MCMC pertingkatkan kempen kesedaran atasi kegiatan scammer di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MCMC pertingkatkan kempen kesedaran atasi kegiatan scammer di Malaysia

oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 5 Sept - Tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap aktiviti penipuan atau scam semakin meningkat hasil pelbagai kempen kesedaran yang dilaksanakan pelbagai pihak terutama kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

 

K-KOMM melalui agensinya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan kempen kesedaran itu melalui pelbagai platform termasuk dalam sesi turun padang, menerusi siri temu bual dan forum di stesen televisyen dan radio serta di rangkaian media sosial popular pilihan rakyat Malaysia.

 

MCMC dalam satu kenyataan kepada DagangNews.com memaklumkan setiap hari pihaknya membuat hebahan untuk memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan tersebut.

 

"Modus operandi sindiket ini menjadi semakin canggih dan berani. Terbaru, mereka menyamar sebagai ahli perniagaan yang berjaya dengan menawarkan jaminan untung besar tanpa risiko dalam jangka masa yang singkat. 

 

"Semua taktik itu telah kita bongkar bersama-sama agensi-agensi penguatkuasaan lain serta penyedia platform Facebook melalui laman web https://wethinkdigital.fb.com/my/en-my/taknakscam/  yang boleh dirujuk pengguna pada bila-bila masa agar tidak menjadi mangsa seterusnya," menurut kenyataan itu.


 

mcmc

 


Sejak tahun 2020 hingga Jun lepas, MCMC telah menerima sebanyak 5,802 aduan berunsur penipuan scam di seluruh negara.

 

MCMC juga memaklumkan semua aduan itu telah dirujuk kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa mereka.

 

"Kegiatan scam yang dilakukan sama ada secara dalam talian (online) ataupun luar talian (offline) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi-agensi berkaitan tertakluk kepada bentuk-bentuk penipuan yang dijalankan.

 

"Bagi membantu mangsa penipuan di negara ini, MCMC juga akan terus memperkasakan kerjasama dengan PDRM dalam menjejak penjenayah dan mengembalikan semula kerugian yang dialami mangsa sindiket itu.

 

"Kolaborasi antara kedua-dua pihak khususnya dalam perkongsian maklumat dan kepakaran dapat melancarkan lagi gerak kerja dan penguatkuasaan untuk menangani isu penyalahgunaan media sosial dengan lebih efektif," katanya.

 

 

mcmc

 

mcmc

 

 

Meskipun scammer bergerak licik tanpa meninggalkan 'digital footprints', MCMC tetap komited membantu pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan merangkumi bantuan pembekalan maklumat, komunikasi dengan penyedia platform media sosial serta bantuan dari sudut analisis forensik digital. 

 

"Sebab itu, kita nasihatkan mangsa membuat laporan polis secepat mungkin supaya siasatan dapat dijalankan segera dan MCMC pula akan memberikan bantuan teknikal kepada polis jika diperlukan. 

 

"Mangsa juga perlu menyimpan sebarang bukti yang berkaitan iaitu mesej teks, tangkap layar skrin, rakaman audio panggilan atau apa sahaja maklumat berkaitan yang boleh membantu polis dalam siasatan mereka.

 

"Orang ramai juga boleh merujuk MCMC untuk sebarang permasalahan atau keraguan yang timbul kerana MCMC sedia membantu agar sindiket penipuan ini dapat dibendung segera," menurut kenyataan itu.

 

 

mcmc

 

mcmc

 

 

Setiap kali mengadakan program bersama komuniti pula, MCMC akan membuat pameran dan memberi penerangan secara bersemuka agar orang ramai dapat memahami ancaman penipuan scammer dengan lebih jelas.

 

Katanya, berdasarkan maklum balas, rakyat Malaysia semakin peka dengan kegiatan penipuan scammer dan hanya segelintir kecil sahaja masih mudah terpengaruh dengan janji manis atau ugutan yang dilakukan scammer. - DagangNews.com