Mahkamah benarkan permohonan PM, kerajaan batal saman berkaitan Pulau Batu Puteh | DagangNews Skip to main content

Mahkamah benarkan permohonan PM, kerajaan batal saman berkaitan Pulau Batu Puteh

Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 1 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan seorang individu berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh.

 

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz semasa membenarkan permohonan itu berkata  perkara itu tidak mempunyai justifikasi dan Mohd Hatta Sanuri (plantif) tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan undang-undang terhadap defendan (Perdana Menteri dan kerajaan).

 

Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM6,000 dalam tempoh 30 hari.

 

Perkara itu disahkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan selepas menghadiri prosiding dalam talian hari ini.

 

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan untuk mengetepikan perintah ICJ yang memberikan bidang kuasa perundangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura walaupun sebelum perbicaraan kes itu, yang dijadualkan pada 11 Jun 2018.

 

Pada 28 Mei tahun lepas, Mohd Hatta, 46, memfailkan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

 

Pernyataan tuntutan  Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis  mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan ia telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Feb 2017.

 

Beliau turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi yang dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

 

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Feb 2017 sehingga tarikh mereka menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018, Bernama melaporkan.

 

Semasa difailkan pada Mei, jawatan perdana menteri disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bagaimanapun, selepas beliau berundur, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri kesembilan. - DagangNews.com