Maybank Islamic bekerjasama dengan USIM lancar program bantu pelajar asnaf tingkatkan kemahiran keusahawanan | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic bekerjasama dengan USIM lancar program bantu pelajar asnaf tingkatkan kemahiran keusahawanan

Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga dari kiri) bersama Nor Shahrizan Sulaiman (kanan) beramah mesra dengan pelajar yang terlibat dalam program incubator bakeri.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

NILAI 29 April - Maybank Islamic Berhad bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan program incubator bakeri dalam usaha membantu 80 pelajar kurang berkemampuan bagi memperkasakan mereka dengan kemahiran keusahawanan.

 

Maybank Islamic menyumbang sejumlah RM500,000 daripada dana zakat untuk menyokong program itu, yang mana pelajar di peringkat awal akan diajar latihan asas pengurusan perniagaan termasuk kemahiran membakar, pemasaran, pengurusan kewangan dan kepentingan pensijilan halal. 

 

Fasa seterusnya, pelajar-pelajar itu akan ditugaskan untuk menguruskan kafe, kiosk dan kedai di sekitar kawasan Nilai.

 

Pelancaran inkubator bakeri itu dirasmikan Pengerusi USIM Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman, baru-baru ini.

 

Para pelajar terlibat berjaya melengkapkan 5 modul menerusi teori dan praktikal secara intensif, kini aktif membuat jualan sempena perayaan Aidilfitri dengan menjual pelbagai jenis kuih raya di Genba Bakery, Pusat Keusahawanan Pelajar USIM.

 

Sementara itu, Nor Shahrizan berkata, Maybank Islamic telah menjalinkan kerjasama dengan USIM sejak 2020 menerusi Program Keusahawanan Kemahiran Jahitan yang mana bank itu membiayai sebanyak RM200,000 untuk menampung 20 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

 

“Kami percaya dalam memperkasakan kesejahteraan ekonomi pelajar melalui program praktikal keusahawanan seperti kursus keusahawanan dan kemahiran vokasional seperti ini dapat membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan dan taraf ekonomi mereka, terutama bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. 

 

"Kami mahu mereka bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memberi jaminan kehidupan yang lebih selesa selepas tamat pengajian," katanya.

 

 

maybank

 

 

Beliau berkata, Maybank Islamic sehingga kini, memperuntukkan sejumlah RM700,000 dana zakat bank kepada USIM yang memanfaatkan seramai 100 pelajar.

 

“Kami berpendapat program seperti ini perlu disokong untuk membantu merapatkan jurang ekonomi antara mereka yang tinggal di luar bandar dan bandar melalui peningkatan prestasi akademik dan kemahiran vokasional dalam kalangan belia,” katanya. - DagangNews.com