Malacca Securities jangka jeti kedua Terminal Minyak Teluk Sepangar pacu pendapatan Suria Capital | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka jeti kedua Terminal Minyak Teluk Sepangar pacu pendapatan Suria Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Malacca Securities menjangkakan pembinaan jeti kedua di Terminal Minyak Teluk Sapangar akan siap sepenuhnya pada suku keempat 2022 dan akan membantu Suria Capital Holdings Berhad mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu kapal di kawasan berkenaan.

 

Firma itu berkata, langkah itu akan meningkatkan kapasiti penggunaan kemudahan sedia ada yang ketika ini berjaya menampung sekitar 90% daripada jumlah kapasiti penuh.

 

Katanya, pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) pada skala besar dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2025 dan dijangka meningkatkan kapasiti semasa daripada 500,000 TEU (bersamaan 20 kaki unit) kepada 1.25 juta TEU. 

 

"Bagaimanapun, operasi perniagaan Suria Capital adalah bergantung kepada kelulusan Lembaga Pelabuhan Sabah yang memerlukan beberapa kelulusan, lesen, pendaftaran dan permit daripada pelbagai pihak berkuasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan kumpulan itu melonjak sebanyak 54.8% kepada RM13.9 juta pada 1QFY22, tertinggi yang pernah direkodkan sejak 2QFY19. 

 

Keuntungan itu disumbangkan oleh segmen operasi pelabuhan yang disokong peningkatan kargo kesan daripada pemulihan aktiviti ekonomi di Sabah dan pendapatan untuk suku pertama tahun ini juga bertambah 29.8% dari tahun ke tahun kepada RM71 juta.

 

Laporan pendapatan itu adalah selaras dengan jangkaan firma, iaitu 25.6% daripada jangkaan keuntungan bersih tahun penuh sebanyak RM54.3 juta.

 

Firma itu berkata, segmen pembangunan hartanah pula, kumpulan itu telah mendapat sijil pendudukan (OC) untuk Fasa 1 projek Jesselton Quay Central pada Januari 2022, manakala Fasa 2 dalam peringkat perancangan.

 

"Kami juga menjangkakan kontrak operasi dan kejuruteraan terminal serta feri akan menjana sumbangan yang lebih baik pada suku akan datang didorong pembukaan sempadan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' untuk kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.20," katanya. - DagangNews.com