Maybank IB mulakan liputan terhadap Ramssol dengan TP 66 sen, syor 'beli' | DagangNews Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan terhadap Ramssol dengan TP 66 sen, syor 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Julai - Maybank Investment Bank (IB) memulakan liputan terhadap Ramssol Group Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran 66 sen. 

 

Menurut firma itu, menerusi penawarannya yang meluas, kumpulan bersedia untuk mendapat manfaat daripada peralihan struktur ke arah pendigitalan pengurusan modal insan. 

 

Malah, katanya, tawaran awam permulaan (IPO) baru-baru ini dapat menyediakan rizab bagi mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu dan meluaskan cadangan produknya kepada rangkaian pelanggan yang lebih luas.

 

"Oleh itu, kami mengunjurkan hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) hingga Fy24 mencatat kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3 tahun sebanyak 15% berikutan penurunan pendapatannya sebanyak 9% pada FY21. 

 

"Ini adalah hasil daripada peningkatan bahagian pasaran melalui penembusan dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pasaran baharu dalam Asia Tenggara, serta pengembangan dalam segmen latihan untuk memanfaatkan kepakarannya untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja am," katanya dalam nota kajian.

 

Ramssol, merupakan syarikat peneraju dalam penyelesaian pengurusan sumber manusia dan penyedia teknologi mempunyai operasi di Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

 

Hasil daripada penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 Julai 2021, ia mengumpul modal sebanyak RM25.1 juta daripada IPO yang digunakan bagi tujuan pengembangan perniagaan syarikat.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.5 juta akan digunakan untuk meneroka pasaran di Filipina sekali gus mengukuhkan kedudukannya di rantau ini sebanyak RM6.3 juta pula diperuntukkan bagi mengembangkan aplikasi Feet's dan juga platform kerjasama pihak ketiga, Lark di rantau Asia Tenggara.

 

Sebahagian lagi iaitu RM4.1 juta akan digunakan untuk perbelanjaan bagi aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D), modal kerja (RM7.6 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM4.6 juta).

 

Maybank IB menjangkakan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) akan kembali pulih secara beransur-ansur kepada 19 hingga 24% pada FY22 hingga FY24, berbanding 17% pada FY21 didorong peningkatan dalam skala ekonomi dan juga kos struktur yang dilaksanakan kumpulan.

 

Firma itu berkata, pandemik COVID-19 secara dasarnya telah meningkatkan permintaan untuk kerjasama pekerja dan penyelesaian dalam jarak jauh, industri yang telah dipelbagaikan oleh Ramssol, melalui tawaran Feet's dan Lark.

 

"Kami menjangkakan campuran hasil daripada segmen ini akan kekal kira-kira 30% pada tahun-tahun akan datang kerana penggunaan pengaturan kerja hibrid masih memerlukan permintaan untuk platform kerjasama pekerja hujung ke hujung," katanya.

 

Setakat 9.03 pagi, harga saham Ramssol menokok 1 sen atau 2.82% kepada 36.5 sen dengan 4,000 saham diniagakan. - DagangNews.com