Memanusiakan penjara dan banduan | DagangNews Skip to main content

Memanusiakan penjara dan banduan

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

PADA tahun 2003, saya pernah memasuki penjara besar Dubai yang lama di Satwa. Bukan sebagai banduan tetapi sebagai tetamu istimewa. Istimewa kerana membawa artis tersohor, Yusuf Islam untuk mengadakan ceramah khas sempena Hari Raya Haji.

 

Dalam kunjungan itu, kami dilayan sebagai VIP dalam penjara termasuk bertemu ketua polis Dubai dan bos No.1 penjara. Kami dibawa ke seluruh penjara dan dalam pemerhatian saya, penjara Dubai nampak lebih seperti asrama. 

 

Pesalah tidak dipanggil banduan dan slogan penjara ialah, “Manusia Lebih Penting Dari Tempat”. Penjara terbuka dengan banduan bebas bergerak kecuali yang menerima hukuman tertentu.


 

fudzail
Penulis bersama Yusuf Islam

 


Kami ditunjukkan model besar penjara baru yang sedang dibina ketika itu dan dianggap paling canggih di dunia. Reka bentuknya berdasarkan ‘keselesaan’ dan ‘kemanusiaan’. Malah secara bergurau, ketua polis berkata, penjara baru di Al Awir itu mungkin lebih baik dari hotel empat bintang.

 

Begitulah realitinya dari cerita mereka yang pernah menumpang di penjara baru tersebut dan ada yang rela menjadi banduan. Bercuti di hotel empat bintang dengan makan dan masa lapang yang cukup. Ada kawan orang putih yang dimasukkan ke situ kerana mabuk sewaktu pemandu menganggap penahanannya sebagai percutian yang damai.

 

Kami dibawa ke perpustakaan yang lengkap dengan kebanyakan buku mengenai pemahaman dan dakwah Islam dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Indonesia. Tercari-cari buku dakwah dalam bahasa Melayu tetapi tidak terjumpa. Masa itu ada banduan Malaysia, tetapi bukan Islam.

 

Memeranjatkan kerana ada banduan yang dibenarkan membuat urus niaga melalui telefon dan Internet. Kami melihat sendiri mereka kesibukan dalam sebuah bilik khas untuk urusan bisnes. Mereka adalah kebanyakan banduan kolar putih seperti cek tendang. Penjara membenarkan mereka membuat urus niaga supaya punca pendapatan mereka tidak tergendala.


 

fudzail
Banduan di penjara Dubai mengaji al-Quran

 


Salah satu insentif kepada banduan Islam ialah kelas menghafal a-Quran diadakan. Bagi setiap banduan yang dapat menghafaz Quran sepenuhnya, antara ‘hadiah’ ialah dibebaskan sepenuhnya bergantung kepada kesalahan. Kalau dapat menghafaz jumlah surah tertentu, hukuman juga dikurangkan. Usaha ini menerima sambutan hebat dan ramai yang sudah dibebaskan sebagai hafiz dan hafizah.

 

Manakala kepada banduan bukan Islam, pencerahan kepada Islam dilakukan kepada mereka yang berminat dan secara sukarela mengikuti kelas dalam memahami Islam. Banyak aktiviti lain termasuk untuk banduan wanita seperti kelas senaman dan kemahiran.

 

Pihak penjara Dubai telah menghubungi saya beberapa bulan sebelum itu untuk mendapatkan Yusuf Islam berceramah kepada banduan bukan Islam. Menurut pegawai, boleh dikatakan inisiatif penjara dalam dakwah memang berhasil dan hampir setiap hari ada yang memeluk Islam. Memang penuh dewan ceramah yang bersebelahan dengan masjid penjara. Yang hadir termasuk orang putih dan kebanyakan adalah warga India.

 

Seperti biasa, Yusuf berjaya memukau hadirin dengan cerita pengalaman beliau dalam mengenal dan memeluk Islam. Soalan-soalan yang diberikan juga agak kritikal dan sinis, terutama dengan peristiwa September 11 yang berlaku. Beberapa hari selepas ceramah itu, pegawai penjara menelefon dengan tersedu tetapi membawa khabar gembira.

 

“Ya Akhi, hasil dari ceramah Yusuf, ada tiga orang menjadi Muslim!”


 

fudzail

 


Sememangnya Yusuf Islam mempunyai aura dan karisma sebagai pendakwah. Bertuah saya untuk mengenali beliau secara dekat dan menjadi pengurus besar beliau di Dubai.

 

Usaha penjara Dubai berterusan ke hari ini dalam memanusiakan penjara dan banduan dengan roh Islam agar mereka yang bakal keluar diberi peluang kedua dalam kehidupan.

 

Cat Steves dalam kisah hidupnya pernah mengkaji al-Quran dan tertarik dengan kisah Nabi Yusuf yang dihadiahkan oleh abangnya David. Yusuf mengambil masa setahun membaca kita suci umat Islam dengan keraguan pada mulanya. al-Quran mengubah semua itu.

 

Yusuf temui sesuatu yang menunggu untuk ditemui, satu surah yang diyakininya membuka pintu hati kepada Islam, surah Yusuf. 

 

Selepas mencari jalan dan halaman dari begitu banyak agama, falsafah dan buku yang berbeza, Cat Stevens memutuskan untuk menyerah dan memeluk Islam.


 

fudzail

 


Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam surah ke 12 dengan nama sama.

 

Dalam senario ini kita melihat kisah yang begitu penuh konflik dengan penuh liku-liku dalam penjara. Cerita yang sungguh menarik, cantik dan menawan iaitu tentang Nabi Yusuf. Tentang kasih sayang bapa, iri hati adik-beradik, dibuang dalam telaga, dibawa kafilah dagang, dijual sebagai budak, godaan wanita, fitnah, masuk penjara, dakwah, dilupakan, diangkat menjadi pejabat, mengurus negara, berjumpa adik beradik dan bapa, dan mimpi masa kecil yang terbukti nyata.

 

Kita boleh mengambil episod cerita dalam Surah Yusuf sewaktu Nabi Yusuf dipenjarakan kerana tuduhan fitnah keji oleh isteri pembesar Mesir, Zulaikha. Nabi Yusuf di dalam penjara menghabiskan masa untuk merawat orang-orang yang sakit, memberi nasihat kepada yang bersalah dan berdosa dan mengajar pelbagai ilmu kepada banduan. 

 

Pada suatu hari datanglah kepadanya wahyu yang pertama menyatakan Yusuf diangkat Tuhan menjadi Nabi dan Rasul. Setelah menerima wahyu yang pertama, Nabi Yusuf menjalankan tugas kerasulannya di dalam masyarakat penjara dengan menyeru mereka kepada menyembah Allah dan menghindarkan kesyirikan serta kejahatan.

 

Ada dua orang penghuni penjara yang telah berbuat kesalahan dan pada suatu malam bermimpi lalu meminta Nabi Yusuf untuk mentakwilkannya.Nabi Yusuf menjelaskan seorang dari mereka bernasib baik, akan dibebaskan dan dikembalikan jawatannya manakala seorang lagi akan dijatuhkan hukuman mati di tiang salib.

 

Dalam beberapa hari apa yang dikatakan Nabi Yusuf benar-benar terjadi. Nabi Yusuf berpesan kepada untuk yang lepas menceritakan kepada raja kejadian sebenarnya baginda dipenjarakan. Tetapi,  terlupa menyebabkan baginda meringkuk dalam penjara.


 

nabi yusuf
Perigi Nabi Yusuf terletak di Palestin (kini ditakluk rejim Zionis)

 


Sewaktu masih dalam penjara, pada suatu malam, raja bermimpi melihat 7 ekor lembu yang kurus memakan 7 ekor lembu yang gemuk, 7 tangkai gandum hijau dan 7 tangkai gandum kering. 

 

Mimpi tersebut menjadikan baginda resah dan bingung memikirkannya. Raja menjemput pentafsir mimpi, malangnya mereka tidak dapat menterjemahkannya. Raja tidak berpuas hati lalu memerintahkan siapa yang arif memberi penjelasan.

 

Pegawai istana yang dibebaskan dari penjara teringat kepada Nabi Yusuf yang pernah mentafsir mimpinya. 

 

Dengan mudah Nabi Yusuf mentafsirkan bahawa negeri Mesir akan mengalami musim subur selama 7 tahun dan musim kemarau selama 7 tahun. Penduduk Mesir hendaklah bersedia menghadapinya. Dengan ini persediaan awal dapat dilaksanakan.

 

Akhirnya raja telah membebaskan Nabi Yusuf dan melantik baginda menjadi menteri Mesir.

 

Demikianlah caranya Allah menempatkan Nabi Yusuf di tempat yang selayaknya. Walaupun bekas penghuni penjara, tetapi semua perkataannya didengar dan dituruti orang. Segala peraturan yang dibuatnya dapat dipatuhi oleh rakyat.

 

Dalam kisah pemenjaraan Nabi Yusuf  tersebut dapatlah diambil pengajaran antaranya Allah akan memelihara orang yang beriman kepada-Nya. Oleh kerana itu kita hendaklah melakukan perintah Allah dan tinggalkan segala larangan-Nya.


 

fudzail

 


Untuk Nabi Yusuf, penjara adalah tempat yang aman untuk menghindari segala godaan dan tipu daya yang akan menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan perbuatan mungkar. 

 

Bagi Nabi Yusuf hidup di dalam sebuah penjara yang gelap dan sempit, di mana gerak bandanya dan pandangan matanya dibatasi, adalah lebih baik dan lebih disukai dari hidup di alam bebas di mana jiwanya tertekan dan hatinya tidak merasa aman dan tenteram. 

 

Di dalam penjara Nabi Yusuf dapat membulatkan fikirannya dan jiwanya beribadah dan menyembah kepada Allah.

 

Pada suatu masa Anwar Ibrahim pernah dipenjarakan dan Najib Razak baru masuk penjara. Kita tidak mempersoalkan apa-apa, hanya penjara tempat yang tenang dan damai untuk kembali menginsafi diri dan semuanya ketentuan Allah. 

 

Sesungguhnya slogan penjara Dubai ternyata ada benarnya, Manusia Lebih Penting Dari Tempat! - DagangNews.com

 

Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi kolum WAINUIOMATA setiap Khamis.