Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 25 June 2022

Mansuh subsidi: Siapa untung? Kerajaan, rakyat atau peniaga?

Sin Chew Jit Poh, Oriental Daily 23-24 Jun 2022

 

 

 

 

SEJAK dari dulu lagi, kerajaan sedar keperluan untuk mengkaji semula mekanisme subsidi yang sedia ada untuk menjadikannya lebih bersasar dan memastikan kumpulan yang benar-benar memerlukan bantuan mendapat manfaat.

 

Subsidi adalah salah satu cara kerajaan memacu dasar dengan pelaksanaan yang betul, ia boleh menjaga kesejahteraan rakyat.

 

Tanpa subsidi, kita tidak mampu untuk menampung harga minyak semasa yang melambung tinggi kesan daripada faktor berantai.

 

Meskipun subsidi kerajaan banyak memberi manfaat kepada rakyat, tetapi mereka yang paling beruntung adalah golongan berpendapatan tinggi, bukannya golongan lemah yang paling memerlukan bantuan.

 

Antaranya subsidi petrol, sehingga Mac tahun ini, golongan berpendapatan tinggi T20 menikmati manfaat yang mencecah RM4 bilion.

 

Ini bermakna bagi seiap ringgit subsidi petrol, 53 sen diberikan kepada kumpulan T20, manakala kumpulan B40 hanya menikmati 15 sen sahaja.

 

Tahun ini, subsidi petrol dijangka melebihi RM30 bilion, dan lebih daripada RM15 bilion merupakan subsidi untuk kumpulan T20.

 

 

subsidi

 

 

Pemberian subsidi yang terpesong ini telah menjadi penghalang yang serius kepada pembangunan negara.

 

Semua orang memahami kebenaran bahawa kebergantungan jangka panjang kepada subsidi hanya akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan kerana menyimpang daripada prinsip keadilan sosial.

 

Ada juga yang berpendapat sudah masanya untuk memansuhkan beberapa program subsidi, kerana jika diteruskan hanya akan membuatkan orang Melayu semakin mundur.

 

Hanya minoriti sahaja yang akan bersetuju dengan hujah ini, dan kerajaan yang memerintah sudah tentu tidak akan mengambil langkah yang berisiko atas pertimbangan undi.

 

Kita mengambil contoh semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tahun 2020, merancang untuk melaksanakan skim subsidi bahan api kepada kumpulan M40 dan B40 dengan pemberian bulanan RM30 untuk kereta dan RM12 untuk motosikal, tetapi akhirnya hanya sia-sia.

 

Selasa lepas, Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi mengumumkan mulai 1 Julai, kerajaan akan memansuhkan harga siling ayam, telur dan subsidi minyak masak dalam kemasan botol 2, 3, dan 5 kilogram. 

 

Sebaik sahaja subsidi untuk keperluan paling penting dalam sara hidup rakyat dimansuhkan, harga runcit ditentukan oleh pasaran bebas.

 

Dengan erti kata lain, harga produk makanan ini mungkin akan meningkat secara mendadak.

 

subsidi

 

Selagi kenaikan harga dijelaskan atas faktor kenaikan kos, maka KPDNHEP sukar mengambil tindakan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan AKHAP) 2011, kerana inflasi global adalah fakta yang tidak dapat dipertikaikan.

 

Selain itu, harga produk pertanian dan ternakan dalam industri utama juga telah meningkat berikutan kekurangan bekalan global.

 

Kenaikan harga bahan mentah sudah pasti akan menaikkan harga pemprosesan makanan dan pembuatan produk siap dalam industri sekunder.

 

Begitu juga harga barangan dan perkhidmatan juga akan meningkat. Sedihnya kita sebagai pengguna terakhir terpaksa menanggung tekanan inflasi ini.

 

Pertama, kita beranggapan inflasi global kali ini belum mencapai tahap yang buruk, tetapi pelaksanaan sekatan ekonomi ekoran konflik Rusia-Ukraine, kesan negatif telah menjadi serius dan nescaya keadaan menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

 

Jika sekatan ini tidak ditarik balik, kekurangan minyak mentah; gas asli; arang batu; keluli; baja dan makanan global akan menjadi lebih serius.

 

Kedua, faktor iklim di mana India akan mengalami kemarau teruk dan China juga berdepan dengan perubahan cuaca yang tidak menentu. Kegagalan pengeluaran ternakan dan penuaian bijirin adalah di luar kawalan.

 

Ketiga adalah faktor psikologi, jika rizab tukaran asing sangat rendah, maka negara pembekal makanan dan bahan mentah pastinya akan memilih untuk melindungi diri sendiri yang akhirnya menyebabkan bekalan berkurangan dan harga terpaksa dinaikkan.

 

Melihat kepada situasi semasa negara, sukar untuk mengelak pemansuhan subsidi makanan secara beransur-ansur kerana kita tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk mengekang harga.

 

 

subsidi

 

 

Tiada daya menggunakan baki wang yang ada untuk memberi subsidi kepada keluarga berpendapatan rendah B40.

 

Sementara itu, rizab antarabangsa juga semakin berkurangan dan pada 13 Mei 2022 hanya tinggal AS$111.4 bilion, penurunan sebanyak AS$5.3 bilion dalam tempoh setengah tahun.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan rizab ini hanya cukup untuk membiayai 5.6 bulan import barangan. Kita berharap keadaan ini tidak akan terus merosot!

 

Tidak dinafikan bahawa kumpulan B40 ini majoriti adalah penyokong UMNO dan mereka ini adalah yang paling terkesan dengan kenaikan harga.

 

Jadi adakah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu menawarkan lebih banyak subsidi untuk mengimbangi harga sebagai balasan kepada sokongan pengundi?

 

Memandangkan PM dan Menteri Kewangan kerap menyebut pelaksanaan semula GST, kita sudah boleh mengandaikan perbendaharaan negara sudah menyusut.

 

 

GST

 

 

Oleh itu, subsidi tidak mungkin akan bertambah, tetapi paling tidak hanya sedikit bantuan tunai yang boleh diberikan.

 

Ramai juga melihat langkah ini adalah cara untuk menarik undi sebelum PRU15 memandangkan undi Melayu tetap menjadi penentu, jadi BN mesti menggembirakan kumpulan ini terlebih dahulu.

 

Orang ramai juga mempersoalkan mengapa kerajaan mansuhkan subsidi telur, ayam dan minyak masak, sebaliknya menggunakan wang tersebut sebagai bantuan kepada B40?

 

Bukankah mengekalkan subsidi makanan adalah langkah yang lebih baik kerana ia benar-benar dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat?

 

Tanpa pelan kawalan harga yang komprehensif, tidak kira berapa banyak dan berapa kali bantuan diagihkan, ia hanya dapat mengurangkan simptom bukannya punca.

 

Senang untuk bercakap mengenai mekanisme subsidi yang disasarkan, tetapi melaksanakannya bukan sesuatu yang mudah.

 

Tetapi jika silap langkah, kerajaan yang memerintah pastinya perlu membayar harga yang lebih tinggi pada masa hadapan. - DagangNews.com

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 23-24 Jun 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags