Mencari simpanan terbaik demi pendidikan anak-anak | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 14 September 2021

Mencari simpanan terbaik demi pendidikan anak-anak

 

 

SETIAP ibu bapa pasti mempunyai impian untuk melihat anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sehubungan itu, ibu bapa yang bijak akan berusaha mencari produk terbaik untuk menyimpan wang demi masa depan anak-anak mereka. 

 

 

Kepada yang celik maklumat, mereka tahu mengenai manfaat yang boleh diperoleh menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 

Ini kerana bagi merealisasikan hasrat ibu bapa yang mahu simpanan mereka diuruskan demi masa depan pendidikan anak-anak, PTPTN mengambil inisiatif memperkenalkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional–i (SSPN-i) yang patuh syariah.

 

 

SSPN-i Plus

 

Usaha murni PTPTN dalam membangunkan produk simpanan beserta perlindungan, SSPN-i Plus, telah membuka mata ramai ibu bapa untuk menabung dalam produk yang 100% patuh syariah ini. 

 

Apa tidaknya, apabila mereka menyimpan dalam SSPN-i, mereka secara langsung mendapat perlindungan dan manfaat takaful. Tema 'Simpan dan Lindung' adalah tepat untuk menerangkan ciri-ciri SSPN-i Plus. 

 

Penabungan seperti ini amat murni terutama apabila ibu bapa dikira sebagai telah menjalankan tanggungjawab yang berlandaskan galakan Islam terhadap ahli keluarga mereka.

 

Untuk makluman, SSPN-i Plus, adalah produk simpanan berkembar dengan produk takaful yang terhebat dalam industri kerana ia terbukti memberi pulangan terbaik kepada ibu bapa dan anak-anak mereka dari segi kemudahan, pulangan dan manfaat.

 

 

ptptn
PTPTN menyediakan SSPN-i Plus yang merupakan produk simpanan patuh syariah sepenuhnya.

 

 

 

Manfaat

 

Antara kelebihannya, termasuklah pendeposit dan anak-anak mereka akan mendapat manfaat khariat kematian sehingga RM18,000, simpanan dijamin oleh kerajaan dan anak-anak pendeposit layak memohon pinjaman tanpa faedah dari PTPTN. 

 

Sementara itu, setiap tahun PTPTN akan mengagihkan dividen yang jika dibandingkan dengan kadar pulangan akaun simpanan lain dalam industri, kadar dividen SSPN-i Plus adalah amat kompetitif. 

 

Dividen ini juga adalah halal kerana Jabatan Pelaburan PTPTN membuat pelaburan menerusi saluran yang memenuhi kehendak syariah.  

 

Tambahan pula, ibu bapa diberi pelepasan cukai sehingga RM12,000 dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Sepanjang pengetahuan penulis, sehingga ke hari ini, belum ada mana-mana produk simpanan dalam industri yang memberi pelepasan cukai setinggi itu. 

 

Pada masa sama, dengan adanya tambahan perlindungan takaful beserta produk SSPN-i, maka anak-anak pendeposit akan mendapat perlindungan takaful sehingga RM1 juta bergantung kepada pakej yang ditawarkan seperti Intan, Delima, Topas, Zamrud, Nilam dan Berlian. Dengan caruman serendah RM30, anak-anak mereka dilindungi dengan takaful.

 

 

Cabutan bertuah

 

Ibu bapa juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa dalam cabutan bertuah SSPN-i Plus ini dengan setiap deposit RM50 ke dalam akaun.

 

Cabutan bertuah ini adalah patuh syariah dan tidak melanggar mana-mana kehendak syariah. 

 

Untuk makluman, cabutan bertuah yang tidak dibenarkan syariat adalah berbentuk 'kena bayar untuk memasuki peraduan cabutan bertuah'. 

 

Dalam SSPN-i Plus ini, tidak ada bayaran atau yuran dikenakan apabila pendeposit memasuki peraduan cabutan bertuah ini. 

 

Simpan lebih RM50, maka pendeposit layak untuk memasuki cabutan bertuah. Dalam erti kata lain, ia adalah percuma. Oleh demikian, cabutan bertuah ini adalah dibenarkan.

 

 

Patuh syariah

 

SSPN-i Plus yang menggunapakai kontrak Islam wakalah bil istithmar (urus untuk pelaburan) adalah produk PTPTN diolah khas untuk menjayakan hasrat ibu bapa memberi peluang pembelajaran anak-anak mereka di mana-mana universiti atau kolej di Malaysia. 

 

Penulis difahamkan dan pasti tidak ada produk-produk lain yang patuh syariah dan menawarkan manfaat sebegini rupa dalam industri buat masa ini. 

 

Jika ada pun, mungkin ia merupakan produk pelaburan yang pelbagai guna dan bukan produk yang fokus kepada anak-anak untuk memasuki universiti atau kolej. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm


 

Portfolio Tags