Memecut ke Abu Dhabi membantu Dr Harun Din sekeluarga | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 17 February 2022

Memecut ke Abu Dhabi membantu Dr Harun Din sekeluarga

 

 

 

Pada satu hari dalam bulan Mei 2008, semasa bekerja saya menerima panggilan telefon dan terus bergegas kemudian ke Abu Dhabi, bertemu dengan kawan-kawan iaitu Ariffin, Hasnol dan Affandy.

 

Kawan-kawan meletakkan kereta di Ibn Batutta Mall dan menaiki kenderaan pacuan empat roda saya untuk memecut ke Hospital Mafraq di Abu Dhabi.

 

Kami akan berjumpa dengan Dato Dr Harun Din buat kali pertama.  Agak gementar dan bimbang kerana beliau seorang yang terkenal.

 

Tetapi sebaik sahaja saya melihatnya, semua kebimbangan saya hilang dan lenyap.

 

Dr Harun Din  berdiri dengan ketayap putih. Seorang lelaki dengan wajah yang sangat tenang, cahaya yang boleh menerangi mana-mana ruang dan bilik.

 

Dr Harun Din memberi kami cerita ringkas tentang apa yang berlaku kepada anak perempuannya Dr Huda semasa penerbangan mereka dari KL dalam perjalanan untuk menunaikan umrah. Dr Harun Din berasa panas walaupun kapal terbang berhawa dingin.

 

Apabila sampai di Abu Dhabi, Dr Huda rebah dan mengalami tiga serangan jantung.

 

Kami dibawa berjumpa suami Dr Huda di wad ICU tempat Dr Huda mendapat bantuan pernafasan. Lebih banyak diagnosis telah dirancang.

 

Kami menjamu selera di restoran mamak berhampiran hospital.

 

 

fudzail
Penulis bersama rakan-rakan bersama Dr Harun Din di sebuah restoran mamak di Abu Dhabi pada 2008.

 

 

Dr Harun Din tidak sedikit pun mengeluarkan kata-kata atau menunjukkan tanda-tanda kesusahan dengan apa yang berlaku. Terserlah bagaimana redha Dr Harun dengan apa yang telah berlaku. Dr Harun memang letih dan penat tetapi tenang.

 

Kami menghantar Dr Harun Din ke hotelnya untuk berehat. Suami Dr Huda kembali ke hospital untuk berkhemah bersama isterinya. Dr. Huda ada klinik sendiri bernama Klinik al-Huda di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi.

 

Kami meneruskan perjalanan pulang ke Dubai.

 

Saya merasa bertuah dan berbesar hati kerana berpeluang duduk berdepan seorang lelaki yang telah banyak membantu orang lain dan tanpa jemu menyebarkan mesej yang mengagungkan tentang Allah, Rasul dan Islam.

 

Saya pergi lagi ke hospital Mafraq dan diberitahu Dr Huda masuk tiub dada kedua-dua belah dengan cecair 800ml. Pernafasan lebih baik dengan tekanan darah lebih stabil.

 

Pada 2 Jun Dr. Huda masih dalam ICU di mana doktor menebuk dan mengeluarkan air dari paru-paru. Doktor juga membenarkan pihak keluarga mengendalikan urusan untuk membawa Dr. Huda pulang ke Malaysia.

 

Kami tidak ke hospital pada hari berikut dan terus saja ke hotel untuk ke bilik Dr. Harun dan isterinya, Kak Jah. Kehadiran kawan-kawan  membingitkan bilik. Apa tidaknya, Dr. Harun dalam berkongsi pengalamannya di selang seli dengan mencuit hati.

 

Dr. Harun dan Kak Jah nampak agak rileks. Keadaan Dr. Huda menurut Dr. Harun sudah ada perkembangan baik. Dia cuba bernafas sendiri, tanpa bantuan alat pernafasan. Mungkin ini sikit sebanyak memberi kelegaan pada kedua-dua mereka yang saban hari menanti anak sulung mereka.

 

Pada 4 Jun keadaan Dr. Huda bertambah baik dan berpindah dari ICU. Permohonan untuk membawa pulang Dr. Huda juga mendapat kelulusan pihak hospital. Perlu mendapat perlepasan dari syarikat penerbangan.

 

Kami terus menerima panggilan dari Dato' Dr. Harun Din untuk update kesihatan Dr. Huda yang hampir kembali normal dan  sudah pulih 85%. Sudah boleh bangun, duduk atas kerusi dan selalunya tanpa berbaring.

 

 

fudzail
Dr Harun Din dikunjungi rakyat Malaysia di Dubai

 

 

Tarikh 8 Jun merupakan pertemuan terakhir dengan Dr. Harun dan keluarga. Dr. Huda beransur pulih dimana hospital bersetuju untuk penerbangan ke Malaysia. Kelihatan Dr. Azlin dan Kak Jah agak ceria dengan keadaan Dr. Huda, Mereka berangkat pulang jam 2:55 pagi.

 

Saya teringat sewaktu Dr Harun Din di Abu Dhabi ada kejadian yang menakutkan berlaku di International City, Dubai melibatkan ramai warga Malaysia. Saya berkebetulan ketua telekomunikasi di semua projek di bawah Nakheel yang mempunyai 17 buah projek besar.

 

Warga Malaysia berhubung dengan saya dari awal dan sentiasa berkomunikasi kerana saya lebih tahu dengan Dubai. Warga Malaysia menganggap saya sebagai tok penghulu.

 

Menurut warga Malaysia yang menginap di International City, mereka diganggu oleh hantu Arab setiap malam. Hantu berupa arab berpakaian serban dan jubah sentiasa mengacau dan mereka merasa takut.

 

 

International City Dubai
Kawasan perumahan di International City Dubai

 

 

Flet mereka di kawasan baru yang dulunya padang pasir. Ada dalam 40 orang rasanya bekerja dengan kontraktor binaan dan baru tiba di Dubai.

 

Saya terkejut apabila diberitahu dan pergi berjumpa sendiri.

 

Ada bercerita hantu itu berjalan di dalam flet dan terbang didepan ramai orang. Ada seorang bercerita hantu itu datang ke fletnya dan ketawa. Ada dari keturunan India dan beragama Hindu mahu membaca ayat suci kerana ketakutan. Pelbagai karenah dan gelagat yang membuat saya ketawa.

 

Saya bagai tidak percaya tetapi ramai yang bercerita dan apabila warga Malaysia tahu kedatangan Dr Harun Din lantas mareka menyuruh saya meminta tolong untuk menghalau hantu.

 

Saya terdiam kerana Dr Harun Din ada anak yang sakit kena serangan jantung dan saya tidak berani untuk memberitahu. Warga Malaysia memujuk saya kerana tidak tahan dengan gangguan hantu.

 

Saya akhirnya bersetuju lantas menelefon Dr Harun Din dan bercerita.

 

Dr Harun Din berkata, “Biarlah hantu itu nak bergurau sebab saya sibuk dan mahu pulang.”

 

Saya ketawa sahaja dan selepas itu, saya rasa tiada lagi hantu mengganggu kerana mungkin hantu memang mahu bergurau dengan warga Malaysia yang berpindah.

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags