Skip to main content

Malaysia perlu percepat peralihan ke arah tenaga boleh baharu - Penganalisis

Oleh Voon Miaw Ping

MALAYSIA perlu mengurangkan pergantungannya kepada bahan api fosil dalam penjanaan elektrik, dan harus mempercepatkan usaha untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE).

 

Ketika negara di dunia dibebani harga bahan api melambung tinggi disebabkan kekurangan bekalan dan permintaan tinggi untuk tenaga, krisis tenaga yang semakin
meruncing telah membuka mata Malaysia untuk mengambil tindakan lebih konkrit dalam meningkatkan keselamatan tenaga dan membuat persediaan lebih baik
untuk mendepani sebarang ketidaktentuan tenaga masa depan.

 

Ketua Hak Asasi Manusia, Undang-undang & Sosial EMIR Research, Jason Loh Seong Wei berkata  banyak lagi boleh dilakukan untuk memanfaatkan potensi besar RE.

 

Negara boleh memulakan langkah ke arah itu dengan meningkatkan campuran tenaga, menerusi menggalakkan sumber RE, jadi ia secara beransur-ansur dapat mengurangkan pergantungan pada loji janakuasa yang dipacu bahan api fosil.

 

Pada masa sama, langkah perlu diambil untuk meningkatkan kapasiti loji janakuasa hidro sedia ada untuk menjana elektrik, katanya.

 

“Kita harus menjadi inovatif dan kreatif dalam memaksimumkan kapasiti penjanaan kuasa empangan kita dengan menggabungkan teknologi fotovoltaik solar (PV) dengan kuasa hidro. Sebagai contoh, ini boleh dilakukan dengan menyepadukan ladang solar PV dengan empangan, selain sebagai takungan,” katanya.

 

Malaysia sangat bergantung kepada bahan api fosil sebagai sumber utama penjanaan kuasa dengan arang batu menyumbang 59.2 peratus dan gas 34.3 peratus.

 

Menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dalam laporannya pada 2021, bahagian RE di Malaysia kekal di bawah purata global dan serantau.

 

 

Jason Loh Seong Wei
                 Jason Loh Seong Wei

 

 

Sehingga 2020, TBB menyumbang 23 peratus daripada kapasiti tenaga negara berbanding 37 peratus purata global dan 30 peratus purata di rantau Asia Tenggara.

 

Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu  kepada 31 peratus menjelang 2025 selain turut  komited mencapai neutral karbon menjelang 2050.

 

“Apa yang kita lakukan masih belum cukup. Walaupun kita mempunyai Tarif Suapan (FiT) dan skim Tarif Elektrik Hijau (GET) yang baru diperkenalkan, dasar pengguna akhir atau subsektor hiliran (pengagihan elektrik) perlu disokong dengan lebih kukuh oleh dasar dalam aliran pertengahan (transmisi elektrik) dan subsektor huluan (penjanaan elektrik industri),” kata Loh.

 

Skim GET membolehkan pengguna elektrik domestik dan industri di Semenanjung Malaysia memilih tenaga elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu seperti kuasa hidro dan loji solar mulai 1 Januari 2022.

 

 

parafrasa

 

 

Beliau juga mencadangkan bahawa di bawah Pelan Tindakan Industri Biomas Malaysia (MBIAP) unit penjanaan biogas berskala kecil boleh ditubuhkan untuk menukarkan sisa kepada biogas untuk loji kuasa.

 

“Hasilnya, ia akan mengurangkan sisa tapak pelupusan sampah, mengurangkan jumlah metana yang dibebaskan ke alam sekitar,  dan merangsang peluang perniagaan untuk PKS dalam industri biogas,” katanya.

 

Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata lebih banyak tumpuan juga perlu diberi kepada penciptaan infrastruktur dan teknologi yang betul untuk memanfaatkan tenaga daripada sumber boleh baharu seperti solar, hidro, hidrogen hijau dan biobahan api.

 

“Sektor elektrik Malaysia seharusnya mula mengurangkan pergantungan kepada bekalan arang batu dan gas. Syarikat penjanaan kuasa terkemuka Malaysia, Tenaga
Nasional Berhad (TNB), harus komited dengan rancangan jangka panjangnya untuk mengurangkan pergantungan kepada bekalan arang batu.

 

 

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
             Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

 

“Untuk mencapai pelepasan karbon Sifar Bersih, TNB perlu mempercepatkan pelaburan dalam teknologi hijau baru muncul seperti hidrogen hijau – sebaik sahaja ia berdaya maju dari segi ekonomi,” katanya.

 

Menurutnya,  pada masa ini, TNB telah mengambil alih beberapa syarikat tenaga boleh baharu  dan mula memberi tumpuan kepada hidrogen hijau, selain menghasilkan tenaga berasaskan solar dan hidro.

 

Syarikat elektrik terbesar negara itu juga komited terhadap pertumbuhan penjanaan tenaga boleh baharu yang ketara dan pengurangan 50 peratus dalam kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035 dan mencapai Sifar Bersih & Bebas Karbon menjelang 2050, tambahnya.

 

“Ini strategi yang baik tetapi perlu lebih waktu untuk mula menghasilkan impak yang lebih besar kerana TNB perlu masa untuk menggantikan loji janakuasa arang batu dan gas sedia ada kerana memerlukan perbelanjaan modal yang tinggi. 

 

“Saya percaya bahawa TNB sudah berusaha untuk melabur dalam RE, terutamanya dengan mengambil kira peluang pertumbuhan baharu,” katanya sambil menyatakan Malaysia sudah pun bergerak ke arah RE, meskipun agak perlahan. - DagangNews.com