasrat untuk menonjolkan kekayaan warisan dan sejarah yang dimiliki oleh bandar-bandar tersebut.

 

Lebih menarik lagi apabila usaha ini dibangunkan dalam bentuk rangkaian beberapa buah bandar dalam satu wilayah  yang saya lihat membantu dalam membina impak yang lebih berkesan.

 

Rangkaian bandar-bandar ini memberikan nilai tambah dalam memperkaya pengalaman perjalanan setiap pelancong dalam pelbagai aspek termasuklah kualiti logistik serta kefahaman jalinan naratif budaya di kawasan terbabit.

 

 

industri kreatif

 

 

Think City sebagai sebuah organisasi berteraskan impak yang memfokuskan terhadap transformasi penempatan yang lebih berdaya huni, berdaya tahan dan lestari, sebelum ini memfokuskan kepada inisiatif di bandar-bandar utama Semenanjung Malaysia meliputi Georgetown, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

 

Apabila Think City mula beralih ke bandar-bandar lain yang lebih kecil – namun memiliki  potensi yang besar ini – ia adalah satu langkah yang seharusnya dilihat dengan penuh optimis.

 

Ia bukan sahaja memperlihatkan bahawa usaha Malaysia bagi meningkatkan kualiti hidup bandar tidak hanya tertumpu di bandar besar, namun usaha ini juga sekaligus membantu bagi memecahkan ketepuan perhatian warga Malaysia tertumpu di bandar besar sebagai pusat tumpuan menjana ekonomi.

 

Ia juga sekaligus menyeimbangkan taburan titik jana ekonomi ke wilayah dan lokasi lain – sekaligus membantu usaha merapatkan jurang ekonomi berasaskan geografi di Malaysia. – DagangNews.com

 

 
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
Portfolio Tags