Mampukah Malaysia jadi negara bebas rasuah, salah guna kuasa? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 12 January 2022

Mampukah Malaysia jadi negara bebas rasuah, salah guna kuasa?

 


 

 

 

ISU bencana alam banjir yang melanda negara masih belum selesai. Ramai sukarelawan dan NGO di seluruh negara masih ligat menjalankan misi. Tahniah diucapkan!

 

Kini, tumpuan rakyat dan netizen beralih kepada kontroversi yang melanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan “orang besar” badan ini iaitu Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia.

 

Apa isu sebenar?

Difahamkan nama Tan Sri Azam Baki, digunakan adik beliau iaitu Nasir Baki untuk membeli saham-saham berkaitan pada 2015 yang mana beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan diri bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham berkenaan.

 

Selain itu, pembelian saham itu dibeli melalui pasaran terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan semasa pembelian pada tahun 2015. Bagaimanapun semua telah dipindahkan kepada Nasir Baki pada tahun berkaitan juga.

 

Dikatakan Azam Baki memiliki hampir dua juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai awam iaitu memiliki 930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

 

Selain itu, Azam Baki juga dikatakan memiliki 2,156,000 waran dalam senarai awam Excel Force MSC Bhd manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global.

 

Mencalar Integriti dan Kredibiliti SPRM

Walaupun ia masih belum sahih kebenarannya atau tidak, namun isu ini sedikit sebanyak mencalarkan integriti dan kredibiliti SPRM ini.

 


 

azam baki
                                                    Tan Sri Azam Baki

 


Seperti yang kita tahu SPRM adalah badan yang ada di negara ini yang berperanan dan berfungsi tentang perihal laku integriti, rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain yang berkaitan.

 

Antara fungsi utama SPRM ialah:

1. Menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya atau pegawai-pegawai itu.

 

2. Mengesan dan menyiasat :-

  • Apa-apa kesalahan yang disyaki di bawah Akta SPRM 2009;
  • Apa-apa percubaan yang disyaki untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009; dan
  • Apa-apa komplot yang disyaki untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta 2009;

 

3. Meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-badan awam untuk memudahkan penemuan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan untuk menghasilkan kajian semula amalan, sistem atau tatacara itu yang pada pendapat Ketua Pesuruhjaya mungkin membawa kepada rasuah;

 

Menerusi fungsi utama SPRM ini, jelas menerangkan bahawa mana-mana individu yang melakukan kesalahan yang disyaki boleh disiasat oleh SPRM.

 

Maka, secara amalan biasanya, Tan Sri Azam Baki juga boleh disiasat.

 


 

SPRM

 


Seksyen 25 (4) Akta SICDA

Menurut Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) yang memperuntukkan mana-mana akaun sekuriti yang dibuka mestilah atas nama pemilik benefisial.

 

Tuntutan akta ini jelas bagi mana-mana individu yang ingin menjalankan pembelian dan penjualan saham mestilah melalui akaun sekuriti atas nama pemilik benefisial.

 

Bersama-sama akta ini, Azam Baki dikatakan telah melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berdasarkan pemilikan saham ini berdasarkan pembelian saham atas nama beliau dan bukanya Nasir Baki.

 

Penafian dari Lembaga Penasihat Pencegahan Malaysia (LPPR)

Tan Sri Azam Baki telah menafikan perkara dengan menyatakan ia tidak melibatkan sebarang konflik kepentingan dalam isu pembelian saham melalui akuan sekuriti miliknya itu.

 

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) juga “seakan-akan menyokong” Azam Baki dengan menafikan adanya kesalahan jenayah berhubung pembelian saham tersebut dengan memberi alasan ia tidak melibatkan sebarang konflik kepentingan.

 

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa panel berkenaan berpuas hati dengan penjelasan serta berpendapat Azam Baki tidak mempunyai sebarang kepentingan sendiri terhadap saham atas namanya itu.

 

Perlu Lebih Telus

Tindakan LPPR yang “cuba membersihkan nama” Azam Baki daripada sebarang salah laku berkaitan saham korporat yang dimiliki beliau dilihat sebagai satu tindakan tidak bersifat bebas untuk mengesahkan kebenaran dan perincian maklumat tentang isu ini.

 


 

SPRM

 


Cubaan Menjatuhkan Imej Azam Baki dan SPRM

Bagi memastikan hal ini diadili dengan baik, ia perlu disiasat dengan teliti. Berkemungkinan isu timbul ini adalah cubaan untuk menjatuhkan imej Azam Baki dan SPRM.

 

Dalam dunia “politik” kini, permainan sebegini sudah seakan menjadi biasa dalam menentukan jatuh bangun seseorang individu terutamanya individu berprofil tinggi.

 

Maka, jika Azam Baki menjadi “mangsa keadaan”, nama baik beliau dan SPRM terutamanya perlu dibersihkan.

 

Jangan “Jump into Conclusion

Rakyat diharapkan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci. Kita tidak boleh “jump into conclusion” dalam isu ini. Adalah tidak adil untuk kita menghukum Azam Baki sebelum siasatan terperinci dijalankan.

 

Tubuh Jawatankuasa Khas Bebas

Bagi menjalankan siasatan terperinci, Kerajaan perlu segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bebas bagi menyiasat isu dengan segera.

 

Siasatan boleh dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Bebas yang tiada kaitan dengan SPRM. Selain itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga boleh membuka kertas siasatan sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang seperti yang telah didakwa pelbagai pihak.

 

Bagi mengelakkan campur tangan daripada LPPR, Pengerusi Tan Sri Abu Zahar Ujang boleh direhatkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

 

Jika Jawatankuasa Khas Bebas ini “tidak boleh” menyiasat dengan telus dan terdapat “halangan-halangan” dalam menjalankan siasatan, Suruhan Siasatan Diraja (RCI) juga boleh ditubuhkan.

 


 

SPRM

 


 

Kenapa sampai nak tubuh RCI?

Ini kerana ia melibatkan SPRM iaitu badan yang memang seharusnya dihormati kerana peranan dan fungsinya. Kredibiliti SPRM perlu dikembalikan segera dari terus “diperlekehkan” oleh rakyat.

 

Isytihar Harta

Selain menunggu siasatan dijalankan, Azam Baki juga boleh membuat pengisytiharan harta berdasarkan kepada pekeliling kerajaan ‘Surat Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2002 (Pemilikan dan Perisytiharan Harta oleh Pegawai Awam)’ yang memerlukan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka.

 

Hal ini sedikit sebanyak boleh “membersihkan” nama beliau jika beliau tidak bersalah.

 

Conflict of Interest”

Semua penjawat awam terutamanya jawatan penting negara yang berpotensi terlibat dalam percanggahan kepentingan (conflict of interest) perlu mengelak turut serta atau terlibat dalam sesuatu perkara yang boleh mendatangkan percanggahan kepentingan ini.

 


 

yas

Malaysia Bebas Salah Guna Kuasa dan Rasuah

Untuk bangun menjadi negara maju, Malaysia mesti dibangunkan dengan sifat amanah, kecekapan agar menjadi sebuah negara yang disegani dan diteladani oleh dunia.

 

Negara perlu bebas rasuah, bersih daripada segala penyelewengan, ketirisan dan penyalahgunaan segala kepentingan sumber negara. Ia menjadi tanggungjawab rakyat dan pemimpinnya berintegriti dan beramanah. Mampukah Malaysia? – DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags