Majlis Perancang Fizikal Negara lulus dua dasar, kata Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Majlis Perancang Fizikal Negara lulus dua dasar, kata Ismail Sabri


 

PUTRAJAYA  21 Okt - Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 hari ini meluluskan dua dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, kedua-dua rancangan fizikal itu berada di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].

 

Beliau berkata, RFN adalah dokumen peringkat tertinggi dalam sistem perancangan guna tanah negara dan berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 6B(4) Akta 172, ia hendaklah dikaji semula setiap lima tahun, selaras dengan penyediaan Rancangan Malaysia Lima Tahun atau jika dan apabila diarah oleh MPFN.

 

Katanya, RFN4 disediakan untuk menentukan arah tuju pemajuan fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial bagi seluruh kawasan perancangan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

"Pelaksanaan RFN4 memerlukan penglibatan pelbagai pihak di setiap peringkat perancangan dan pembangunan, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri atau tempatan.

 

"Ini termasuklah pihak-pihak berkuasa perancangan di bawah Akta 172 yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu bagi memastikan RFN4diterjemah dan dilaksanakan secara berkesan.

 

"RFN4 telah menggariskan tiga teras pembangunan, 11 hala tuju strategik, 39 strategi dan 120 tindakan yang meliputi segenap bidang perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perdana Menteri berkata RFZPPN-2 pula adalah satu rancangan strategik guna tanah yang menggariskan hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumberjaya persisiran pantai di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Katanya, ia digubal dengan mengambil kira aspek-aspek ancaman geobencana seperti hakisan pantai dan faktor perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar.

 

"Selain itu, Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai atau Coastal Vulnerabitlity Index (CVI) juga merupakan instrumen penting yang diambil kira dalam RFZPPN-2," katanya.
 

 

PM
Perdana Menteri (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 di Putrajaya, 21 Oktober 2021.

 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi negeri-negeri di Utara Semenanjung Malaysia merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

 

Jelas Perdana Menteri, fungsi utama JPW adalah untuk menyelaraskan isu-isu perancangan yang merentasi sempadan dua negeri atau lebih serta menasihati kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam wilayah itu mengenai rancangan pemajuan yang sesuai.

 

"Ini adalah JPW keempat yang dipersetujui cadangan penubuhannya oleh MPFN, selepas JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (JPW NSMJ), JPW bagi Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Kinta dan Lojing (JPW CEKAL) dan JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Daerah Pekan-Kuantan-Kemaman-Dungun-Jerantut (JPW PAKADJ)," katanya.

 

Katanya, MPFN akan terus berfungsi sebagai satu platform strategik perancangan pembangunan fizikal yang mencerminkan hasrat serta hala tuju negara bagi memanfaatkan Keluarga Malaysia keseluruhannya.

 

"Oleh itu, MPFN akan memperincikan pembangunan dan pemajuan negara yang bukan sahaja menyeluruh, inklusif dan mampan malah mempunyai ciri-ciri daya huni yang tinggi.

 

"Ingin saya tekankan bahawa kerajaan pada masa ini memberi tumpuan dan keutamaan yang cukup tinggi terhadap pembangunan yang mampan, selaras dengan komitmen kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif dan Mampan," katanya. - DagangNews.com